Saturday, March 27, 2010

Cukupkah sejam untuk bumi?


Sejam lalu orang Malaysia baru sahaja memadamkan lampu selama sejam sebagai bukti simbolik kepada projek sejam untuk bumi (earth hour). Aktiviti simbolik ini dilaksanakan di seluruh dunia sebagai tanda kita mahu mengurangkan beban pemanasan global yang sedang melanda bumi kini.

Sejam untuk bumi memadakah? Sekadar simbolik, ya. Tetapi bumi memerlukan lebih banyak lagi komitmen daripada kita, penghuninya. Bumi sudah lama dibarkan, diabaikan, diremehkan; malah dirosakkan, dimusnahkan dengan pelbagai aktiviti kehidupan dan aktiviti pencemaran secara sengaja mahupun tidak sengaja.


Kehijauan bumi menyejukkan mata, menenangkan minda.

Kemajuan kehidupan manusia telah meningkatkan beban kepada atmosfera di mana pelbagai jenis gas beracun dilepaskan. Aktiviti ekonomi melalui industri perkilangan, jutaan kenderaan di jalanraya, rumah-rumah kediaman sentiasa melepaskan gas karbon ke udara sepanjang masa. Waktu sebahagian penduduk dunia sedang tidur, di bahagian lain bumi ini manusia sedang aktif di siang hari. Oleh itu aktiviti pelepasan gas karbon terus menerus dilakukan. Pelepasan gas rumah hijau (CFC) menipiskan lapisan ozon yang melinduni bumi daripada kepanasan. Di bnyak negara peperangan sentiasa wujud di mana penggunaan senjata melepaskan bahan-bahan kimia mencemari udara. Ujian nuklear misalnya adalah aktiviti sia-sia yang sengaja dilakukan untuk tujuan yang tidak bermanfaat langsung kepada manusia dan kepada kehidupan di bumi.

Apakah peningkatan pemanasan global dapat dihentikan? Agak mustahil meramalkan bagaimana kita akan menghadapi kesan pemanasan global. Semakin panas orang akan semakin banyak menggunakan pendingin udara. Ini bermakna semakin banyak lagi kesan gas rumah hijau di udara. Dalam waktu yang sama semakin banyak pula hutan hijau musnah dan dimusnahkan untuk tujuan ekonomi. Semakin banyak kawasan baru perlu dibagunkan untuk keperluan perumahan manusia. Dengan itu semakin kurang hutan hijau yang dapat dikekalkan. Pertambahan penduduk bumi akan mengurangkan lagi bekalan oksigen dan menambah banyak pelepasan gas karbon ke udara.


Semailah benih, hijaukan bumi.

Manusia perlu kembali ke alami, dan menghayati prinsip-prinsip hidup secara alami. Manusia perlu menghijaukan bumi dengan memakmurkan aktriviti bercucuk tanam. Tumbuhan hijau adalah makhluk yang mampu membantu kita menyejukkan bumi. Hutan hijau dan segala aneka flora adalah pelindung kita selama ini. Mereka membekalkan gas segar oksigen dan menyerap karbon dioksid. Mereka menyimpan bekalan air kepada penghuni bumi termasuk manusia. Mereka membekalkan sumber makanan berterusan kepada penghuni bumi terutama manusia sendiri. Mereka membekalkan kita sumber ubatan. Mereka membekalkan kita sumber-sumber yang memenuhi keperluan psikologikal manusia. Kehijauan alam flora merehatkan minda, meredakan tekanan (stres), menyejukkan mata, mendamaikan hati.

Oleh itu marilah kita turun ke bumi, memakmurkannya dengan menyemai benih-benih flora untuk menghijaukan bumi. Projek bermanfaat seperti projek bumi hijau bercucuk tanam sayuran-sayuran misalnya sudah merupakan satu aktiviti berterusan yang dapat menyelamatkan bumi. Dalam waktu yang sama hindarilah memusnahkan pokok-pokok sedia ada melainkan atas alasan yang sangat-sangat mendesak. Tanamlah pokok-pokok teduhan dan pokok bunga-bungaan. Di mana ada ruang biarpun di sekeliling rumah, hijaukanlah bumi dengan aktiviti berkebun.

Wednesday, March 24, 2010

Melawan pencemaran air dengan bola selut EM


Keupayaan teknologi EM merawat sumber air tercemar bukanlah perkara baru. Jepun dan beberapa buah negara yang begitu komited dengan penggunaan mikrob EM telah berpuluh tahun lalu menggunakannya dalam melawan pencemaran air. Beberapa perairan di Jepun disahkan telah pulih daripada pencemaran sejak sekian lama. Di Thailand saya melihat sendiri bagaimana air sisa kumbahan dari ladang khinzir dirawat dengan berkesan menggunakan EM. Air kumbahan tidak berbau tengik sebagaimana keadaan ladang-ladang khinzir di negara kita. Air kumbahan yang telah dirawat itu boleh digunakan semula untuk tujuan pengairan tanaman dan sebagainya.

Di negara kita beberapa lokasi telah dijadikan lokasi mencuba penggunaan EM. Antaranya di perairan Pulau Pinang di mana projek besar telah dimulakan sejak Ogos tahun lalu (2009) di mana sejuta bola selut mengandungi EM dilontarkan ke perairan Pulau Pinang untuk merawat pencemaran air di sana yang begitu teruk sejak sekian lama. Di Selangor juga ada kumpulan aktivis EM yang menggunakan bola selut ntuk membersihkan perairan. Zoo Negara sedang melalui proses pembersihan air tasiknya yang teruk tercemar, dengan menggunakan bola selut juga. Hasil daripada kerja-kerja pemulihan ini akan dapat dilihat beberapa minggu kemudiannya. Hasilnya pasti akan dapat dilihat di mana keadaan pencemaran akan semakin membaik. Mungkin kita tidak dapat melihat perairan itu kembali bersih sebagaimana keadaan asalnya, kerana usaha pemulihan perlu dijalankan secara berterusan. Di samping itu aktiviti pencemaran masih tetap juga berlaku semasa usaha memulihkannya dibuat.

Untuk melihat kesannya yang jelas, di samping usaha memulihkannya dilakukan, penggna hendaklah menghentikan perbuatan dan amalan buruk mencemarkan perairan kita. Seandainya sikap buruk ini tidak dihentikan, biar berapa juta bola selut EM dibalingkan ke perairan, kesannya tidak akan dapat dilihat dengan cepat.


Bio.mic (cair) 1liter.
Sebelum ini pemulihan pencemaran air dilakukan dengan menggunakan cecair EM, di mana ia dicurahkan ke dalam sumber air yang tercemar. Terakhir ini ditemui kaedah baru iaitu menggunakan bola selut EM, di mana kaedah ini lebih berkesan kerana EM akan bekerja secara berterusan dalam tempoh waktu yang panjang. Sebiji bola selut EM berkesan untuk kawasan seluas satu meter persegi dan akan berfungsi selama sebulan.

Bola selut EM ini dibuat dengan campuran tanah dan cecair EM serta bokashi. Setelah beberapa hari ia dihasilkan, bola selut tersebut akan berubah menjadi keputihan ditumbuhi kulat. Itulah tanda proses pembuatan bola selut telah menjadi, dan sudah boleh digunakan.

Kami di IPAL turut menghasilkan bola-bola selut yang digunakan untuk tujuan membersihkan persekitaran perairan. Pihak-pihak yang berminat untuk mendapatkan bekalan bola selut atau berminat untuk menggunakannya bagi tujuan membersihkan sumber air, kolam ternakan dan sebagainya, bolehlah berhubung dengan kami. Pihak kami juga menyediakan stok EM cecair (Bio.mic) dan Bio.mic (padat) untuk digunakan bagi meleraikan sisa organik dan juga untuk digunakan bagi memfermentasi makanan ternakan.


Bio.mic (padat) 500mg.
Bio.mic (padat) sesuai digunakan sebagai campuran makanan ternakan. Ia akan menjadi bahan probiotik yang bagus untuk sistem penghadaman binatang ternak. Di samping itu ia akan membantu menguatkan sistem imuniti ternakan, di mana ia dapat menghindarkan serangan penyakit. Di samping itu Bio.mic (padat) ini juga dapat membantu peningkatan berat badan ternakan.

Sunday, March 21, 2010

Guna teknologi EM untuk merawat sumber air.


Sebelum ini saya menulis tentang air sempena dengan Hari Air Sedunia pada 22 Mac. (hari ini). Cerita tentang air tidak akan ada kesudahannya kerana ia adalah makhluk Tuhan yang sentiasa mendampingi kita, manusia dan juga makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Bercerita tentang air tidak akan ada noktahnya kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan kita dan kehidupan penghuni lain dibumi ini.

Bertahun-tahun lalu saya telah menyiapkan sebuah buku tentang air. Tajuk yang dicadangkan adalah Anda adalah Air: mengungkap mistri AIR dalam kehidupan. Buku istimewa (bagi saya) ini telah diajukan kepada dua penerbit sebelum ini. Malangnya isi buku ini tidak berjaya membuka minda mereka untuk menerbitkannya. Mereka mungkin melihat air bukanlah satu subjek menarik dan ada nilai komersil kepada pembaca. Ia kini sedang dinilai oleh sebuah penerbit lain. Doakanlah agar buku ini diberi penilaian yang wajar, dan ia akan diterbitkan.

Sebenarnya saya sedang menulis sebuah buku lain tentang air. Buku kedua ini akan lebih tertumpu kepada aspek sikap manusia terhadap air. Bagi saya menulis tentang air bukanlah sekadar kerja mengumpul data persuratan semata-mata, tetapi ia adalah mengungkap emosi dari lubuk nurani tentang nasib air di tangan manusia yang terlalu negatif terhadap air. Manusia meremehkan kewujudan air. Lebih teruk lagi, mereka menghinanya dengan membiarkan ia tercemar oleh tabiat buruk manusia yang menjadikannya tempat membuang segala sisa-sisa kotoran dan toksid. Melalui perbuatan buruk tesebut, air berubah daripada sumber kehidupan kepada sumber yang rosak dan merosakkan.


Asid laktik mengandungi mikrob untuk melawan pencemaran.

Umumnya kita melihat tidak ramai orang yang serius membela nasib air. Semua pihak termasuk pihak yang mempunyai kuasa nampaknya tidak begitu menghiraukan nasib air, kerana buat masa ini kita masih berasa selamat kerana masih mempunyai bekalan air yang mencukupi, mempunyai sumber-sumber air yang masih menyediakan air kepada kita. Umumnya sebagai pengguna, sebahagian besar kita tidak menyedari bahawa kita mendapat bekalan air yang tidak bersih dan tidak selamat dari perspektif kesihatan. Sungguhpun di setiap rumah bekalan air sampai melalui paip, namun kita dibekalkan dengan air yang berkualiti rendah, tercemar dan tidak jernih. Ada ketikanya air yang sampai di rumah kelihatan keruh akibat klorin. Penggunaan klorin bertujuan membunuh kuman dan bakteria, tetapi ia sendiri adalah kimia yang memudaratkan. Akhirnya kebanyakan rumah terpaksa merawat lagi air paip (yang didakwa sudah dirawat) itu. Orang menggunakan pelbagai jenis mesin dan alatan merawat air daripada penapis, penyaring dari pelbagai jenis.

Oleh kerana bekalan air ke rumah kita tidak berkualiti, maka banyak pihak mengaut keuntungan melalui perniagaan menjual penapis air. Pelbagai jenis penapis didakwa sebagai terbaik untuk merawat air. Akhirnya pengguna terpaksa berbelanja hingga ribuan ringgit untuk membeli penapis ini. Status air kita yang tidak begitu sihat memberikan peluang kepada para peniaga ini mengeksploitasi pasaran.

Kualiti air paip di seluruh negara berbeza-beza. Kadar mendapan pepejal di dalamnya (TDS) adalah berbeza antara atu tempat dengan tempat lain. Kadar TDS di lembah Kelang misalnya agak tinggi berbanding air di Tapah atau di Kampar Perak. Oleh kerana sumber air asal adalah daripada sumber yang berbeza, maka ukuran TDS akan berbeza. Di negara maju, mereka menggunakan ozon untuk merawat air, namun kita masih bergantung kepada klorin lagi.


Saya turut sama melontar bola selut di perairan Gurney Drive, Ogos lalu.

Kita telah ditemukan dengan satu kaedah merawat air menggunakan biotek di mana kelompok-kelompok mikrob bermanfaat atau EM digunakan untuk merawat pencemaran air. Teknologi EM yang dimajukan oleh Profesor Dr Higa dari Jepun ini kini telah digunakan dengan berkesan untuk menghadapi pncemaran air. Ia dimanfaatkan oleh aktivis EM di seluruh dunia di mana kini dianggar lebih 140 buah negara menggunakannya. Malaysia juga adalah antara negara yang kini menerima pakai teknologi EM ini.

Air tercemar boleh dirawat dengan menuangkan cairan EM ke dalamnya. Contoh mudah EM boleh digunakan di rumah. Sekiranya ia digunakan di tandas atau bilik air, EM akan mengalir ke dalam longkang atau saluran najis. Ia akan membersihkan air kumbahan di samping membersihkan salurannya. Air yang mengandungi EM akan mengalir ke longkang , ke sungai dan akhirnya ke laut. DI sepanjang perjalanan, mikrob dalam EM terus hidup dan bereaksi dengan mikrob pencemar (patogen). Ia akan membersihkan persekitaran di mana sahaja laluannya.

Kini bola selut yang mengandungi EM pula digunakan untuk merawat kawasan air tercemar seperti di kolam, tasik, sungai dan laut. Di Jepun bola-bola selut EM ini didapati berkesan memulihkan beberapa lokasi perairan. Di Thailad dan beberapa buah negara yang mengamalkan teknologi EM dengan serius telah membuktikan perairan mereka yang tercemar telah dapat dirawat.

Malaysia juga kini sedang mengarah ke situ. Beberapa pertubuhan dan aktivis EM di Malaysia sudah memulakan usaha merawat sumber air tercemar dengan bola-bola selut ini. Tahun lalu satu projek besar membersihkan perairan telah dijalankan di Pulau Pinang. Projek yang dinamakan 'sejuta kemaafan kepada bumi' ini telah disertai oleh pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan. Sebanyak sejuta bola selut dibaling ke perairan (sungai dan laut) di Pulau Pinang untuk mengurangkan kesan pencemarannya. Projek bulan Ogos 2009 itu turut disertai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang semasa melancarkannya di Padang Kota (Gurney Drive).


Ikan hidup sihat dalam kolam yang dirawat dengan EM

Satu lagi projek sedang dijalankan oleh kumpulan NGO yang ditaja oleh Standard Charted di mana mereka sedang berusaha merawat air di tasik Zoo Negara. Mereka juga menggunakan bola-bola selut untuk melawan pencemaran air di sana.

Kami sendiri di IPAL sedang mengembangkan penggunaan cecair EM dan bola selut untuk menghadapi masalah pencemaran air. Individu atau organisasi atau pihak-pihak yang berminat untuk menggunapakai teknologi EM ini bolehlah berhubung dengan pihak kami. Kami menyediakan stok cecair EM dan juga bola-bola selut untuk terus dipakai.

Saturday, March 13, 2010

Air: makhluk mulia yang dihinakan manusia.


22hb Mac telah diisytiharkan sebagai Hari Air Sedunia oleh Pertubuhan Bngsa-bangsa Bersatu. Hari tersebut akan menjelang beberapa hari lagi. Apakah signifikannya kepada kita semua?

Persoalan air adalah persoalan sejagat, satu persolan yang sangat besar kerana air adalah makhluk yang mendominasi kehidupan seluruh makhluk di bumi. Manusia sendiri adalah air kerana secara biologinya 70 peratus kandungan tubuh fizikal manusia adalah air! Fakta ini jangan diremeh dan diperkecilkan. Asal manusia juga daripada air – air mani yang kemudian bercampur dengan telur si ibu lantas menjadi air mani yang bercampur (amsyaj). Al-Quran menyebut segala sesuatu yang hidup di bumi ini diciptakan daripada air! Akhirnya sains mengesahkan fakta tersebut.

Air ternyata makhluk Tuhan yang sungguh dominan dan berpengaruh. Tiada siapa dapat menyisihkan kehadiran air sebagai unsur penting yang memberi nyawa kepada makhluk-makhluk di bumi. Tuhan menyebut dalam al-Quran tentang air dalam banyak ayat-ayatnya. Air disebut sebagai unsur yang menghidupkan bumi yang mati (kering kontang). Apabila turunnya hujan, ia merahmati tanah-tanah yang kering, menukarnya menjadi tanah subur yang mampu menumbuhkan pelbagai jenis tanaman.


Kini waktu yang sangat baik untuk kita merenung hakikat air. Kini kebanyakan negeri di Malaysia sedang mengalami musim kemarau. Di sesetengah tempat (negeri) kemarau kali ini menyebabkan tanah-tanah pertanian mengering dan merekah sebagai tanda ketiadaan air. Para petani sedang dilanda gelisah takut-takut hasil pertanian mereka akan mati kekeringan. Ditambah dengan keadaan pemanasan global sekarang, musim kering atau musim kemarau yang sedang kita lalui ini dirasai lebih menyengat.
Kita di negara-negara tropika tidak sangat merasai keperitan hidup tanpa air. Lihatlah rakan-rakan kita di negara-negara gurun dan bermusim yang menghadapi masalah air. Sulitnya menjalani kehidupan tanpa air sukar diceritakan. Kata orang: berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Kita dikurnai Tuhan dengan sumber air yang banyak. Gunung ganang dan hutan hijau merupakan tempat tadahan air yang menyimpan bekalan air yang lumayan. Kita mempunyai pelbagai lokasi tadahan air semulajadi seperti sungai-sungai, tasik, lombong tinggal dan lan-lain. Malangnya ramai orang yang tidak tahu menghargai anugerah ini. Sumber-sumber air kita tidak lagi bersih dan selamat. Sumber air di tempat-tempat simpanan itu kotor sebagaimana kita dapat melihat sendiri dengan mata kepala kita bagaimana rupa sungai-sungai kita. Sebahagiannya berwarna kuning, coklat dan keruh. Keladak dari hulu akibat mendapan tanah kesan aktiviti penebangan hutan. Mengalir ke hilir, sungai-sungai kita dicemarkan pula oleh tangan-tangan kita sendiri. Kilang-kilang dan industri pertanian turut melepaskan sisa-sisa cecair dan sisa pepejal ke dalamnya. Sisa toksid ini menambah derita sungai-sungai kita sehingga tidak banyak lagi kehidupan marin yang mampu meneruskan zuriat mereka. Dari sungai ke parit-aprit taliair dan ke sawah padi, air yang tercemar ini terus mengalir. Akhirnya sulit bagi kita untuk mendapatkan bekalan protein percuma daripada sumber-sumber air kita, kerana habitat ikan-ikan ini telah musnah oleh buangan toksid daripada industri dan aktiviti pertanian.


Sedarkah kita dosa kita selama ini kepada air? Kita bukan sahaja tidak menghargai, malah mengkhianatinya dengan tabiat buruk kita menjadikan sumber-sumber air sebagai ‘tong sampah’ di mana kita membuang segala sisa-sisa baik sisa organik mahupun sisa bukan organik ke dalam sumber-sumber ini. Tanpa rasa bersalah kita membuang sisa-sisa beracun, sisa toksid dari rumah, dari kilang, dari industri ke dalam longkang, ke dalam parit, ke dalam sungai, dan akhirnya ke laut. Sedarkah kita perbuatan bodoh ini akhirnya akan membawa bala dan bencana kepada diri kita sendiri. Kesan mengkhianati air, manusia dan makhluk lain akan menanggung akibat buruk daripadanya.

Pada Hari Air Sedunia ini marilah kita meluang beberapa saat untuk bertafakkur, merenung, dan menginsafi tentang nasib makhluk mulia AIR ini. Tuhan memuliakan air sebagaimana disebut dalam al-Quran. Malangnya kita manusia menghina AIR dengan pelbagai cara yang tidak munasabah.

Friday, March 12, 2010

Memesrakan diri dengan bumi.


Walaupun setiap hari kita bergerak di muka bumi namun berapa detik kita sedar bahawa kita sedang berpijak di bumi? Atau berapa detik kita memberikan masa untuk berfikir dan insaf terhadap bumi ini, terhadap nasib bumi dan masa depannya? Pastilah ramai orang yang mungkin rasa pelik mengapa soalan-soalan ini dilontarkan!

Kita selama ini mengambil mudah kepada semua yang dipersoalkan itu kerana kita merasakan kewujudan bumi ini adalah satu hak kepada kita. Kita merasakan bumi ini adalah hak kita, maka kita boleh sahaja melakukan apa sahaja kepadanya. Secara negatifnya kita berasa tiada siapa boleh menghalang apa yang kita mahu lakukan di bumi ini kerana ia adalah 'hak' setiap orang.

Maka sejak dahulu lagi orang melakukan apa sahaja untuk untuk mengambil segala manfaat yang dikandung bumi. Kita sanggup menjajah, berperang dan berbunuhan sesama manusia hanya untuk berebut kekayaan bumi daripada logam-logam berharga seperti bijih timah, besi, arang batu, emas dan kini emas hitam atau minyak, uranium dan segala kekayaan khazanah bumi. Kita menjadi sangat tamak dalam mengeksploitasi sumber-sumber bumi. Permukaan bumi dimusnahkan hanya kerana tamakkan hasil balak, hasil hutan sehingga akhirnya sebahagian hutan hijau berusia jutaan tahun lenyap daripada peta bumi.


Sikap ego dan mementingkan diri menjadikan sebahagian besar daripada kita lupa kepada hakikat-hakikat penting tentang kewujudan diri kita dan juga kewujudan bumi. Bumi disebut sebagai ibu (mother earth) kerana dari sinilah kita lahir, membesar dan akhirnya kembali kepadanya. Satu hakikat yang tidak dapat diremehkan oleh sesiapa pun. Malangnya orang tidak melayani dan menyantuni bumi sebagai 'ibu' yang sewajarnya dmuliakan.

Bumi bukan hak kita, tetapi satu amanah, satu anugerah yang dipinjamkan kepada kita untuk kita makmurkannya. Kita dibenarkan memanfaati segala kekayaan sumbernya untuk manfaat kehidupan, kerana itulah sebenarnya matlamat penciptaan bumi ini. Manusia sebagai pemegang amanah dan penjaga kepada bumi ini adalah bertanggungjawab sebagai khalifah kepada Tuhan, kepada sesama manusia dan semua makhluk di bumi ini. Bumi adalah anugerah yang perlu dikongsi bukan untuk dimonopoli. Segala sumber bumi yang ada adalah hak semua orang dari semua zaman. Oleh itu dalam mengambil manfaat daripada sumber-sumber bumi kita tidak boleh lupa kepada hak generasi akan datang sesudah kita.

Akhir-akhir ini apabila bumi sudah tidak lagi stabil dengan kewujudan pelbagai kejadian petaka alam seumpama gempa bumi, tanah runtuh, banjir, ribut taufan, tsunami, pemanasan global; maka marilah kita menyedari bahawa itu semua adalah satu proses alami. Bumi juga sama seperti kita, adalah makhluk yang diciptakan. Ia tertakluk kepada hukum alam atau sunnah di mana ia melalui proses perkembangannya, dari awal menuju akhirnya, melalui saat-saat penuaan dan akhirnya akan mati juga.
Kita kini sedang berada di saat-saat bumi sedang menua. Dari sudut manapun bumi ini dilihat, ia sedang melalui saat-saat penuaan dan mula melemah. Kita pula sebagai penghuni utama bumi ini sudah terlalu jauh merosakkannya, menambahkan beban derita bumi sedia ada.

Dari sudut takdirnya, proses ini adalah satu aturan sunnah Allah. Kita berada di hujung zaman, di hujung usia bumi sebelum datangnya waktu segalanya musnah kerana Allah mahukan kita menempuh satu kehidupan baru yang yang abadi sesudahnya. Kiamat yang kini kerap diperkatakan adalah satu proses untuk membawa kita kepada kehidupan akhirat yang lebih sempurna.


Walau apapun, selagi kita masih diberi nafas untuk meneruskan kehidupan di bumi, maka kita masih bertanggungjawab memakmurkan bumi ini. Satu sumbangan yang sangat berharga dari kita kepada bumi ialah menghargainya, memuliakannya (bukan memujanya seperti amalan Animisme), dan memakmurkannya. Dalam waktu yang sama hindari apa jua perbuatan, aktiviti atau tingkahlaku yang boleh menghinanya, merosakkannya atau mencemarinya.

Biasakan diri untuk sekali sekala bersama bumi. Bertani secara amat sederhana dengan bercucuk tanam adalah satu aktiviti mendekati bumi, yang sangat baik untuk minda kita. Aktiviti tersebut akan membawa kita turun ke bumi, menyentuh bumi dan merasakan keakraban hubungan jiwa dengan bumi. Kata orang, berbudi kepada bumi tidak rugi kerana bumi akan memberikan hasil dalam bentuk makanan.

Ketika kita menyentuh bumi, saat itulah kita merasai betapa secara alaminya kita adalah sebahagian daripadanya. Rasailah emosi positif yang menjadikan minda kita segar, emosi kita segar dan akhirnya tubuh fizikal kita juga segar bugar. Kehijauan flora akan memberikan kesan terapi kepada diri kita. Bermain dengan tanah menjadikan kita dekat dengan hakikat diri kita sendiri. Secara psikologinya, kita sedang merawat emosi kita sendiri. Di saat itu kita sedar bahawa setinggi mana darjat kita, kita akhirnya akan kembali ke bumi dan menjadi tanah yang sedang kita gengggam ini. Ketika itu leburlah emosi negatif seperti kesombongan diri, keegoan diri, bongkak dan lain-lain emosi mazmumah.

Thursday, February 25, 2010

Tragedi ketika membakar jerami


Suatu kebetulan atau suatu yang berbetulan telah terjadi. Beberapa hari setelah saya menulis tentang amalan membakar jerami di Kedah, tersiar pula berita di beberapa buah akhbar tentang tragedi sedih yang menimpa seorang petani, almarhum pak Salleh yang mati setelah terperangkap dalam api ketika beliau membakar jerami di sawahnya. Kebetulan pula beliau adalah penduduk sekampung dan jiran kepada kakak saya di Guar Cempedak, di mana saya akan melewati rumahnya (almarhum) setiap kali saya ke rumah kakak saya.

Ketika saya berada di kampung mangsa, saya dimaklumkan beliau baru semalamm meninggal, dan saya mendengar kisah-kisah sedih bagaimana beliau terbakar dan meninggal akibat kebakaran tersebut beberapa hari kemudian. Kebetulan beliau turut berada dalam majlis kenduri kahwin cucu saudara saya, di mana saya sendiri turut berada di sana. Sebelah petang, selesai kenduri tersebut, pak Salleh ke sawahnya di Jalan Yan untuk membakar jerami, di mana di sana beliau ditimpa musibah tersebut.

Kisah malang yang menimpa pak Salleh bukan kejadian pertama. Sebelum ini pernah terjadi beberapa kemalangan serupa yang berakhir dengan kematian. Tragedi sebegini tentulah satu suratan yang sangat memilukan.

Dari sisi lain, tragedi begini perlu menginsafkan kita semua. Kemalangan begini pastilah dapat dielakkan sekiranya kita tidak membakar jerami di sawah. Itulah solusi terbaik. Walaupu kemalangan sebegini adalah suatu kes terpencil, namun amalan membakar jerami adalah suatu yang tidak patut dilakukan. Membakar jerami adalah amalan pertanian kuno yang tidak lagi relevan di zaman ini. Walau atas alasan apapun, jerami tidak patut dibakar kerana ia adalah sumber bahan berguna untuk proses biologi pertanian. Ia berguna sebagai makanan ternakan di samping dapat dimanfaatkan untuk dijadikan bahan baja organik. Membakar jerami adalah memusnahkan sumber yang bernilai. Di samping itu amalan membakar membahayakan dan mencemarkan alam. Bayangkan berapa besar pelepasan gas karbon ketika sawah yang beribu ekar dibakar jeraminya?


Tragedi ini diharapkan benar-benar menginsafkan kita semua. Pihak Kerajaan patut mengenakan peraturan lebih ketat nmengawal amalan ini. Sekiranya masih ramai berpendapat bahawa amalan ini adalah amalan pertanian berkesan, kita mempunyai hujah konkrit untuk menentangnya. Di samping itu kita mempunyai pilihan lain yag lebih efektif untuk menanggani masalah penanaman padi, iaitu dengan solusi pertanian alami!

Saturday, February 13, 2010

Sayang apabila jerami dibakar .....


Akhir-akhir ini banyak masa dihabiskan di negeri Kedah, negeri jelapang padi. Ketika berjalan-jalan atau ketika dalam perjalanan ke destinasi tertentu, kelihatan sawah padi waktu ini telah dituai hasilnya. Sawah padi dipenuhi tunggul-tunggul rumpun padi yang sedang mengering. Waktu ini adalah musim kemarau di Kedah. Di lokasi-lokasi lain sawah padi sedang menghijau, menandakan padi-padi sedang tumbuh membesar. Kehijauan ssujana mata memandang, umpama hamparan permadani hijau, memancarkan keindahan jelapang padi di Kedah.

Ketika melintasi daerah Yan, tunggul-tunggul perdu padi sedang terbakar, dibakar oleh para petani. Menurut maklumat orang di sana, aktiviti membakar tunggul-tunggul perdu padi adalah untuk memusnahkan sisa-sisa penyakit atau serangga yang menjadi musuh padi, di samping bertujuan menyuburkan tanah. Menurut sumber maklumat, para petani ini dikecualikan daripada peruntukan akta alam sekitar yang melarang pembakaran terbuka, atas alasan-alasan mereka di atas. Sejauh mana kebenaran sumber maklumat ini tidaklah dapat dipastikan.


Aktiviti membakar adalah aktiviti yang umumnya diamalkan oleh rata-rata petani di Kedah sejak zaman dulu lagi. Menurut laporan akhbar, pernah terjadi kemalangan di lebuhraya utara-selatan di kawasan sawah padi ketika petani melakukan pembakaran terbuka. Asap dari pembakaran menggelapkan pamandangan pengguna jalanraya sehingga menyebabkan kemalangan. Isu ini pernah dibangkitkan dengan syor supaya aktiviti pembakaran terbuka ini dihapuskan. Namun begitu ia masih terus dilakukan petani ketika musim lepas menuai ini.

Dari sudut pandangan ALam Lestari, aktiviti membakar sisa-sisa jerami dan tunggul-tunggul pokok padi ini adalah aktiviti yang tidak sihat dan tidak alami. Pembakaran besar-besaran mencemarkan udara di samping memusnahkan sumber sisa jerami yang berfaedah. Walaupun ia dianggap satu amalam pertanian yang diwarisi zaman berzaman, ia adalah satu amalan yang tidaklah lagi praktikal dan ia sudah ketinggalan zaman.

Jerami adalah sisa-sisa organik yang bermanfaat dan dapat digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia adalah sumber makanan ternakan yang berkualiti, di samping itu ia juga boleh dijadikan baja organik yang bermutu. Oleh kerana rata-rata petani padi bukanlah petani yang mengamalkan pertanian bersepadu di mana aktiviti peternakan dilakukan bersama aktiviti pertanian, maka mereka tidak dapat melihat prospek penggunaan jerami padi atau sisa pertanian mereka yang lain.

Jerami padi adalah antara sisa pertanian yang bermutu. Ia sangat bagus untuk dijadikan makanan ternakan. Melalui sedikit usaha pemerosesan, jerami padi akan dapat ditingkatkan kualitinya menjadi sumber makanan yang murah dan berkualiti. Sekiranya ia difermentasi menggunakan teknologi bio, ia akan menjadi makanan yang kaya dengan probiotik kepada ternakan. Binatang sangat menyukai jerami yang sudah difermentasi ini, kerana ia sangat baik kepada sistem penghadamannya. Selain itu, jerami juga dapat diproses menjadi baja organik. Dengan dicampur sisa najis binatang ternak, ia diproses menjadi baja organik yang bermutu. Baja ini dapat digunakan semula untuk menyuburkan hasil pertanian, tanpa perlu membeli baja terutama baja kimia. Ini satu cara para petani dapat berjimat di samping mendapat sumber baja yang murah atau mungkin percuma.


Sudah tiba masanya petani padi mengubah persepsi terhadap aktiviti pembakaran sisa pertanian selepas tuai. Sisa pertanian jangan dibakar atau dimusnahkan. Sebaliknya ia hendaklah dikumpul dan dijadikan stok untk pelbagai tujuan yang disebutkan di atas. Jerami boleh disimpan dan ia dapat dimanfaatkan ketika musim lain (selepas musim menuai).

Petani harus dididik dengan konsep pertanian alami, iaitu memanfaatkan keseluruhan sumber alam yang ada termasuk sisa-sisa pertanian yang selama ini dianggap sisa buangan. Sisa buangan daripada padi termasuk jerami, sekam dan dedak adalah sisa-sisa organik yang sangat bermutu dan berkhasiat. Ia hanya memerlukan sedikit usaha pemerosesan menggunakan kaedah biotek untuk menukarkannya menjadi produk berkualiti seperti makanan ternakan dan lain-lain hasil. Hari ini teknologi EM sudah dapat menukarkan sisa-sisa buangan ini menjadi produk berkualiti untuk ternakan.