Friday, December 18, 2009

Selamatkan alam, selamatlah hidup manusia.


Ketika tulisan ini disediakan, kita baru sahaja menyambut kedatangan tahun baru Hijriah, Maal Hijrah. Satu kebetulan apabila tercetus idea untuk menzahirkan sebuah blog khusus membicarakan satu dimensi penting daripada kehidupan semasa, iaitu tentang kehidupan yang berlandaskan hukum alam atau SunnatulLah atau sains menyebutnya sebagai nature.

Hari ini orang sibuk membicarakan tentang pemanasan global, tentang pencemaran alam sekitar, tetang perubahan suhu dunia, tentang bencana alam dan pelbagai lagi gejala yang zahir sebagai petunjuk tentang kemerosotan kualiti hidup manusia dan makhluk di bumi. Dalam nada kesal, ramai orang mengandaikan betapa dahsyatnya kerosakan alam ini, sehinggakan industri perfileman melempiaskan fantasi mereka tentang kemusnahan (kiamat) melalui filem-filem mereka. Contohnya filem 2012. Di Copenhagen baru sahaja berlangsung acara penting yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin negara dunia untuk membincangkan tentang pemanasan global.

Sebenarnya apa yang sedang kita alami ini adalah episod-episod terakhir daripada satu takdir tentang alam dan hubungannya dengan tingkahlaku manusia. Lebih 1400 tahun dahulu, ketika al-Quran diturunkan ke bumi, ia sudah merakamkan peringatan-peringatan penting tentang status alam, tentang tingkahlaku manusia dan tentang kesan-kesan buruk daripada aktiviti manusia di bumi.

Perhatikan ayat tentang dialog antara Tuhan dengan para malaikat ketika Tuhan hendak mencipta Adam sebagai manusia pertama. Malaikat ada menyebut: adakah Engkau (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana (kerosakan) dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu. (maksud al-Quran 2:30).


Pulau-pulau akan tenggelam apabila paras air meningkat. Air pula semakin tercemar.

Ternyata benarlah bahawa manusia itu bersifat perosak, pemusnah dan gemar menumpahkan darah di bumi. Dari satu sisi, inilah ciri-ciri makhluk yang bernama manusia itu. Sejak dari zaman nabi Adam as, anaknya telah memulakan pembunuhan, hinggalah ke hari ini manusia masih terus menerus melakukan pembunuhan. Setiap hari, setia jam dan setiap detik terjadi pembunuhan, pembunuhan sesama manusia tanpa sebab-sebah sah dan halal. Pembunuhan terjadi akibat jenayah (rompak, culik, ragut, upahan), dendam, pergaduhan, peperangan, penjajahan dan pelbagai sebab lain yang sebahagiannya adalah sebab-sebab yang terlalu kecil. Kita melihat nyawa amanusia tidak begitu berharga. Kini setiap hari ada sahaja pembunuhan ramai melalui ledakan bom-bom kereta di negara-negara yang sedang berkonflik, antaranya Iraq, Afghanistan, Palestein, Pakistan, Thailand (Patani) dan lain-lain.

Ukuran kemajuan di bidang ilmu tidak mampu menghentikan tabiat buruk manusia suka menumpahkan darah. Manusia menjadi bertambah kejam dengan penggunaan senjata moden dan canggih untuk membunuh, berperang dan menjajah. Negara-negara maju dan kuasa besar menjadi juara penjajahan baru. Contohnya Amerika Syarikat. Kesan penggunaan senjata nuklear bukan sekadar membunuh sesama manusia, tetapi telah memusnahkan makhluk lain, binatang, tumbuhan dan alam sekitar. Struktur bumi dan sumber-sumber alam telah dirosakkan. Ledakan bom menghasil pelbagai gas beracun dan radio aktif yang merosakkan struktur fizik dan kimia udara. Contohnya ledakan atom di Jepun dalam tahun 1942 telah kmeninggalkan kesan kemusnahan yang sangat dahsyat. Kesannya berpanjangan melalui kecacatan anggota manusia dan kemusnahan alam sekitar.

Hari ini apabila kita melihat kerosakan yang amat parah di bumi dan di lautan, maka insaflah kita bahawa semuanya adalah berpunca daripada aktiviti salah manusia jua. Ingatlah kepada firman Allah dalam al-Quran: telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali ( ke jalan yang benar). (maksud al-Quran 30:41).


Syukurlah sebahagian besar kita menyedari dan menginsafi bahawa segala petaka alam yang sedang melanda bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia, sejak zaman lampau hingga ke hari ini. Mustahil bagi kita untuk mengembalikan keadaan bumi ini kepada keadaan asalnya kerana alam ini telah melalui proses perkembangan yang sangat lama. Contohnya mustahil kita menggantikan hutan hijau yang telah musnah, kerana kewujudannya berusia ratusan dan ribuan tahun. Apakah mudah bagi kita menghentikan aktiviti manusia yang menghasilkan gas karbon dioksid yang sangat banyak sebagaimana waktu ini? Manusia tidak mungkin menghentikan aktiviti pencemaran alam kerana aktiviti kehidupan moden sentiasa menyumbangkan pencemaran, contohnya daripada kenderaan, kilang dan juga dari rumahtangga. Sanggupkah kita berpatah arah ke belakang meninggalkan segala kemudahan tekonoloti yang selama ini mencemarkan persekitaran?

Apa pun, dari sisi positifnya kita masih boleh melakukan pelbagai pendekatan dan cara, untuk sekurang-kurangnya mengurangkan impak kerosakan alam ini. Salah satu pendekatan ialah memahami bagaimana kehidupan ini dapat diteruskan dengan memahami hukum-hukum alam, kembali menyesuaikan diri dengan ciri-ciri hidup alamiah (back to nature) dan mengekalkan hubungan simbiosis dengan alam serta memuliakan hubungan sinergi dengan alam.


Marilah kita mengumpulkan sebanyak-banyak maklumat yang akan menjadi pengetahuan, agar kita dapat lebih memahami dan mengerti hakikat kewujudan makhluk di bumi ini. Proses biologi alam, keseimbangan ekosistem alam, hukum kseimbangan dan perkongsian adalah asas-asas sains yang sangat membantu kita memahami hal-hal ini. Allah mencipta bumi untuk tempat kediaman manusia, khalifah-Nya, yang diberi amanah dan tanggungjawab mentadbir dan mengurus alam di bumi ini dengan bijaksana. Seluruh makhluk di bumi dicipta tidak sia-sia, walaupun kita sering mengkelaskan sesetengah makhluk sebagai 'perosak', 'merbahaya' dan sebagainya. Semua makhluk dibumi dan segala isi kandungan bumi (tanah, logam, batuan, mikrob dan hidupan dalam bumi) adalah sumber-sumber berharga untuk dimanfaatkan oleh manusia.

Blog ini dizahirkan sebagai satu mekanisme untuk bersama-sama berkongsi maklumat, pengetahuan dan ilmu, yang akan membantu kita memahami keperluan-keperluan asasi untuk kita menyesuaikan diri dengan keadaan dunia semasa. Matlamat kita ialah menyelamatkan alam, makhluk di bumi, di lautan dan khazanah bumi daripada terus dimusnahkan oleh manusia. Kerana itulah caranya untuk menyelamatkan umat manusia sendiri.

No comments:

Post a Comment