Saturday, June 16, 2012

Jerebu datang lagi.

Ketika post ini sedang ditulis, hujan sederhana sedang turun, namun ia turun sekejap sahaja. AlhamdulilLah, itulah kalimah yang mampu dilafazkan. Dalam keadaan cuaca kita yang sedang berjerebu agak teruk sejak beberapa hari lalu, hujan yang turun akan menjadi rahmat besar, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan buruk jerubu.

Seperti dijangka, apabila negara kita mengalami cuaca berjerebu yang teruk, maka antara penyumbang jerubu tersebut adalah kebakaran besar di negara jiran, Indonesia. Hal ini berlaku boleh dikatakan setiap tahun. Apabila terjadi kebakaran di Sumatera, maka kesan jerebu akan sampai ke tanahair kita.

Berdasarkan laporan akhbar semalam, Bernama melaporkan, berdasarkan laporan imej satelit NOAA-18 dikeluarkan Asean Specialised Metrological Centre, menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lalu.

Imej satelit itu juga menunjukkan asap jerebu  dibawa angin dari kawasan titik panas wilayah Riau menghala ke pantai barat Semenanjung. Menurut kenyataan itu, bacaan indek Pencemar udara (IPU) dari 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11 pagi Jumaat lalu, menunjukkan tiga stesen, Kuala Selangor (IPU 131), Pelabuhan Kelang (IPU 130) dan Shah Alam (IPU 106).

Beginilah nasib kita, terpaksa menghidu udara tercemar dengan asap pembakaran, yang berlaku di negara jiran. Sudah beberapa kali isu ini dibangkitkan, namun nampaknya setiap tahun hal yang sama berulang juga seolah-olah tiada langsung usaha pencegahan diambil oleh negara berkenaan.

Biarpun kita mempunyai sempadan darat dan perairan, namun kita berkongsi ruang udara. Tiada sempadan udara kerana ia sentiasa bergerak ke mana sahaja tanpa mengenal sempadan negara atau sempadan negeri. Oleh itu dengan mudahnya pencemaran berpindah dari sebuah negara ke negara jiran membawa impak yang tidak sihat. Inilah suatu hal yang sulit untuk kita kawal.

Monday, June 11, 2012

Jerebu kuning di China

Di Malaysia jerebu akan muncul ketika terjadinya kebakaran besar baik di dalam mahupun di luar negara. Kebakaran besar sebagaimana sering terjadi di negara jiran Indonesia (khususnya kepulauan Sumatera) akan menyebabkan kita di Malaysia mengalami jerebu tebal shingga mengurangkan jarak penglihatan. Dan jerebu ini tentunya memberikan kesan negatif kepada aktiviti kehidupan terutama masalah kesihatan.


.

Terbaru di China dilaporkan kejadian jerebu yang belum pernah terjadi, iaitu jerebu kuning. Biasanya jerebu berwarna kelabu iaitu warna asap. Mennurut agensi berita rasmi Xinhua, kejadian jerebu mistri itu menimbulkan tandatanya dan kehairanan di kalangan penduduk bandaraya Wuhan yang berjumlah sembilan juta orang.

Menurut agensi berita tersebut, jabatan perlindungan alam sekitar wilayah Hubei menasihati penduduk supaya mengambil langkah keselamatan dengan memakai topeng menutup muka. Jabatan itu menasihat anak-anak dan orang tua yang mengalami masalah jantung dan paru-paru supaya tidak keluar rumah. Menurut Xinhua, kejadian tersebut disebabkan pembakaran jerami di sekitar Wuhan. Ia juga menafikan khabar angin yang mengatakan pencemaran kerebut itu disebabkan oleh letupan komplek kimia di timur laut bandaraya tersebut.