Sunday, December 27, 2009

Apabila mergastua bertamu


Dua pohon jambu air di tepi rumah sentiasa berbuah. Oleh kerana ia tidak dirawat rapi, buahnya memang banyak tetapi tidak berkualiti, tidak besar dan tidak bagus. Sepatutnya untuk mendapatkan buah yang bagus, sewaktu berputik, dibuang sebahagian besar dan tinggalkan beberapa buah yang perlu dibiarkan masak. (Gambar: seekor burung ruak-ruak yang liar bertamu ke pintu dapur).

Itu semua tidaklah begitu penting, kerana saya tidak punya waktu dan tidak juga berniat untuk mendapatkan buah yang berkualiti. Oleh kerana ia sentiasa berbuah tanpa musim, biarlah ia berbuah lebat. Yang penting ia dapat dikongsi oleh mergastua yang bermastautin di sekitar rumah. Mereka tentunya burung-burung, tupai tanah, kelawar dan lain-lain termasuk lalat buah dan lebah. Pada saya kehadiran mereka lebih penting untuk membolehkan saya melihat, mengamati dan menikmati satu kehidupan sempurna kepelbagaian bio, dan ekosistem yang begitu asli dan alami.


Dari beranda rumah saya senang melihat burung berkicauan di dahan dan menikmati buah-buah jambu air, longan, buah mengkudu masak dan juga buah palma yang sedang menguning. Saya merasa puas kerana telah berjaya menyediakan santapan untuk makhluk-makhluk ini. Semuanya adalah sedekah untuk mereka. Yang penting kehadiran mereka telah memberikan banyak makna tentang kehidupan, tentang makhluk dan tentang kebesaran Tuhan. (Gambar: burung hitam ini jarang terlihat, tidak pasti namanya).

Satu perkara yang kita boleh belajar daripada alam, iaitu berkongsi kehidupan dengannya. Kita menabur benih ke bumi, bumi menumbuhkan tanaman. Apabila berbuah kita akan menikmati hasilnya, dan dalam waktu yang sama kita berkongsi dengan mergastua yang bertamu ke halaman. Mereka akan menikmati mangga yang hampir masak. Begitu juga dengan buah longan yang begitu lebat, tiba-tiba rontok semalaman sahaja apabila sang kelawar bertamu ke rumah waktu malam. Rasa kecewa seketika muncul. Namun bila mengingatkan bahawa rezeki Tuhan adalah untuk dikongsi, maka perasaan kesal menghilang. Jadilah ia sedekah dan jariah.

Sebenarnya kita tamak. Untuk makan buah longan kita boleh mendapatkannya di pasar dan kita pula mampu membayar harganya. Apalah nilainya buah longan di pohon yang dinikmati sang kelawar? Mereka tidak mampu mendapatkannya di pasar seperti kita. Maka itulah rezeki mereka. Apabila kita berfikir sedemikian, maka waraslah kita.


Saya mulai mengerti, kunjungan tamu-tamu ini ke halaman rumah adalah kerana di sini mereka dapat menikmati rezeki mereka baik yang tersedia secara alami mahupun yang kita usahakan. Sisa-sisa dapur yang difermentasi dengan EM akan menjadi sarapan lazat kepada burung-burung, tupai dan kucing. Apabila kita sering menyediakannya, mereka akan sering bertamu. Begitu juga pohon-pohon buahan yang sering berbuah, mengundang tamu-tamu ini datang untuk menikmatinya.
(Gambar: seekor tiung sedang mencari makan).


(Seekor murai meniti tebing kolam).


(Punai daun di rimbunan daun).


(Sepasang merbuk sedang mencari makan di laman).


(Seekor merbah jambul di pohon mengkudu).

(Semua gambar dirakam di persekitaran rumah).

No comments:

Post a Comment