Tuesday, December 22, 2009

Ke Sara Buri, tinjau pertanian alami


Juali lalu, sejak 19 hingga 25 Julai, saya ke Sara Buri, Thailand mengikuti International Workshop on Nature Farming. Program empat hari (20-23 Julai) itu disertai 25 orang peserta dari tujuh buah negara iaitu Malaysia, Singapore, Filipina, India, Bhutan, Hong Kong dan New Zealand.

Workshop antarabangsa ini adalah anjuran Asia Pacific Natural Agriculture Network (APNAN)yang berpusat di Bangkok. APNAN adalah sebuah petubuhan non-profit yang menganjurkan program Workshop antarabangsa dua kali setiap tahun, bagi memajukan petanian alami (nature farming) melalui aplikasi EM di kalangan negara-negara Asia Pasifik. Pusat aktivitinya ialah di Sara Buri Centre, terletak di Sara Buri, kira-kira 130 km dari Bangkok.


(menyediakan tapak tanaman)

Sara Buri Centre atau SBC adalah sebuah pusat latihan meliputi kawasan seluas 75 hektar, lengkap dengan komplek bangunan pentadbiran, asrama, rumah pekerja dan sebuah blok tiga tingkat sekolah tinggi vokasional (khusus untuk pelajar lelaki). SBC dibiayai oleh sebuah pertubuhan kerohanian yang dikenali sebagai SKK atau Sekai Kyusei Kyu. Pertubuhan ini mempunyai lebih 600 ribu orang ahli dan diasaskan oleh Mokichi Okada (1988-1955) (gambar atas). Beliau jugalah pengasas kepada kosep pertanian alami yang dikenali sebagai Kyusei Nature Farming itu.

Melalui program latihan di SBC, APNAN melatih para petani dan mereka yang berminat dengan pertanian alami tentang aspek-aspek asas pertanian alami melalui aplikasi teknologi EM (Effective Microorganisme) sepenuhnya. Selain daripada Workshop antarabangsa, mereka juga menganjurkan kursus-kurus pendek dan menerima lawatan daripada pelawat-pelawat antarabangsa sepanjang tahun.

Wujudnya SBC dan APNAN di Bangkok membolehkan penduduk Thailand khususnya para p-etani memajukan diri mereka dengan konsep pertanian alami serta penggunaan teknologi EM. Sejak tahun 1988 mereka terdedah dengan maklumat dan pengalaman bertani secara Kyusei Nature Farming (KNF), menjadikan para petani Thailand begitu maju dan berjaya. Tempoh waktu itu telah mematangkan sebahagian pengamal-pengamal pertanian alami dan teknologi EM di sana. Mereka kelihatan begitu taksub dengan amalan KNF kerana mereka benar-benar telah menikmati manfaat besarnya.


(menyediakan salad untuk ayam ternak)

Secara umumnya konsep KNF adalah berdasarkan falsafah hidup Mokichi Okada yang mahukan manusia kembali kepada hakikat ciptaan alam atau SunnatulLah, di mana manusia sepatutnya menghargai alam, memelihara ekosistemnya dan mengekalkan kelangsungan hayatnya. KNF adalah amalan pertanian yang berasaskan konsep alami yang berteraskan integrasi antara manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Laahirlah pertanian bersepadu (integrated farming) yang menggabungkan aktiviti penanaman, ternakan dan juga akuakultur.

Dalam kawasan seluas 75 hektar itu SBC menyediakan ladang contoh yang lengkap meliputi semua aktiviti pertanian alami termasuk kawasan sawah padi, kawasan penanaman sayur, kawasan pokok buah-buahan, kolam ternakan ikan/udang, penanaman cendawan, ternakan ayam dan khinzir. Di samping itu terdapat juga bengkel penyediaan EM, bokashi dan baja organik, yang menggunakan sepenuhnya sumber sisa buangan daripada aktiviti pertanian di situ.

Aplikasi teknologi EM menjadi tunjang kejayaan konsep KNF di SBC. EM digunakan sepenuhnya dalam pertanian, bermula daripada penyediaan tapak semaian, tapak penanaman, pembajaan dan pengawalan serangga perosak. Bagi aktiviti penternakan pula, EM digunakan sebagai sumber asas untuk penyediaan makanan dan minuman ternak, pengawalan penyakit (antibiotik) dan penjagaan harian serta pengurusan sisa buangan (najis ternakan). Penggunaan teknologi EM membolehkan ternakan hidup lebih sihat, bebas penyakit serta kebersihan kawasan sekitar ladang ternakan terjamin. Malahan air kumbahan daripada sisa najis ternakan diurus dengan begitu berkesan tanpa bau busuk, manakala air sisa itu dibersihkan dan dapat diguna pakai semula. Melalui kaedah ini, alam sekitar bebas daripada pencemaran.


(Bersama peserta dari 7 buah negara)

Sepanjang empat hari kami di SBC, program begitu padat meliputi syarahan dan lebih banyak latihan praktikal di luar. Selain itu kami juga saling bertukar pengalaman melalui pembentangan aktiviti daripada peserta-peserta setiap negara. Ini satu sesi perkongsian pengalaman yang sangat berharga. Kami juga dibawa melawat ke kawasan di mana aplikasi pertanian alami menggunakan teknologi EM diamalkan. Kami ke wilayah Nakhornratchasima, melawat Muang Porn Garden, sebuah pusat agro pelancongan terletak arah timur laut Bangkok. Di sana kami melihat bagaimana Mr Chalermkiat memajukan pusat pelancongannya menggunakan sepenuhnya teknologi EM. Terdapat sebuah restoran yang menyediakan makanan organik di mana setiap hari dikunjungi 800 orang pengunjung dan ribuan lagi di hujung minggu. Pengurusan restoran ini diasaskan kepada penggunaan EM. Sisa-sisa makanan diproses semula menjadi baja organik. Sebahagian lagi digunakan untuk penanaman pokok-pokok hiasan di nurserinya. Beliau memperolehi pendapatan daripada restoran di samping nurseri. Ketika memperkenalkan diri dan aktiviti perniagaannya, beliau begitu bangga sebagai pengamal setia teknologi EM sejak sepuluh tahun yang lalu.

Kami juga dibawa melawat kebun pisang yang diusahakan oleh seorang petani wanita yang juga wakil rakyat di kawasannya. Ladang pisangnya sekitar dua hektar tetapi hasil pisangnya diproses menjadi makanan ringan yang menguntungkan. Beliau menggunakan aplikasi teknologi EM dalam menyediakan baja organik untuk ladang pisangnya.


(pemandangan indah di botanical garden, sekitar kompleks SKK)

No comments:

Post a Comment