Friday, November 5, 2010

Lagi kisah Merapi.


Kisah meletusnya gunung Merapi di Jawa, Indonesia masih lagi menjadi kisah semasa yang panas. Panasnya berita tentangnya di seluruh dunia, khususnya di kalangan mereka yang begitu prihatin terhadap alam sekitar, hampir sama dengan panasnya bahang letusannya yang sedang dirasai oleh penduduk di sekitar Merapi, yang kini sedang menghadapi bencana ini.

Terbaru, satu letusan lebih kuat terjadi, memuntahkan lahar dan kepulan asap yang lebih besar daripada kejadian pada 26 Oktober lalu. Letusan semalam (Jumaat, 5 Nov) membunuh lebih 70 orang mangsa menjadikan jumlah kematian akibat letusan Merapi mencecah 122 orang. Kematian kali ini lebih tinggi daripada letusan kuat sebelumnya. Seramai 150 orang dilaporkan cedera dan dirawat.


Bencana terbaru telah menerjah ke desa Bronggang yang berkedudukan 15 kilometer daripada puncak Merapi yang meletus, mengakibatkan kemusnahan yang teruk. Sementara itu kawasan berbahaya semakin meluas, mencapai 20 kilometer, menghampiri kota Jokyakarta.

Letusan terakhir itu dikatakan nmemuntahkan sebanyak 1 765 kaki kubik bahan volkanik dan memuntahkan debu setinggi 10 000 meter ke angkasa.

Kita sedang menyaksikan bencana alam yang sedang terjadi. Mungkin bencana ini merbahaya kepada keselamatan manusia dan juga makhluk lain, namun kemajuan di bidang kajian sains khususnya tentang sains volkanik membantu kita menyelamatkan nyawa penduduk. Kajian tersebut dapat mengesan bahaya dari masa ke semasa. Malangnya masih ramai penduduk berhampiran yang menjadi mangsa akibat kejahilan, atau terputus hubungan, atau juga akibat sikap ambil mudah. Sekiranya mereka sedar untuk mengambil tindakan awal menyelamatkan diri, tentulah angka korban tidak besar. Rata-rata korban gunung Merapi adalah penduduk desa yang miskin dan hidup sangat sederhana di pendalaman, di kaki gungung Merapi. Mereka meneruskan kehidupan daripada aktivi pertanian. Mereka hidup atas nikmat kesuburan lahan (tanah pertanian) di kaki Merapi sejak sekian lama, di mana sebahagian mereka mewarisi kehidupan daripada generasi terdahulu.


Marilah kita melihat kejadian ini sebagai satu fitrah alam, kejadian yang diciptakan Tuhan dan ditakdirkan untuk berlaku, dan akan terus berlaku. Pelbagai bencana alam yang kini sedang terjadi, akan terus terjadi sebagaimana kini beberapa buah negara Asia sedang menghadapi banjir besar. Malaysia juga sedang dilanda banjir terutama negeri-negeri utara Semenanjung. Banjir ini telah menelan beberapa nyawa dan memusnahkan harta benda yang banyak di samping menghentikan pelbagai aktiviti harian.

Akhir-akhir ini bencana alam kelihatan semakin kerap berlaku, di mana-mana. Ia pastilah satu petanda bahawa alam sudah tua, dan segala bencana adalah ibarat gejala sakit tua yang dideritai oleh alam.

Marilah kita kembali kepada Tuhan kerana di sanalah ada jawaban kepada segala-galanya. Kita akan melihat segala yang terjadi adalah kekuasaan Tuhan yang akan menetapkan takdirnya menurut ilmu dan kehendak-Nya. Wallahua'lam.


Pemandangan suram, memutih dilitupi debu.

(Gambar-gambar daripada AP).

Monday, November 1, 2010

Banjir di sana sini.


Ramadhan lalu, Pakistan dilanda banjir besar yang mengorbankan ribuan rakyatnya, manakala jutaan orang rakyatnya menanggung kerugian akibat banjir tersebut. Terakhir banjir melanda China, dan kini negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.


Banjir di Vienam.

Laporan terakhir menunjukkan sekitar 100 orang menjadi korban banjir di Thailand yang melibatkan 20 wilayah. Antara wilayah terburuk ialah Nakhon Ratchasima di timur laut Bangkok. Lebih sejuta rakyat Thailand terlibat dengan banjir besar ini. Di samping itu Vietnam juga sedang menghadapi banjir besar yang sedang melanda negara itu. Laporan AP seminggu lalu mengatakan 75 orang telah terbunuh dalam banjir kali ini. Semena itu sebuah bas terjunam ke dalam air dan membunuh 14 orang manakala enam orang lagi masih hilang.


Kini negara kita pula mula dilanda banjir. Laporan berita terbaru menyatakan banjir mula melanda negeri-negeri utara seperti Perlis dan Kedah, juga Kelantan. Kita akan menantikan perkembangan terbaru dari masa ke semasa untuk melihat kesan banjir kali ini.