Saturday, December 19, 2009

Melaraskan tanggapan terhadap sampah


Sampah kepada kebanyakan orang adalah 'sampah', sisa-sisa buangan yang tidak diperlukan. Orang akan melihatnya dengan pandangan yang jijik dan hina. Perkataan 'menyampah' datangnya daripada kata sampah, yang membawa makna tidak suka, benci, dan amat tidak menyenangkan. Sampah menjadi begitu hina dan tidak menyenangkan, maka orang membuangnya; jadilah ia sisa-sisa buangan. Daun-daun kering yang jatuh di halaman rumah adalah sampah daripada tumbuhan. Di dalam rumah, sisa-sisa makanan baik yang belum dimasak atau yang sudah dimasak, adalah sampah (sampah dapur) yang menjijikkan. Sampah-sampah ini akan dibuang ke dalam tong sampah, kemudian dipungut oleh lori agensi pemungut sampah untuk dilupuskan di tapak pembuangan sampah atau landfill. Sampah dapur ini ada kalanya dilonggok berhari-hari di tempat pungutan sampah, tanpa dipungut oleh lori pemungut sampah, maka ia akan menghasilkan bauk busuk yang meloyakan. Bau busuk ini akan menyebabkan orang tambah 'menyampah' dengan sampah-sampah ini.

Demikianlah senario tentang sampah, terutama sisa-sisa buangan organik, yang begitu cepat berubah dan membusuk. Proses pembusukan adalah proses biasa setiap sumber organik di mana proses oksidasi terjadi sewaktu penguraian bio. Proses degeneratif mengubah sifat dan bentuk bahan organik, dari ciri-cirinya yang segar, menjadi layu, berubah warna dan bau. Buah-buahan yang manis bertukar masam, baunya yang harum bertukar menjadi masam dan busuk. Biasanya bahan organik akan melalui proses pembusukan dalam proses penguraian, sebelum ia hancur dan menjadi humus.

Sisa dapur adalah sampah organik yang dianggap menjadi masalah dewasa ini. Sisa dapur tidak dapat dielakkan kerana bahan-bahan makanan akan menghasilkan sisa-sisa yang tidak digunakan, dan ia akan dibuang sebagai sampah. Contoh, bahagian tertentu daripada seekor ikan akan dibuang termasuk kepala, isi perut dan siripnya. Kulit buah-buahan, ubi-ubian, rempah ratus akan dibuang. Sayuran yang tidak digunakan misalnya bahagian batang, akar dan yang rosak akan dibuang. Ini semua adalah sisa bahan makanan yang belum di masak. Setelah dimasak, ada pula bahan yang akan dibuang, contohnya tulang-tulang ikan dan daging, kulit udang dan kerangan. Ini tidak termasuk lebihan makanan yang akan menjadi sisa sperti nasi dan lauk-pauk. Sisa makanan telah dimasak mengandungi bahan-bahan yang berbaur daripada perisa makanan, minyak, lemak santan, rempah ratus dan bermacam lagi. Bauran ini menjadikan proses pembusukan lebih cepat.


Mengolah sampah dapur menjadi bahan berguna.

Adalah mustahil kita hendak menghindari sampah organik di rumah. Setiap hari setiap rumah akan menghasilkan sisa-sisa organik dari dapur. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengurangkan penghasilan sisa-sisa dapur itu kepada kadar yang paling minima. Mengurangkan sisa boleh dilakukan dengan mengawal bahan-bahan makanan agar tidak dimasak berlebihan, dengan itu ia tidak akan membazir. Habiskan makanan yang dimasak, jangan dibiarkan ia bersisa sebagai buangan. Hal ini tidaki mudah dilakukan kerana ia memerlukan satu kemahiran dan sikap yang positif terutama di kalangan ibu-ibu yang bertugas di dapur.

Hari ini sukar bagi surirumah untuk mengawal diri ketika memasak. Bahan makanan dimasak berlebihan sehingga ia meninggalkan sisa yang banyak. Cara hidup 'membazir' nampaknya sudah menjadi kebiasaan. Tabiat buruk ini sudah tidak dianggap satu dosa lagi. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang berada dan berjaya, yang mewah dalam soal makan minum. Ini bukanlah satu andaian negatif, kerana laporan membuktikan masyarakat di bandar menghasilkan sampah organik yang sangat banyak. Tingginya kadar sampah bagi setiap orang atau setiap rumah menunjukkan wujudnya sikap membazir dalam penyediaan makanan. Restoran-restoran dan tempat makan awam juga menghasilkan banyak lebihan makanan, termasuk nasi. Ini membuktikan betapa masyarakat pengguna kita tidak pandai berhemat dan berjimat. Banyaknya sampah organik (sisa-sisa makanan) memhbuktikan kita masih boros dan membazir.

Sekiranya kita dapat memperbaiki tabiat membazir ini, kita akan berjaya mengurangkan penghasilan sampah organik dari rumah. Dengan itu kita akan dapat menyumbang kepada pengurangan beban agensi pemungut sampah, mengurangkan beban tampungan di landfill, dan mengurangkan kesan pencemaran dan turut mengurangkan resiko penyakit akibat pencemaran tersebut.


Sisa dapur dimanfaatkan di kebun.

Sistem pengurusan sisa pepejal kita belum lagi sempurna. Sebab itu kita masih berdepan dengan masalah pungutan sampah yang tidak efisen. Masih terdapat tempat pungutan sampah umum (tong-tong sampah besar di kawasan perumahan yang terbiar berhari-hari tidak dipungut). Di samping itu tidak kurang pula yang melonggokkan sampah di pinggir jalan (mungkin kerana tiada tong sampah besar). Stesen pungutan sampah sementara (biasanya di kawasan kediaman seperti flat dan kediaman padat) tidak disediakan dengan baik. Sistem pengurusannya kurang berkesan menyebabkan pungutan tidak dibuat dengan teratur setiap hari. Sampah organik yang tidak dipungut dalam tempoh tertentu akan mula membusuk, dan ia akan mengganggu keselesaan penduduk di sekitarnya.

Pihak pengurusan sampah juga perlu memikirkan pendekatan-pendekatan alternatif untuk menguruskan sampah secara lebih berkesan. Pendekatan teknologi hijau boleh digunakan. Sampah sudah tidak lagi boleh dilambakkan di tempat pembuangan sampah atau landfll kerana ia tidak menyelesaikan masalah sampah organik. Sistem lama ini hanya mengalihkan masalah sampah dari rumah ke lokasi lain, iaitu landfill. Sampah harus diproses menjadi bahan lain yang boleh dimanfaatkan, dengan itu sampah tidaklah menjadi bahan buangan yang tidak berharga di samping menimbulkan masalah.

Hari ini sisa-sisa organik sudah boleh diproses menjadi bahan bermanfaat seperti baja organik dan makanan ternakan. Sekiranya pengurusan sisa organik mengambil kira proses organik, maka kita akan menemui penyelesaian yang lebih alami. Sisa-sisa organik tidak akan menjadi 'sampah' yang membebankan, sekiranya kita mahu mengubah tanggapan kita terhadapnya. Mengubah persepsi ini tentulah memerlukan asas pengetahuan yang betul.


Sayur yang subur hasil penggunaan sisa-sisa dapur.

Proses mengolah sampah menjadi baja organik boleh dilakukan oleh semua orang, terutama kaum ibu di rumah. Mereka boleh memproses sendiri sisa-sisa dapur rumah mereka menjadi bahan yang mereka boleh gunakan semula. Proses ini mudah dan juga murah. Dengan peralatan ringkas dan sederhana, sisa-sisa makanan boleh difermentasi menjadi baja kompos atau makanan ternakan. Apa yang perlu ialah pengetahuan dan bahan bioreaktor untuk proses penguraian organik.

Kami di IPAL sedang berusaha mengembangkan teknik dan cara mengolah sampah ini kepada masyarakat, terutama surirumah. Adalah menjadi tanggungjawab sosial kami untuk menyebarluas pengetahuan asas ini bagi membolehkan setiap rumah menukarkan sisa-sisa dapur mereka menjadi bahan boleh guna. Dengan itu beban sisa organik di rumah dapat dikurangkan pada tahap yang paling minima. Dengan itu juga beban sampah organik akan semakin berkurang kerana ia tidaklah lagi menjadi bahan buangan.

No comments:

Post a Comment