Sunday, December 20, 2009

Ke era pertanian organik – siri 2: Impian Higa


Untuk memahami konsep EM dan penggunaan teknologinya dalam bidang pertanian, kita perlu memahami latar belakangnya yang sangat berkait dengan penemu teknologi ini iaitu Profesor Dr Teruo Higa. Kita dapat menelurusi sejarah penemuan dan perkembangan teknologi EM melalui dua buah tulisan utama Profesor Dr Higa iaitu buku An Earth Saving Revolution: a mean to resolve our world’s problems through Effective Microorganisme (EM) (1996) dan An Earth Saving Revolution II: EM – Amazing application to agriculture, environment, and medical problems (1998). Kedua buku tersebut adalah terjemahan daripada naskah bahasa asal – bahasa Jepun. Ia diterbitkan di Jepun oleh Sunmark Inc., Tokyo.

Pada tahun 2004 saya memperolehi kedua buku tersebut dari Amerika Syarikat. Kedua buku tersebut memperincikan manfaat EM kepada bidang pertanian, alam sekitar dan juga bidang kesihatan. Ternyatalah kedua naskah buku ini telah tersebar meluas ke seluruh dunia membawa idea-idea Higa tentang konsep EM dan aplikasinya. Ia menjadi rujukan kepada mereka yang mahu memahami EM dan manfaatnya.

Bagi saya memahami teknologi EM bukan sekadar membaca dan mengikuti kursus tentangnya. Lebih penting ialah menguji penggunaan EM itu sendiri. Saya telah bereksperimen menggunakan EM terutama dalam praktis mudah menyediakan bokasi atau baja kompos daripada sisa-sisa organik, terutama buangan organik dari rumah. Eksperimen ini akan menjelaskan kepada kita bagaimana proses penapaian mengambilalih proses pembusukan. Proses ini terjadi melalui peranan EM.

Penggunaan EM di rumah adalah asas yang sangat baik untuk kita memahami fungsi EM di mana manfaatnya nampak menyeluruh baik dari segi pertanian mahupun pemeliharaan alam sekitar. Selain itu aplikasi ini mempunyai kesan ke atas pendidikan keluarga, kerana amlan ini mudah dilakukan oleh anak-anak di rumah. Saya melihat di Amerika Syarikat teknologi ini diterapkan kepada anak-anak di sekolah melalui program pendidikan yang sederhana, menggunakan modul khusus.


Dalam keadaan biasa, sampah organik yang terdiri daripada sisa makanan yang sudah dimasak atau buangan makanan mentah merupakan sampah organik yang akan membusuk . Menguruskan sampah organik begini menjadi masalah kerana baunya. Inilah yang menjadi masalah kepada pengurusan sisa pepejal organik hari ini. Bertan-tan sampah rumahtangga perlu diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan. Sampah ini akan berakhir di pusat pelupusan sampah (landfill). Ia akhirnya menimbun dan mengahasilkan proses kimia dengan bau yang busuk dan pelepasan gas kimia, mengganggu persekitaran. Pengurusan sampah organik ini memakan kos yang tinggi. Di samping itu ia menjadi ancaman kepada alam sekitar.

Di sinilah peranan EM begitu jelas, kerana ia berupaya menukarkan proses pembusukan sampah-sampah organik ini kepada proses penapaian. Mikrob dalam EM adalah mikrob baik yang akan memproses sampah menjadi bahan yang bermanfaat. Ia bukan sahaja tidak busuk seperti biasa, tetapi juga berubah sifat menghasilkan bau masam-manis. Sampah organik yang diproses dengan EM akan menjadi baja organik dan juga boleh dijadikan sumber makanan haiwan. Ia boleh digunakan segera sebagai baja sekiranya ia ditanam dalam tanah.

Ketika mencuba aplikasi bokasi ini, kita tidak lagi perlu membuang sampah organik di rumjah, sebaliknya dapat dimanfaatkannya sebagai bokasi atau baja organik. Bayangkan kalau semua kita tidak membuang lagi sampah organik di setiap rumah, pastilah beban menguruskan sisa pepejal organik akan berkurang. Akhirnya Kerajaan dapat menjimatkan kos mengurus sampah, di samping itu masalah pencemaran alam sekitar juga dapat dihindari. Inilah sebenarnya impian Profesor Dr Higa.

No comments:

Post a Comment