Sunday, August 14, 2011

Sampah, terus bermasalah?


Kosmo Sabtu melaporkan di muka depannya, “berkuatkuasa 1 September depan, orang ramai perlu mengasingkan sampah sebelum membuangnya ke dalam tong sampah di hadapan rumah masing-masing untuk mengelakkan didenda RM 1000,”

Lapornya lagi, “Langkah itu perlu dibuat berikutan Akta Pengurusan Sisa pepejal dan Pembersihan Awam Negara 2007(Akta 672) akan dikuatkuasakan pada tarikh tersebut yang mewajibkan orang ramai mengasingkan sampah seperti gotol, plastik, kertas dan sisa makanan.”

Secara optimis kita menerima peraturan ini sebagai satu langkah maju menangani masalah sampah yang selama ini menjadi masalah kepada semua pihak. Kita sudah terlalu lama dibebani masalah sampah yang tidak pernah nampak penyelesaiannya.
Masalah sampah bukan masalah Kerajaan sahaja, tetapi ia adalah masalah kita semua. Biar berapa bagus pun pengurusan sampah, kita akan menghadapi masalah demi masalah selagi setiap warga Malaysia tidak mahu berfikir serius menghadapinya. Masalah sampah bermula dari rumah, bermula dari diri setiap orang kita, rakyat Malaysia. Maka dari sinilah permasalahan sampah harus diberi fokus.

Sikap kita terhadap sampah masih sangat negatif. Sebahagian rakyat kita masih mempunyai tabiat buruk tentang sampah. Mereka tidak suka sampah (pastilah semua orang tidak suka sampah). Ini satu tabiat biasa tetapi ia tidaklah begitu baik sebetulnya. Apakah kita patut suka pada sampah? Mungkin orang akan menganggap kita ‘gila’ kalau kita suka pada sampah. Namun begitu persepsi tentang sampah pada kebanyakan kita perlu dianalisa semula.


Mari kita lihat bagaimana sampah lahir. Di dalam kenderaan di jalanraya, botol plastik atau kotak minuman dibaling keluar oleh anak-anak atau orang dewasa sendiri. Jadilah ia sampah yang mengotori jalanraya, lebuhraya kita, menyakitkan mata dan menyakitkan hati kita. Barangan tersebut sekiranya disimpan sementara dalam kereta sehingga sampai di rumah, lantas dikumpulkan dalam bekas khas, kemudian dibawa ke kedai barangan lusuh, ia tentulah mempunyai imej yang lebih baik, iaitu barangan kitar semula yang memberikan kita sedikit wang. Begitu juga dengan kertas surat khabar. Sekiranya diserakkan dan dibuang merata tempat, ia menjadi sampah. Namun barang yang sama sekiranya dikumpul, diikat dan dijual kepada kedai barangan lusuh, ia menjadi produk kitar semula yang memberikan wang.

Hari ini sampah menjadi sumber rezeki apabila ia dapat dikitar semula menjadi barangan bermanfaat. Kertas, plastik, besi buruk boleh dijual pada harga tertentu. Orang yang berusaha mengumpul dan menjual memperolehi sedikit wang, peniaga juga memperolehi pendapatan, manakala pengusaha memperolehi bekalan bahan mentah untuk menghasilkan produk baru hasil kitar semula. Semua pihak dalam rantaian ini memperolehi keuntungan kewangan. Dalam waktu yang sama produk-produk ini tidak lagi menjadi sampah yang memerlukan kawasan buanngan atau landfill yang luas untuk dilupuskan.

Untuk meningkatkan aktiviti kitar semula memerlukan sedikit kesungguhan, komitmen dan juga usaha. Inilah permulaan untuk menentukan usaha kitar semula yang berjaya. Setiap orang rakyat mesti ada kesedaran, kesungguhan dan usaha untuk menggerakkan aktiviti kitar semula. Kesedaran sepatutnya dipandu oleh rasa insaf tentang malah sampah, tentang tanggungjawab menjaga kebersihan dan keinginan untuk hidup bersih dan sihat. Kesedaran ini perlu lahir dari dalam lubuk hati, sebagaimana orang Islam berpegang kepada prinsip ‘kebersihan adalah sebahagian daripada cabang iman’.


Landfill di Bukit Tagar

Rumah adalah pengeluar sampah atau sisa pepejal yang utama. Banyak produk pengguna diisi dalam bekas plastik, kotak, kertas dan juga kaca. Ia berpotensi menjadi sampah apabila kita membuangnya sebagai sampah. Sebaliknya jika ia diasingkan dan dikumpul untuk kitar semula, ia akan bertukar menjadi barangan yang ada harganya. Oleh itu dari rumah, barangan yang boleh menjadi sampah dapat diselamatkan daripada menjadi sampah. Inilah pentingnya sikap dan persepsi kita. Tidaklah sulit untuk menjual barangan ini kerana boleh dikatakan setiap hari ada pembeli barangan lusuh yang mengunjungi kediaman dan taman perumahan kita, terutama di bandar-bandar. Surat khabar lama, plastik, buku lama, bateri lama, tin dan sebagainya berpotensi menjadi wang, sekiranya dijual kepada peraih barangan lusuh ini. Dengan itu bermula satu episod, tiada lagi sampah pepejal dari rumah kita. Seandainya semua rumah di negara kita melakukan hal sederhana ini, selesailah sebahagian beban memungut dan melupus sampah jenis ini.

Industri banyak menghasilkan sisa pepajal sebagai bahan buangannya. Namun mereka memanfaatkan kitar semula kerana mereka nampak betapa sisa dari industri mereka boleh menjana pendapatan. Sebab itu sisa pepejal dari industry biasanya tidak menjadi sampah.

Saturday, August 13, 2011

Kebun dapur yang mula berhasil.


Kawasan penuh lalang di bahagian tepi rumah telah dibersihkan. Lalang di tanah seluas 1 500 kaki persegi itu sukar dihapuskan melainkan dibersihkan akar umbinya. Secara organik, lalang tidak boleh diracun. Selain tidak organik, racun juga tidak dapat membunuh akar lalang. Ia akan tumbuh lagi nanti. Cara terbaik ialah membuang akar umbinya. Kerjanya agak sukar dan mengambil masa. Kawasan berlalang tebal dipotong dahulu, kemudian tanahnya dicangkul sedalam kawasan jalaran akarnya. Tanah itu dipecah dan dihancurkan untuk mencari akar lalang. Semua sisa akar dipungut dan dikumpulkan.

Lalang menyakitkan mata dan menyakitkan hati pemilik tanah. Biasanya kemarahan kepada lalang akan berakhir dengan kerja membunuhnya dengan meracun. Namun cara itu tidak dapat membunuh lalang, kerana akarnya masih hidup di dalam tanah. Kesan racun, hanya akan merosakkan tanah, mematikan semua hidupan organik dalam tanah. Sebetulnya lalang banyak manfaatnya. Dek kerana tiada ilmu maka persepsi orang kepada lalang sangatlah buruk, lantas memusuhinya. Dari sudut herbalogi, lalang terutama akarnya mempunyai nilai farmokologinya. Ia mengandungi kadar gula yang bermanfaat untuk dijadikan penawar. Selain itu daun lalang boleh dibuat atap yang boleh bertahan lama.


Ulam raja merimbun subur.

Setelah beberapa bulan kawasan berlalang dibersihkan, ia akhirnya ditanam dengan serai. Hampir 100 rumpun serai makan dapat ditanam. Walaupun terpaksa dipindah-pindahkan ketika membaiki pagar rumah dan ketika mengatur semula landskap ringkas, ia tetap membesar dan subur. Dengan hanya siraman baja dan air campuran EM, serai merimbun terus. Akar lalang yang dikumpulkan tempoh hari kini disebarkan antara perdu serai bagi menutupi tanah dari tumbuhan rumput rumpai. Biarkan ia mereput sendiri dan membajai tanaman di sekitarnya. Inilah kaedah organik seperti yang dipelajari.

Di tepi pagar dibuat satu batas memanjang. Sebahagian ditanam benih kangkung, yang kini subur dan mula menjalar. Sebelahnya disemai benih ulam raja yang kini sudah merimbun. Di sebelah ditanam beberapa pokok rosel, dua batang terung, pegaga dan juga herba misai kucing.

Antara tanaman kebun dapur (edible garden) kami ialah daun kari, pandan, kunyit, serai, bunga kantan, kucai, cili padi, pegaga, kangkung, limau purut, terung, ulam raja, ubi kayu dan kemangi. Dua pasu kemangi akhirnya dapat dimiliki setelah sekian lama mencarinya. Sulitnya mendapatkan kemangi kerana orang Malaysia belum pandai makan ulam kemangi. Di Indonesia, daun kemangi akan disajikan bersama nasi udhuk dan hidangan lain. Harumnya kemangi dapat menambah selera makan. Ketika terasa hambar dengan hidangan lauk pauk lain, cubalah kecapi rasa kemangi. Ia akan membuka selera anda.


Rosel mula berbunga.

Pohon herba yang terdapat di sini ialah mengkudu yang masih kecil, mas cotek, misai kucing dan moringa. Ketika berpindah tempoh hari, banyak herba yang tidak sempat dipindahkan. Terpaksa mencari lagi benih-benih herba lain untuk menambah koleksi yang ada.

Berkebun di tanah sempit begini sangat besar manfaatnya. Ia menyihatkana kerana membuat tubuh berpeluh dan tulang otot berfungsi penuh. Selain itu ia menjadi terapi kepada emosi kita. Beta endorphin merembes ketika berkebun kerana seronok dan bahagia melihat tunas-tunas hijau menjulur, melihat bunga-bunga rosel berputik dan membsar. Kehijauan kebun sangat membantu meredakan tekanan. Di segi ekonomi pula, banyak keperluan dapur dapat diambil di kebun dapur kita tanpa perlu ke pasar. Serai, kunyit (umbisi dan daunnya), lengkuas, pandan, pucuk ubi, ulam raja, pegaga, daun kari, kemangi, cili padi, limau purut tidak perlu dibeli di pasar. Bukan sekadar berjimat dari segi wang ringgit, tetapi kita memperolehi hasil yang segar dan terjamin organik.

Kemangi.