Friday, December 25, 2009

Lingkungan alami di persekitaran rumah.


Kelapa pandan

Sekitar rumah kami dihiasi lanskap unik kerana ia bukanlah sebuah laman hiasan sebagaimana landskap rumah jiran-jiran lain. Kami menanam pohon buah-buahan seperti kelapa (kelapa biasa dan kelapa pandan), mangga, rambutan, pulasan, ciku, longan, jambu air, jambu batu, manggis, avocado, delima, anggur dan buah naga. Pohon buah tempatan seperti rambutan, mangga, jambu, longan berbuah lebat dan sering berbuah. Puas kami sekeluarga menikmati hasil buahnya, di samping itu jiran-jiran juga dapat merasanya. Begitu juga dengan mergastua yang ada di persekitaran, terutama burung, tupai dan kelawar.

Kelapa pandan di depan rumah sudah berbuah sejak masih rendah lagi. Buahnya begitu lebat di peringkat awal. Air kelapa mudanya harum dan manis. Puas kami sekeluarga mencicipinya. Mangga sebatang ini juga sering memberikan kami buah harum manis yang sungguh manis dan berisi tebal. Rambutan juga sering berbuah walaupun pohonnya tidak begitu rendang, malah kelihatan kurus sahaja. Longan sering berbunga dan berbuah. Malangnya ia perlu dibungkus dan dijaga untuk mendapatkan hasilnya. Jika tidak habis dikenduri oleh kelawar ketika ia mula berisi. Apa pun, longan ini begitu setia berbunga dan berbuah sepoanjang masa.

Selain tanaman buah-buahan, kami juga menanam pohon ubatan dan herba. Pohon mengkudu semakin bertambah apabila ia dicambahkan oleh burung. Mengkudu tumbuh subur dan berbuah lebat. Rosel juga ditanam untuk dapatkan kelopaknya bagi dibuat teh. Selain itu misai kucing, mas cotek, sireh, lidah buaya juga ditanam. Pohon ulaman yang ada di 'edible garden' kami ialah serai, halia, cekur, pandan, kadok, kesum, karipule, ulam raja, kucai, salang, limau purut, limau kasturi, ubi kayu, nenas dan pegaga.


Pokok bunga yang ada termasuklah bunga melati (melur), bunga kertas, berjenis-jenis kaktus, anggerik, adenium, euphoria, sanseivera, dan beberapa jenis palma. Selain itu kolam ikan turut membiakkan tumbuhan air seperti keladi bunting (water hyacint), kiambang, pegaga air, dan lain-lain. Tiga jenis teratai atau padma (lotus) adalah antara tumbuhan air yang penting pada kami.

Lanskap ini agak lengkap dari segi usaha kami untuk mewujudkan suasana alami, di mana akhirnya zahirlah sinergi antara manusia, tumbuhan dan haiwan. Wujudnya elemen tumbuh-tumbuhan, antaranya menghaslkan buah-buahan telah mengundang pelbagai jenis mergastua: burung, tupai, kelawar dan juga landak. Kehadiran mereka melengkapkan kesempurnaan alam di persekitaran rumah kami.

Dari pemerhatian saya, terdapat belasan jenis burung yang datang baik setiap hari atau bermusim. Burung-burung yang sentiasa mewarnai persekitaran rumah ialah ciak (ciak rumah), tiung (gemala kerbau), murai, tekukur, merbah, ruak-ruak. Sekali sekala kelihatan balam, puai daun, puyuh, layang-layang, raja udang, pipit dan kelicap. Mereka turut berkongsi rezeki dari buah-buahan di samping turut menikmati buah-buah palma yang tidak bermusim. Ketika buahnya masak kedapatan beberapa jenis burung pendatang yang tidak diketahui namanya. Buah mengkudu adalah buah yang tidak bermusim yang menjadi santapan enak burung-burung. Burung ruak-ruak kelihatan sering berkunjung ke laman rumah mencari makanan dan minum di kolam.
Selain itu sepasang tupai tanah setiap hari berkunjung, dan agak jinak. Sebahagian mergastua ini sempat dirakam oleh kamera, untuk simpanan. Antara mergastua unik yang pernah dilihat mengunjungi rumah kami ialah landak. Siuatu malam ketika berehat di beranda rumah, saya melihat dua ekor landak raya sedang menghampiri pohon nenas di luar pagar rumah. Penemuan ini sungguh mengejutkan memandangkan perumahan kami dalam taman, bukan di kampung.

Usaha menghijaukan sekitar rumah dengan aneka flora menarik kunjungan mergastuan, yang akhirnya menzahirkan sebuah lingkungan kehidupan yang sungguh alami. Bangun pagi sudah kedengaran merdu suara unggas, burung-burung. Kehadiran mereka tentulah sangat bermakna kepada manusia kerana mereka memberikan kita kepuasan intrinsik yang sukar digambarkan. Tumbuhan dan mergastua selama ini banyak membantu kita meredakan tekanan dan masalah. Kehijauan tumbuah bukan sekadar meredupkan pandangan mata, tetapi juga menyegarkan jiwa di dalam.

Inilah kesan daripada kewujudan sebuah landskap sederhana di persekitaran rumah, sebuah taman yang mudah diusahakan dan murah belanjanya. Pada saya, ia satu usaha mengembalikan noltalgia pada alam sebagaimana kehidupan zaman kanak-kanak di kampung dahulu.


Tanah bertukar warna kehitaman, menandakan ia sudah pulih, sesuai untuk pertanian.

Sejak bersahabt dengan EM dan teknologi EM, saya menjadikan sekitaran rumah kami kawasan untuk bereksperimen. Sisa-saia makanan atau sampah dapur difermentasi dengan EM, kemudian dijadikan makanan untuk mergastua dan juga ditanam sebagai kompos. Ia juga dimanfaatkan sebagai baja kepada tanaman. Pada peringkat awalnya, tanah di sekitar rumah adalah tanah keras (tanah yang dipotong), tidak mudah diserap air dan bukan tanah pertanian. Tanah itu akhirnya terawat apabila tanaman mula tumbuh, diberi baja. Proses pertumbuhan tanaman, rumputan dan juga pereputan sisa organik, mengubah struktur tanah. Akhir-akhir ini tanah itu telah memberi petunjuk baru di mana sudah kedapatan cacing tanah di dalamnya. Ini bermakna tanah ini telah kembali subur dan sesuai untuk berucuk tanam. Selain itu warna tanah sudah berubah dari jingga-merah kepada warna hitam. Perubahan ini kesan rawatan secara tidak langsung melalui longgokan sisa sampah organik yang difermentasi dengan EM. Di kawasan seluas dua tiga meter persegi itu sesuai untuk ditanam sayur. Ia akan ditanam dengan bendi sedikit masa lagi.






Antara pohon yang ada (atas ke bawah): avocado, rosel, bunga melati dan longan (sedang berputik).

No comments:

Post a Comment