Monday, December 28, 2009

Sebuah kolam, sebuah kehidupan akua.


Sepuluh tahun lalu, ketika membina rumah ini, sebuah kolam dibina di hadapan ruang makan bahagian dapur. Melalui kemahiran beberapa orang anak muda Indonesia, mereka membina sebuah kolam yang bertatakan air terjun, ditata cantik dan rapi bak sebuah air terjun asli. Tangan seni mereka meninggalkan sebuah ciptaan yang sungguh mengkagumkan. Dengan kos yang murah, kolam itu akhirnya siap. Beberapa puluh anak ikan koi atau Kap Jepun dilepaskan. Ia bukanlah dari jenis yang mahal.

Kolam ikan ini adalah sebuah impian untuk menghadirkan kehidupan akua atau kehidupan air di hadapan mata. Ketika di Jepun sekitar tahun 1988 dulu, saya begitu kagum dengan kolam-kolam indah di taman Jepun. Pesona tersebut mencetuskan keazaman dan akhirnya impian itu dizahirkan jua. AlhamduliLlah, sebuah kolam yang mungkin tidak seindah kolam di Jepun, telah dijelmakan.


Dari masa ke semasa ikan membesar. Kilauan warna koi yang pelbagai memberikan kepuasan intrinsik yang sukar digambarkan. Pada tahap awal sistem penapisan tidak berjalan dengan baik menyebabkan air kolam tidak juga jernih. Akhirnya mengambil usaha sendiri mendapatkan maklumat daripada peniaga produk penapisan kolam. Dengan nasihat mereka, beberapa pembaikan dilakukan, dengan tambahan belanja. Akhirnya air kolam menjadi jernih dan menampakkan isi kolam dengan jelas. Kolam ini dihiasi dengan pohon teratai daripada tiga jenis, iaitu teratai merah muda, putih dan biru. Selain itu kiambang dan keladi bunting dan pohon air lain dibiakkan di dalam kolam. Ia bukan sahaja sebagai hiasan tetapi juga akan membantu meningkatkan kualiti air kolam. Ikan-ikan akan memakan sebahagian akar di samping itu najis ikan pula akan dibersihkan oleh akar-akar pohon terutama pohon keladi bunting yang dikenali sebagai penapis kekotoran yang efektif.

Sebuah kolam dengan aliran air terjun, lengkap dengan penghuninya ikan, kura-kura di samping tumbuhan air, adalah sebuah kehidupan akua yang hampir sempurna. Deruan air terjun menghasilkan desiran air yang melekakan. Menyaksikan ikan-ikan bermain di kolam pastinya meleraikan segala resah di kepala dan di dada. Benarlah bahawa kehidupan akua dapat membawa kita jauh meninggalkan semua tekanan atau stres kehidupan. Ia satu terapi alam – terapi alami.

Allah SWT menciptakan air sebagai makhluk yang sangat istimewal, malahan air adalah asal semua ciptaan dan kehidupan di alam ini. Kesempurnaan hayat semua kehidupan adalah bersandarkan kewujudan air. Oleh itu air adalah satu kewujudan yang sangat unik baik kepada manusia, haiwan, tumbuhan atau kepada alam seluruhnya. (sebuah buku tentang air telah lama disiapkan, cuma menanti ia diterbitkan sahaja. Buku: Anda adalah Air: mengungkap mistri air dalam kehidupan akan menceritakan pelbagai perkara tentang air).







No comments:

Post a Comment