Saturday, January 9, 2010

Kurangkan plastik dari kehidupan kita.


Semalam (9 Januari)Kerajaan Selangor memulakan kempen tidak menggunakan plastik, Kempen 'Hari tanpa beg plastik' disasarkan ke seluruh negeri di mana 15 buah syarikat terutama pasaraya mengambil bahagian dalam kempen setiap Sabtu ini. Kempen selama enam bulan ini adalah bertujuan mendidik pengguna supaya mengurangkan penggunaan beg plastik dalam urusan harian terutama ketika membelibelah.

Cerita plastik bukanlah perkara baru. Ia adalah bahan yang terlalu mendominasi kehidupan kita seharian kerana ia murah, mudah dan praktikal. Beg plastik digunakan secara menyeluruh di mana sahaja pusat belibelah. Produk cecair pula mengunakan plastik baik jenis PP mahupun PET. Pembungkusan cecair sangat praktikal menggunakan plastik menggantikan kaca kerana sifatnya yang ringan dan tahan lasak (tidak mudah pecah) di samping murah.

Menggantikan beg plastik adalah dengan meyediakan pilihan lain yang juga murah dan mudah dan praktikal. Inilah usaha yang perlu diambil oleh semua pihak yang mahukan pengurangan penggunaan plastik. Dulu kita menggunakan kertas untuk membungkus barangan. Pekedai menggunakan kertas akhbar lama atau kertas kuning untuk membungkus barang. Kertas ini dijadikan kelongsong atau beg dengan menggunakan gam. Biasanya pekedai waktu itu membuat sendiri beg-beg kertas ini. Inilah pilihan terbaik, iaitu kembali menggunakan kertas sebagaimana di negara maju, pengguna bersedia membawa barangan dalam beg kertas.

Penggunaan beg kertas perlulah dimulakan dengan peniaga menyediakannya, atau pengusaha dalam industri kertas pelu tampil menawarkan priduk kertas yang berdaya saing harganya. Membawa beg atau bakul sendiri dari rumah adlah cara terbaik, namun bukan senang melatih pengguna negara ini untuk melakukannya. Selagi kesedaran menjaga alam sekitar tidak benar-benar mendalam di hati pengguna, amalan tersebut agak sukar.


(sungai dan laut jadi tempat akhir bahan plastik)

Masalah plastik sudah lama disedari kerana ia sukar dilupuskan. Sebahagian jenis plastik kini telah dapat dikitar semula. Alhamdulillah, apabla botol-botl plastik dari jenis PP dan PET dan barangan plastik lain sudah mula dikitar semula. Kilang-kilang kitar semula membeli barangan terbuang ini untuk diolah semula menghasilkan produk pengguna yang baru.

Kerajaan sendiri telahpun menjalankan kempen kitar semula melalui iklan di media massa. Namun pengguna Malaysia bukanlah pengguna yang sedar dan tinggi kesedaran siviknya. Umumnya orang Malaysia bukan sahaja tidak membantu projek kitar semula ini, tetapi masih lagi mengekalkan tabiat buruk mengotorkan persekitara dengan membuang plastik di merata tempat. Di sepanjang jalan baik di lebuhraya, jalanraya hinggalah jalan-jalan di taman perumahan kita boleh dapati botol-botol plastik dibaling ke atas jalan, tepi jalan atau ke dalam longkang.

Pengguna Malaysia adalah sasaran kempen yang perlu diberi perhatian. Memperbaiki tabiat yang buruk bukanlah satu tugas mudah. Undang-undang keras tidak banyak membantu. Denda membuang sampah misalnya tidak berkesan kerana kelemahan penguatkuasaan dan juga kesedaran sivik yang rendah di kalangan rakyat. Sebahagian kecil masyarakat yang prihatin yang menjaga kebersihan alam sekitar, manakala sebahagian besar masyarakat adalah pengotor dan pencemar. Mereka menunjukkan teladan buruk kepada anak-anak sendiri dengan membaling botol minuman dan bekas makanan keluar dari dalam kereta, membuang puntung rokok merata-rata.

Walau bagaimanapun sikap sebahagian besar masyarakat, kita tetap wajib melakukan apa jua cara dan pendekatan untuk merobah situasi buruk ini. Kempen-kempen kesedaran perlu diteruskan di samping pelbagai usaha mendidik pengguna menghargai alam dengan menjaga kebersihan, mengitar semuala, mengguna semula, mengurangkan penggunaan bahan-bahan seperti plastik itu.

Kempen yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor perlu disokong. Pengguna mestilah bersedia mengurangkan penggunaan beg plastik, manakala peniaga pula perlulah menyediakan pilihan lain kepada penggunaan plastik. Pengusaha pula perlulah merekacipta produk plastik atau semi plastik yang mudah hancur dan terurai. Selain itu para penyelidik perlu mencari idea dan melakukan inovasi menggunapakai semula bahan plastik yang bersepah mencemar alam itu.

Ingatlah bahawa penggunaan bahan plastik berterusan akan menyulitkan kita melupuskannya. Akibatnya ia akan menjadi bahan pencemar alam. Ia tidak seperti sisa organik yang dapat dilupuskan melalui penguraian alami atau diproses menjadi bahan kompos. Sifatnya yang begitu degil untuk terurai menjadikan plastik ancaman kepada kelestarian alam.

No comments:

Post a Comment