Saturday, September 11, 2010

Semangat Fitrah


Kita baru sahaja merayakan hari besar Islam iaitu Idulfitri. Hari raya puasa atau nama asalnya Idulfitri merujuk kepada ciri-ciri fitrah manusia. Satu Syawal dirayakan sebagai simbol kemenangan umat Islam menjalani ujian Ramadhan selama sebulan. Ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain seperti solat tarawikh, qiamullail, tadarus al-Quran dan sedekah adalah antara proses pendidikan untuk membawa manusia kembali kepada firah dirinya.

Secara fitrahnya manusia dilahirkan suci bersih. Lihatlah bayi yang baru dilahirkan dan itulah hakikat fitrah. Tubuh dan jiwa mereka suci bersih, belum dicemari dengan pelbagai hal yang akan merosakkan firah mereka. Makanan yang masuk ke tubuh mereka masih suci iaitu air susu ibu. Tubuh mereka masih belum dicemari dengan pelbagai jenis makanan yang bertoksid dan mncemarkan. Di samping itu jiwa mereka masih belum tumbuh sempurna meneyebabkan mereka terselamat daripada pencemaran nafsu syahwah.

Dalam konteks ini Ramdhan menyediakan satu proses tazkiatun nafs (pendidikan nafsu) untuk membawa kembali manusia sedekat-dekatnya kepada keadaan fitrah dirinya. Selama ini kita makan semahu-mahunya demi melayani selera nafsu, berusaha sekuat daya untuk melayani kemahuan nafsu yang tidak pernah puas; maka ketika berpuasa semua ini dihalang. Kita dididik menguatkan kemahuan dan azam untuk bersabar, menjauhkan semua keinginan nafsu yang halal (apa lagi yang haram). Tanpa makan, minum, seks dan perbuatan-perbuatan lagho (tak berfaedah dan yang buruk), kita menjadi lebih dekat dengan sifat-sifat takwa, iaitu ciri fitrah manusia.

Di kedudukan takwa kita menjadi sangat baik dalan hubungan dengan Tuhan, dengan manusia dan juga dengan alam. Kita sentiasa sedar bahawa kita adalah hamba yang berkewajiban mentaati dan patuh kepada Tuhan pada setiap masa. Dalam waktu yang sama kita juga perlu memastikan hubungan baik sentiasa terjalin sesama manusia. Begitu juga hubungan kita dengan alam di sekitar kita.


Kesan gempa bumi 7.1 skala Ritcher di New Zealand baru-baru ini.

Dalam konteks alam, Ramadhan turut memberikan rahmatnya kepada alam. Alam sepatutnya lebih selamat di bulan mulia ini kerana manusia berada dalam kdudukan yang dekat kepada fitrah. Alam itu sendiri menggambarkan ciri-ciri firah atau alami, di mana ia hidup dan berkembang mengikut hukum alami yang telah ditetapkan Allah ke atasnya. Sebab itu apabila manusia mula merosakkan ciri-ciri alami alam dengan merosakkan alam, mencemari alam dan mengeksploitasinya, maka alam pun semakin jauh daripada fitrah. Akibatnya ekosistem alam menjadi rosak.

Semangat fitrah yang dibawa Syawal ini diharap dapat mendekatkan kita kepada alam dan ciri-cirinya yang alami. Semakin tinggi ketakwaan kita akan semakin tinggi kesedaran dan keinsafan kita terhadap kewujudan alam, insyaAllah.