Kawasan penuh lalang di bahagian tepi rumah telah dibersihkan. Lalang di tanah seluas 1 500 kaki persegi itu sukar dihapuskan melainkan dibersihkan akar umbinya. Secara organik, lalang tidak boleh diracun. Selain tidak organik, racun juga tidak dapat membunuh akar lalang. Ia akan tumbuh lagi nanti. Cara terbaik ialah membuang akar umbinya. Kerjanya agak sukar dan mengambil masa. Kawasan berlalang tebal dipotong dahulu, kemudian tanahnya dicangkul sedalam kawasan jalaran akarnya. Tanah itu dipecah dan dihancurkan untuk mencari akar lalang. Semua sisa akar dipungut dan dikumpulkan.
Lalang menyakitkan mata dan menyakitkan hati pemilik tanah. Biasanya kemarahan kepada lalang akan berakhir dengan kerja membunuhnya dengan meracun. Namun cara itu tidak dapat membunuh lalang, kerana akarnya masih hidup di dalam tanah. Kesan racun, hanya akan merosakkan tanah, mematikan semua hidupan organik dalam tanah. Sebetulnya lalang banyak manfaatnya. Dek kerana tiada ilmu maka persepsi orang kepada lalang sangatlah buruk, lantas memusuhinya. Dari sudut herbalogi, lalang terutama akarnya mempunyai nilai farmokologinya. Ia mengandungi kadar gula yang bermanfaat untuk dijadikan penawar. Selain itu daun lalang boleh dibuat atap yang boleh bertahan lama.
Ulam raja merimbun subur.
Setelah beberapa bulan kawasan berlalang dibersihkan, ia akhirnya ditanam dengan serai. Hampir 100 rumpun serai makan dapat ditanam. Walaupun terpaksa dipindah-pindahkan ketika membaiki pagar rumah dan ketika mengatur semula landskap ringkas, ia tetap membesar dan subur. Dengan hanya siraman baja dan air campuran EM, serai merimbun terus. Akar lalang yang dikumpulkan tempoh hari kini disebarkan antara perdu serai bagi menutupi tanah dari tumbuhan rumput rumpai. Biarkan ia mereput sendiri dan membajai tanaman di sekitarnya. Inilah kaedah organik seperti yang dipelajari.
Di tepi pagar dibuat satu batas memanjang. Sebahagian ditanam benih kangkung, yang kini subur dan mula menjalar. Sebelahnya disemai benih ulam raja yang kini sudah merimbun. Di sebelah ditanam beberapa pokok rosel, dua batang terung, pegaga dan juga herba misai kucing.
Antara tanaman kebun dapur (
edible garden) kami ialah daun kari, pandan, kunyit, serai, bunga kantan, kucai, cili padi, pegaga, kangkung, limau purut, terung, ulam raja, ubi kayu dan kemangi. Dua pasu kemangi akhirnya dapat dimiliki setelah sekian lama mencarinya. Sulitnya mendapatkan kemangi kerana orang Malaysia belum pandai makan ulam kemangi. Di Indonesia, daun kemangi akan disajikan bersama nasi udhuk dan hidangan lain. Harumnya kemangi dapat menambah selera makan. Ketika terasa hambar dengan hidangan lauk pauk lain, cubalah kecapi rasa kemangi. Ia akan membuka selera anda.
Rosel mula berbunga.
Pohon herba yang terdapat di sini ialah mengkudu yang masih kecil, mas cotek, misai kucing dan moringa. Ketika berpindah tempoh hari, banyak herba yang tidak sempat dipindahkan. Terpaksa mencari lagi benih-benih herba lain untuk menambah koleksi yang ada.
Berkebun di tanah sempit begini sangat besar manfaatnya. Ia menyihatkana kerana membuat tubuh berpeluh dan tulang otot berfungsi penuh. Selain itu ia menjadi terapi kepada emosi kita.
Beta endorphin merembes ketika berkebun kerana seronok dan bahagia melihat tunas-tunas hijau menjulur, melihat bunga-bunga rosel berputik dan membsar. Kehijauan kebun sangat membantu meredakan tekanan. Di segi ekonomi pula, banyak keperluan dapur dapat diambil di kebun dapur kita tanpa perlu ke pasar. Serai, kunyit (umbisi dan daunnya), lengkuas, pandan, pucuk ubi, ulam raja, pegaga, daun kari, kemangi, cili padi, limau purut tidak perlu dibeli di pasar. Bukan sekadar berjimat dari segi wang ringgit, tetapi kita memperolehi hasil yang segar dan terjamin organik.
Kemangi.
salam kenalan.. seronok bila tgok pokok2 yg ditanam hidup subur. sy pun suka menanam, lebih2 lg hubby bagi sokongan padu.
ReplyDeleteAs salam, belakang rumah banyak lalang
ReplyDelete