Tuesday, August 31, 2010

Sinabung kembali marah?


Isnin lalu, media melaporkan sebuah gunung berapi di wilaah Tanah Karo di Sumatra Utara telah memuntahkan laharnya sejauh beberapa kilometer. Debu laharnya memenuhi udara perekitaran, mengakibatkan 30 000 penduduk sekitarnya terjejas kehidupan mereka. Sebahagiannya terpaksa berpindah.

Gunung berapi Sinabung dilaporkan tidak aktif sejak 400 tahun lalu, selepas letupan terakhirnya. Siapa sangka selepas empat abad ia kembali aktif. Ia adalah antara ratusan gunung berapi di Indonesia yang sentiasa menunggu masa untuk memuntahkan laharnya.


Gunung berapi akan terus meletus apabila tiba waktunya. Ia adalah proses alami membuktikan ianya terus hidup dan berfungsi. hanya kita sebagai sebahagian daripada penghuni bumi perlu sentiasa beringat dan berhati-hati. Kita tidak mungkin melakukan apa pun untuk menghentikan aktivitinya, kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan bumi.

Di sebalik semua kejadian ini, marilah kita insafi diri sendiri tentang hakikat kerdilnya kita sebagai sebahagian penghuni bumi, dan betapa agungnya ciptaan Tuhan.

Monday, August 30, 2010

bumi kita, merdekakah?


Hari ini kita merayakan hari ulangtahun kemerdekaan negara ke-53. Syukur kita terus merdeka dan merdeka. Kita sedang mengisi kemerdekaan dengan pelbagai usaha memakmurkan negara, memakmurkan rakyat?

Setelah merdeka, kita tidak memandang ke belakang lagi, sebaliknya terus memandang ke depan, menuju sebuah negara maju. Tahun 2020 diletakkan seabagai sasaran waktu di mana Malaysia perlu menjadi negara maju. Tahun tersebut semakin hari semakin mendekat, dan negara terus diteraju oleh kelompok politikus yang sengit bersaing untuk berkuasa.

Bumi Malaysia semakin hari semakin jauh berubah. Kemerdekaan telah membawa kita jauh menerokai setiap sudut bumi untuk dimanfaatkan bagi pembangunan negara. Berapa banyak sudah hutan hijau kita dikorbankan untuk matlamat pembangunan. Hutan hijau menjadi korban untuk membolehkan Kerajaan menyediakan kawasan penempatan baru bagi rakyat. Tanah-tanah rancangan seumpama Felda dibuka di beberapa buah negeri. Hutan hijau ribuan tahun berganti pokok-pokok kelapa sawit dan ladang getah. Di bandar dan kota, setiap inci buminya menjadi sangat mahal kerana ia menjadi rebutan pemaju perumahan untuk membangunkan kawasan perumahan bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk kota. Kesesakan kota menjadikan setiap inci buminya padat dengan hutan batu. Pokok dan kawasan hijau semakin berkurangan, manakala bumi pula dilitupi tar dan simen, sehinggakan ia tidak alami lagi. Persekitaran kota berubah di mana saliran, anak air sudah mejadi longkang kotor penuh sampah sarap dan sisa kekotoran buangan rumahatangga dan juga industri.

Atas nama pembangunan, sesudah negara merdeka, persekitara menjadi mangsa dan dimangsakan secara sedar atau tidak sedar. Bumi dirobah dan strukturnya menjadi tidak lagi alami. Atmosfera kawasan kota dan bandar dipenuhi debu, dan toksid hasil produksi industri dan kenderaan. Udara dicemari dengan gas karbon (karbon dioksid dan mnonoksid) yang dilepaskan oleh kenderaan yang semakin hari semakin bertambah. Di bumi, longkang, anak air, sungai semakin tercemar dengan segala sisa buangan baik dari rumah mahupun dari industri. Imej sungai di kawasan bandar sudah sangat buruk. Ia tidak lagi mampu menjadi sumber air bersih untuk kegunaan domestik. Sungai hanya mengalir manjadi tong sampah, untuk menghanyutkan segala sisa buangan cecair ataupun sisa padat. Sungai terus dijadikan tempat membuang segala yang kotor, padahal sungai selama ini berkhidmat dengan ikhlas kepada manusia membekalkan sumber air bersdih dan sumber protein yang tiada nilai tandingnya.


Dosa kita pada bumi akan berbalas. Kini kita mengalami pelbagai masalah persekitaran. Udara kota tidak lagi bersih dan segar sebagaimana di desa. Suhu kota menjadi panas dan membahang. Maka kita memilih teknologi termasuk menggunakan sepenuhnya pendingin udara untuk menjadikan suhu rumah sejuk dan nyaman. Malangnya kita menambah beban gas rumah hijau ke atmosfera. Bekalan air masih ada, namun ia akan semakin menjadi masalah di masa hadapan. Kita sedang berdepan dengan sumber air bersih yang semakin terhad dan ditambah pula dengan masalah pengurusan, menyebabkan air akan menjadi masalah masa depan orang-orang kota.

Demi matlamata ekonomi, bumi terus dimangsakan. Hutan hijau terus menjadi mangsa kerana kekayaan sumber hutan termasuk balak, herba, sumber fauna juga. Orang tidak pernah sensitif dan peduli untuk terus membelai dan mengasihi bumi kerana mereka hanya fikirkan aspek ekonomi (jangka pendek). Inilah kesan kemajuan yang kita warisi dari kemerdekaan.

Marilah kita melihat bumi, dan sedar untuk menjaga bumi agar ia terus merdeka, tidak dijajah, tidak dieksploit dan tidak dimusnahkan, demi apa matlamat pun!

Monday, August 9, 2010

Semoga bumi dirahmati


Dalam tempoh beberapa hari ini, beberapa kejadian petaka alam dilaporkan terjadi di seluruh dunia. Pakistan sedang berdepan dengan banjir besar di mana kira-kira 1500 orang dilaporkan terkorban manakala 4 juta orang sedang menghadapi kekurangan bekalan makanan, akibat banjir buruk tersebut. Ada kalangan yang menjangkakan kematian mencecah 3 000 orang. Dilaporkan juga kira-kira 13 juta penduduk menerima kesan daripada banjir besar ini.

Sementara itu di China kejadian serupa menimpa penduduk. Banjir dan tanah runtuh sedang menduga kehidupan rakyat di benua bependuduk paling ramai di dunia itu. Sementara itu sebuah gunung berapi di keplulauan di Sulawesi Indonesia sedang memuntahkan laharnya. Di Rusia pula, bandaraya Moscow sedang dikepung api akibat kebakaran hutan di sekitarnya. Akibatnya penduduk di bandaraya tersebut sedang berdepan dengan ancaman bahaya kebakaran dan kesan buruk asap kebakaran tersebut.

Terakhir adalah berita tentang kejadian bongkah ais pecah di kutub utara. Pulau ais sebesar empat kali bandaraya Manhattan dilaporkan pecah di Greenland.


Demikianlah antara lain, berita-berita tentang alam yangn dilaporkan pelbagai mjedia. Berita-berita sedemikian tidak mengejutkan kerana terlalu kerap terjadi pelbagai bencana alam akhir-akhir ini. Ini tidak termasuk bencana yang dilakukan dengan sengaja dan sedar oleh manusia. Antara pembunuhan, ledakan bom dan peperangan yang tidak ada akhirnya.

Menjelang Ramadhan Mubarak ini, marilah kita berdoa agar bumi terus dirahmati, dean hidup kita terus dilindungi dari segala bencana. Amin!