Thursday, January 7, 2010

Apabila bumi dikhianati.


Di bumi kita dilahirkan. Daripada hasil bumi kita mendapat bekalan makanan dan sumber air, yang membesarkan kita. Di bumi kita menjalani kehidupan, membina rumah kediaman daripada yang bersifat sangat sederhana hinggalah banglo mewah. Sungguhpun ada orang yang selesa tinggal di atas air (di kampung air di Brunei, Sabah dan Filipina), namun tiang rumah mereka masih lagi terpacak di dasar bumi.

Akhirnya kita akan kembali ke bumi apabila disemadikan di liang lahad, sebuah lokasi baru di perut bumi. Tubuh fizikal kita akan hancur, lerai menjadi sebahagian daripada isi bumi. Maka lengkaplah satu pusingan hidup sementara di bumi, di mana kita diciptakan daripada tanah (nabi Adam AS dicipta dripada tanah - thin, kemudiannya zuriat manusia diciptakan daripada saripati air mani), akhirnya kita kembali juga ke tanah. Itulah sirkulasi hidup jasad manusia. Bukan sahaja manusia, haiwan dan tumbuhan serta makhluk lain di bumi juga akan menjalani satu pusingan yang serupa, kembali ke tanah, kembali ke bumi akhirnya.

Allah SWT mencipta bumi untuk tempat kediaman manusia. Bumi adalah lokasi sementara untuk manusia jalani satu fasa daripada kehidupannya, iaitu kehidupan sementara di bumi, sebelum kembali ke alam barzakh menuju akhirat. Bumi diciptakan sedemikian hebat dan agung untuk menjadi alam bagi kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain yang diciptakan Tuhan untuk dimanfaatkan oleh manusia.


Sebagai khalifah, manusia diciptakan Tuhan untuk berfungsi dan berperanan aktif memakmurkan kehidupan di bumi. Khalifah adalah satu martabat mulia di mana manusia dilantik dan diberi kuasa untuk mengurus dan mentadbir alam ini mengikut panduan dan pedoman yang sempurna, melalui agama samawi yang diakhiri dengan Islam. Petunjuk agama itu adalah dasar umum yang memandu manusia supaya dapat berperanan sebagai khalifah dengan berkesan.

Sebagai khalifah manusia bukanlah penguasa, tetapi adalah pemegang amanah. Oleh itu manusia bukanlah pemilik kepada alam ini, tetapi hanya pengguna, peminjam dan pihak yang dibenarkan untuk menggunapakai segala sumber alam bagi manfaat manusia dan makhluk Tuhan yang turut berkongsi alam ini.

Kita juga diajar oleh agama bahawa bumi ini adalah sebuah alam yang perlu dikongsi sesama manusia dan juga sesama makhluk lain, termasuk haiwan, tumbuhan, malah mikrob yang halus yang tidak terlihat oleh mata. Perkongsian secara bioloogi itu sudah disunnahkan menjadi satu ekosistem alam. Kita berkongsi udara dengan tumbuhan. Kita bertukar-tukar oksigen dan karbon dioksid dengan tumbuhan, dalam satu sinergi yang sangat seimbang. Maka kesetabilan gas di udara akan terkawal. Dengan sejumlah hutan hijau yang begitu luas di kebanyakan benua, maka bekalan oksigen insyaAllah tidak akan kehabisan. Haiwan dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya adalah bahagian daripada alam yang berkongsi kehidupan dengan manusia. Di dalam habitatnya di utan belantara, binatang-bnatang liar ini hidup bersimbiosis dengan persekitran. Mereka hidup dengan sumber makanan daripada tubuhan dan juga daging (daripada jenis-jenis binatang pain) atau serangga. Sebahagian binatang adalah berfungsi membiakkan tumbuhan, melalui pemindahan debunga sebagaimana dilakukan oleh serangga dan burung. Mereka juga memindahkan benih tanaman melalui pembuangan sisa najis. Malahan makhluk seni seperti mikrob juga berfungsi membantu menguraikan sisa-sisa organik di permukaan bumi. Cacing umpamanya bekerja dengan memakan sisa-sisa organik kemudiannya mengeluarkan najis berupa kompos siap yang berkualiti untuk menyuburkan tanah. Tanah yang subur itu kemudiannya menumbuhkan pelbagai jenis tumbuhan renik dan tumbuhan besar.


(bakteria, makhluk seni yang besar maknanya)

Bumi adalah syurga kepada manusia sekiranya mereka dapat menajalani kehidupan bahagia, dengan mengimbangi kehendak-kehendak Tuhan dan keseimbangan biologi alam. Tuhan mengingatkan kita bahawa bumi ini dibina dengan strukturnya yang alami, di mana tumbuhan-tumbuhan hijau adalah ibarat paru-paru dunia, dan gunung ganang pula adalah pasak yang memantapkan bumi.

Bukankah Kami telah menjadikan bumi ini sebagai hamparan? Dan gunung-gunung sebagai pasak? (maksud al-Quran 78:6-7).

Kini manusia tidak lagi menyedari hakikat-hakikat di atas. Mereka melakukan pelbagai kerosakan di bumi demi memenuhi nafsu mereka. Sifat tamak, haloba, hasad, dengki, dendam dan amarah menjadikan manusia bukan lagi khalifah tetapi pemusnah, perosak dan pengkhianat kepada bumi. Sebahagian meruntuhkan bukit dan gunung, mengeksploit kekayaan alamnya. Begitu juga terjadi di laut, khazanah laut digarap selahap-lahapnya. Hasil marin dikaut sehingga pupus zuriat kehidupan marin di samping merosakkan habibat marin. Kini tinggal beberapa lokasi sahaja di dunia yang boleh dijadikan taman laut yang masih menyimpan khazanah marin yang kaya itu. Selebihnya rosak teruk akibat pencemaran dari darat dan juga kesan letupan senjata yang diuji.


Manusia terus melakukan kerosakan di bumi. Mereka teerus alpa dan lupa pada petaka alam yang terus terjadi, seoalah-olah mengingatkan manusia supaya 'berhenti' melakukan khiamat kepada alam. Gempa bumi, letusan gunung berapi, tanah runtuh, banjir, ribut taufan, tsunami dan berbagai lagi terjadi kesan daripada ketidakseimbangan struktur fizik dan biologikal alam. Manausia panik sebentara sahaja, kemudian meneruskan lagi tabiat buruk mereka merosakkan alam.

No comments:

Post a Comment