Sunday, January 10, 2010

Menggenggam tanah, merahmati alam.


Sewaktu kecil dulu bermain selut adalah salah satu aktiviti biasa baik di rumah mahupun di sekolah. Di sawah bermain selut ketika membantu orang tua mengerjakan sawah, atau ketika mengkap ikan keli, haruan, sepat dan puyu. Di sekolah pula salah satu aktiviti pendidikan seni ialah membuat produk seramik daripada tanah liat. Walaupun zaman enam puluhan dahulu, subjek pendidikan seni tidaklah selengkap dan sistematis sebagaimana sekarang, namun kami belajar membuat objek-objek tertentu daripada tanah liat. Ia bukanlah proses membuat seramik sebagaimana kraf yang ada sekarang. Tanah liat itu biasanya diambil dari sungai di mana terdapat jenis-jenis tanah liat yang sangat bagus kualitinya. Kami membentuk pelbagai objek secara manual, termasuk patung binatang. Ia dibiarkan kering dan akhirnya mengeras sendiri. Ada kala diwarnakan supaya lebih cantik. Produk siap akan diberi markah dan dipamerkan di ruang kelas. (Gambar: turut melontar bola selut EM ke laut Gurney Drive, Pulau Pinang. Berbaju biru, kiri: Ketua Menteri PP turut serta.)

Sewaktu di universiti, salah satu kertas kebudayaan yang diambil ialah kraf tradisional. Saya memilih kajian terhadap labu sayung, iaitu kraftangan yang menjadi warisan penduduk Sayung, Kuala Kangsar, Perak. Oleh kerana kajian ini hanya untuk kertas seminar sahaja, kajian sederhana sahaja dilakukan. Sungguhpun begitu saya terpaksa melihat sendiri bagaimana proses pembuatan seramik labu sayung dijalankan. Di samping itu perlu pula mengetahui bentuk, corak, ukiran dan fungsi-fungsinya. Pengalaman ini membawa saya agak serius kepada penggunaan tanah liat sebagai bahan kraf. Oleh kerana waktu sekolah rendah sudah biasa bermain tanah liat, maka aktiviti membuat seramik Labu Sayung tidaklah terlalu asing.

Akhir-akhir ini saya perlu lagi kembali kepada tanah apabila mendampingi projek pertanian alami. Oleh kerana tiada asas pertanian, maka terpaksalah belajar dengan membaca bahan-bahan pengetahuan tentang tanah, strukturnya dan kandungan hara tanah. Satu hal yang tidak pernah ditinggalkan ialah berkebun, biarpun secara kecil-kecilan. Di mana sahaja kami tinggal, akan ada tanaman diusahakan. Sekurang-kurangnya menanam pohon-pohon bunga dalam pasu.

Apabila agak serius menerokai konsep pertanian alami (pertanian organik), saya mula memahami sifat-sifat alami tanah. Belajar mengenali makhluk-makhluk yang hidup dalam tanah termasuk cacing dan mikrob. Pelajaran-pelajaran ini mendekatkan diri kepada beberapa fakta yang selama ini diremehkan, iaitu fakta biologi, keseimbangan alam, ekosistem, kepelbagaian bio dan lain-lain. Semuanya membawakan kita lebih dekat kepada Tuhan. Satu fakta yang tidak mungkin dilupakan, ialah hakikat diri kita dari tanah dan akan akhirnya luluh, terurai dan menjadi tanah juga. SubhanaLlah!

Kini saya menyibukkan diri menyediakan bola selut EM (EM mudball) untuk bereksperimen. Ia umpama bom tangan (lebih besar daripada saiz bom tangan), yang akan digunakan untuk memerangi pencemaran alam (pencemaran air). Membuat ‘bom tangan’ daripada selut ini saya pelajari daripada orang Jepun. Sungguhpun orang Jepun bencikan peperangan akibat kesan ledakan bom atom di Hiroshima dulu, namun mereka mengajar kami mencipta ‘bom’ baru, yang akan digunakan bukan untuk membunuh manusia atau sesiapapun; tetapi untuk menghadapi ancaman pencemaran alam.

Bola selut adalah antara teknik baru yang terhasil daripada usaha memanfaatkan teknologi EM bagi menghadapi pencemaran air. Ia diperbuat daripada campuran tanah, bokashi dan juga cecair EM. Ia adalah hasil proses fermentasi membiakkan koloni mikrob bermanfaat yang akan dikerahkan untuk membersihkan kesan pencemaran air. Apabila dibalingkan ke dalam kawasan berair baik kolam, tasik, sungai atau lautan; ia akan melepaskan tentera-tentera mikrob untuk memerangi mikrob-mikrob pencemar. Sebiji bola selut adalah untuk ruang satu meter persegi dan ia akan bekerja dalam tempoh sebulan.


(Bola selut yang berkesan untuk memerangi pencemaran air, satu teknologi hijau yang patut dimanfaatkan.)

Sejak diperkenalkan dan dimanfaatkan di pelbagai tempat di beberapa negara di dunia, bola selut ini didapati berkesan mengurangkan kesan pencemamran air. Ia memperbaiki mutu air, membersihkan kerak (sludge), menghilangkan bau busuk dan mengembalikan kehidupan habitat air.

Di Malaysia sudah ada beberapa pihak terutama aktivis EM yang mula menggerakkan usaha mengatasi pencemaran air dengan menggunakan bola selut ini. Di Johor, Pulau Pinag dan Selangor, ada pihak yang sudahpun bereksperimen. Projek terbesar di mana saya sendiri ikut serta ialah Projek Sejuta Kemaafan kepada bumi, yang berlangsung pada 8 Ogos 2009 lalu di Pulau Pinang. Sebanyak sejuta bola selut dibaling ke laut dan sungai yang tercemar di Pulau Pinang sebagai usaha merawat pencemaran di sana. Projek ini mendapat sokongan Kerajaan Negeri, dan dijangka akan menghasilkan impak positif sedikit masa lagi.

Kini saya serius menghasilkan bola-bola selut untuk memastikan teknik penghasilannya betul dan berkesan. Ia akan digunakan dalam kempen kami menyedarkan masyarakat tentang pentingnya melestarikan alam, nanti. Menghasilkan bola selut secara manual samalah seperti aktiviti membuat seramik waktu di sekolah dahulu. Menguli, menggaul bahan, membentuknya menjadi bola menggunakan acuan (agar seragam saiznya), mendekatkan kembali diri kepada tanah, kepada bumi dan kepada alam. Inilah kesan emosi yang menusuk nurani di celah-celah bau tanah dan harum EM. Selain itu kita melraikan rasa sombong diri apabila kita sentiasa mendampingi tanah, kerana keinsafan akan sentiasa terasa bahawa akhirnya kita juga akan menjadi sebahagian daripadanya. MasyaAllah.

No comments:

Post a Comment