Sunday, December 27, 2009

Memasyarakatkan projek Melestari ALam



Julai 2009 memberi sentuhan yang begitu bermakna kepada usaha-usaha memajukan tekonologi EM. Gerak hati begitu kuat untuk lebih serius dalam usaha tersebut. Dalam waktu singkat menghubungi APNAN di Bangkok melamar peluang untuk ke Sara Buri. ALhamdulilLah, hajat ke sana dimakbulkan. Pengalaman empat hari di Sara Buri sungguh bermakna. Sungguhpun tempoh waktu agak singkat tetapi pengalaman di sana sungguh bermakna. Terasa lebih dekat dengan sumber ilmu kerana keseluruhan tenaga penggerak program adalah orang-orang Jepun sendiri. Memandangkan teknologi EM berasal dari Jepun dan dimajukan di sana, maka sentuhan daripada tenaga pembimbing ini terasa lebih dekat pada sumber. (Gambar: bersama Dr Higa semasa di Pulau Pinang).

Sebelum ini saya telahpun mengikuti program latihan di Bali, di Institut Perlatiahan Sumberdaya Alam (IPSA). Walaupun maklumat asasnya adalah serupa tetapi kedapatan makumat-maklumat tambahan dan mutakhir yang boleh melengkapkan pengetahuan sedia ada. Lebih menarik lagi jaringan yang sempat dibina di sana di kalangan para peserta dari pelbagai negara Asia Pacific, antaranya rakan-rakan dari Filipina, India, Bhutan, Hongkong, New Zealand, Brunei dan juga Malaysia.

Ogos lalu, semangat EM membara lagi apabila dapat ke Pulau Pinang menyertai program menyelamat bumi “One million appologies to mother earth” di mana usaha membersihkan perairan Pulau Pinang dengan menggunakan bola-bola selut EM, telah dimulakan. Program ini menjadi program negeri apabila Ketua Menteri dan Exco negeri turun padang. Di samping itu ia juga menerima ramai tetamu antarabangsa, dari Thailand, Indonesia, Singapura dan Jepun. Dr Higa sendiri turun menyertai program ini. Sebagai pengasas teknologi EM, kehadiran Dr Higa memberi semangat yang besar kepada para peserta.


Selain bersama-sama orang ramai melontar bola selut ke laut di hadapan Gurney Drive, lebih penting ialah dapat bertemu ramai rakan-rakan aktivis teknologi Em dari seluruh negara dan juga dari luar negara. Pak Widi (Gede Ngurah Wididana), pengasas IPSA, Bali ; tenaga pengajar Sara Buri Centre, Thailand, penggerak EM di Singapura dan Dr Higa sendiri datang dari Jepun, adalah antara orang-orang penting yang dapat ditemui di sini. Pertemuan ini sangat bermakna dalam hubungan networking, khususnya bagi perkembangan teknologi EM di Malaysia. (gambar: bersama tenaga pengajar Sara Buri Centre).

Projek ‘Memohon maaf kepada bumi’ ini telah membawa Malaysia begitu menonjol dalam usaha menyelamatkan alam sekitar melalui aplikasi teknologi EM. Walaupun Malaysia secara umumnya agak ketinggalan dalam menerima pakai teknologi EM berbanding jiran-jiran lain di Asia; namun projek sebegini menampakkan kesungguhan dan komitmen pihak-pihak tertentu dan aktivis EM di Malaysia untuk menjulang tekonologi EM.

Bersama Shahabudin, kami berusaha membuat persediaan bagi satu projek yang sedang saya rancangkan, iaitu projek Melestarikan Alam, yang dirancangkan untuk dimulakan di sekolah-sekolah terpilih. Ia dijangka akan menjadi satu projek komuniti kemudiannya. Saya berusaha menyediakan kertas cadangan untuk mendapat sokongan moral daripada sebuah yayasan untuk menjadi penganjur bersama. Sehingga ini saya masih menunggu kelulusan pihak lembaga pengarahnya.


Walau apapun perkembangan sesudah ini, saya terus berusaha memasuki sekolah, di mana sebuah sekolah kebangsaan telah memberikan saya peluang untuk mencuba projek ini. Satu taklimat telah diadakan dengan sekumpulan guru-guru sekolah tersebut. Respon awal daripada taklimat tersebut memperlihatkan minat dan keinginan yang tinggi di kalangan guru-guru ini untuk menggerakkan projek ini di sekolah mereka. Sementara itu sebuah sekolah menengah sedang menunggu masa sesuai untuk memulakannya. (Gambar: guru-guru yang mendengar taklimat).

Daripada respon awal para guru besar dan pengetua yang dipelawa untuk menyertai projek Melestari Alam ini, rata-rata memberikan sambutan positif. Ini mungkin disebabkan projek ini tidak melibatkan banyak tenaga, kewangan dan juga masa. Ia juga boleh dijadikan sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum. Dalam waktu yang sama projek ini mempunyai nilai-nilai pendidikan yang tinggi baik dari aspek sains, biologi, pertanian, kemahiran hidup, sivik dan lain-lain.

Selain kertas kerja, sebuah Manual untuk guru-guru telah disiapkan. Ia akan dijadikan panduan dan pedoman kepada guru-guru yang akan menyertai projek ini. Mereka akanm embimbing para yang pelajar menyertai program ini, kerana sasaran akhirnya ialah para pelajar. Dengan mengikuti program ini, para pelajar akan didedahkan kepada satu pendekatan sihat menangani masalah pencemaran alam sekitar iaitu dengan mengolah sisa-sisa sampah menjadi bahan berguna.

No comments:

Post a Comment