Monday, December 21, 2009

Ke era pertanian organik siri 3: Impian Higa impian kita semua!


Profesor Dr Teruo Higa yang mengembangkan teknologi EM ke seluruh dunia sejak tahun 80an, mempunyai matlamamt murni: menyelamatkan dunia. Inilah matlamat yang hendak dicapai, melalui pendirian dan keyakinannya yang diterapkan dalam kedua-dua buah bukunya. (Lihat siri 2 yang lalu).

Profesor Higa bukan sekadar berteori tetapi seorang yang benar-benar berusaha dan bekerja keras merealisasikan impiannya. Beliau bukan sekadar seorang profesor yang hanya berkuliah, menjalankan penyelidikan di ruang kampus universitinya (Ryukyu University) di Okinawa; tetapi seorang yang sungguh praktikal. Beliau menjelajah dunia memastikan penerapan teknologi EMnya diterapkan dengan benar. Beliau rajin turun padang, bersama dengan mereka yang mengamalkan teknologi EM di pelbagai negara di dunia. Beliau tidak pun mengambil kesempatan untuk membina kekayaan daripada teknologi yang dimajukannya. Beliau kelihatan sungguh ikhlas untuk menyumbangkan ilmu dan aplikasi ilmunya kepada semua penduduk dunia, agar dunia menjadi lebih selamat, kembali alami tanpa kesan buruk pencemaran kimia.

Profesor Higa menjelajah dunia terutama negara-negara yang menerima idea dan hasil penyelidikannya. Beliau turun padang, menemui langsung pengamal teknologi EM tanpa mengira status mereka. Sebahagiannya adalah para petani, pengusaha peternakan, dan juga orang ramai yang benar-benar yakin dan mahu menerapkan teknologi EM ini. Di negaranya Jepun misalnbya, EM digunakan untuk membersihkan sungai dan perairan yang tercemar. Kebanyakan orang yang berkerja membersihkan sungai ini bukanlah jabatan atau pihak berkuasa tempatan/kerajaan, tetapi adalah orang biasa, rakyat biasa atau pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan. Mereka ini adalah golongan yang sedar tentang masalah pencemaran, dan merekalah yang berusaha menanganinya tanpa mengharapkan pihak-pihak tertentu untuk melakukannya.

Di Malaysia hari ini nampaknya idea-idea Profesor Higa sudah mula diterima pakai oleh kalangan pengusaha pertanian termasuk penternak. Mereka yang telah menggunapakai teknologi EM ini ternyata sudah yakin kepada keupayaan teknologi setelah melihat hasilnya yang memberangsangkan. Hasil pertanian menjadi subur menggunakan sokongan EM. Ternakan juga menjadi lebih sihat dan hasilnya meningkat. Selain itu mereka dapat menjimatkan belanja penggunaan baja kimia dan racun. Ternakan yang menggunakan EM dapat menjimatkan kos makanan (sekiranya mereka tahu bagaimana menggunakan teknologi EM ini).

Aplikasi EM sepenuhnya pasti akan menjimatkan dan juga selamat. Penjimatan dapat dilihat apabila pertanian organik diamalkan secara lengkap atau separa-organik. Penggunaan baja kimia dan racun serangga atau racun rumpai dapat dijimatkan atau mungkin tidak diguna langsung. Hari ini kos input-input kimia itu melonjak harganya. Selain jimat, amalan pertanian organik pastinya dapat menyelamatkan alam sekitar, kehidupan manusia dan juga kehidupan makhluk lain. Tanpa kimia, tanah tidak rosak (mati), persekitraran tidak tercemar dengan bahan kimia dan racun, kehidupan manusia lebih sihat bila tiada pencemaran, kehidupan makhluk lain juga turut terselamat.

Sebenarnya adalah menjadi impian kita semua untuk hidup lebih selamat, hidup lebih sihat dan dapat menikmati segala anugerah Tuhan di alam ini dengan penuh keyakinan dan kesyukuran. Sebagai sebahagian daripada kesatuan ekositem alam, manusia juga turut terikat dalam kelestarian alam. Manusia sebagai khalifah atau penguasa yang diberi amanah mentadbir alam ini, perlu sedar bahawa merekalah yang menanggung amanah besar untuk mengekalkan kelestarian alam ini. Mengikut Sunnah Tuhan, alam ini seharusnya terus mengekalkan sifat-sifat alaminya di mana semua makhluk termausk manusia dapat hidup dengan harmoni. Malangnya hari ini manusia mencipta pelbagai bahan yang digunakan untuk merosakkan ekosistem alam. Manusia membunuh makhluk lain dengan menggunakan racun. Dalam peperangan manusia membunuh sesama manusia menggunakan racun dan senjata-senjata beracun. Ledakan senjata melepaskan bahan-bahan beracun termasuk radioaktif yang akhirnya membunuh manusia dan makhluk lain di alam ini. Contohnya, pengalaman ngeri di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun ketika bom atom diledakkan. Berapa ramai orang yang mati, berapa banyak pula kerosakan pada alam, dan berapa lama pula orang-orang di sana menderita dan merana.

Hari ini kehidupan kita dikelilingi dengan pelbagai kerosakan pada ekosistem yang berlaku demi tuntutan pembangunan dan kemajuan manusia. Hutan hujan tropika semakin berkurangan akibat penebangan balak tidak terkawal, di samping pembukaan tanah baru. Kesannya kita mengalami kekurangan sumber kerana hutan adalah tempat tadahan air. Selain itu sungai kita tidak lagi bersih kerana ia dipenuhi dengan keladak tanah. Akibat kekurangan sumber air, di sesetengah tempat sawah kekeringan. Pencemaran air menyebabkan kita kehilangan sebahagian besar sumber kehidupan air yang selama ini membekalkan protein kepada kita.

No comments:

Post a Comment