Saturday, March 27, 2010

Cukupkah sejam untuk bumi?


Sejam lalu orang Malaysia baru sahaja memadamkan lampu selama sejam sebagai bukti simbolik kepada projek sejam untuk bumi (earth hour). Aktiviti simbolik ini dilaksanakan di seluruh dunia sebagai tanda kita mahu mengurangkan beban pemanasan global yang sedang melanda bumi kini.

Sejam untuk bumi memadakah? Sekadar simbolik, ya. Tetapi bumi memerlukan lebih banyak lagi komitmen daripada kita, penghuninya. Bumi sudah lama dibarkan, diabaikan, diremehkan; malah dirosakkan, dimusnahkan dengan pelbagai aktiviti kehidupan dan aktiviti pencemaran secara sengaja mahupun tidak sengaja.


Kehijauan bumi menyejukkan mata, menenangkan minda.

Kemajuan kehidupan manusia telah meningkatkan beban kepada atmosfera di mana pelbagai jenis gas beracun dilepaskan. Aktiviti ekonomi melalui industri perkilangan, jutaan kenderaan di jalanraya, rumah-rumah kediaman sentiasa melepaskan gas karbon ke udara sepanjang masa. Waktu sebahagian penduduk dunia sedang tidur, di bahagian lain bumi ini manusia sedang aktif di siang hari. Oleh itu aktiviti pelepasan gas karbon terus menerus dilakukan. Pelepasan gas rumah hijau (CFC) menipiskan lapisan ozon yang melinduni bumi daripada kepanasan. Di bnyak negara peperangan sentiasa wujud di mana penggunaan senjata melepaskan bahan-bahan kimia mencemari udara. Ujian nuklear misalnya adalah aktiviti sia-sia yang sengaja dilakukan untuk tujuan yang tidak bermanfaat langsung kepada manusia dan kepada kehidupan di bumi.

Apakah peningkatan pemanasan global dapat dihentikan? Agak mustahil meramalkan bagaimana kita akan menghadapi kesan pemanasan global. Semakin panas orang akan semakin banyak menggunakan pendingin udara. Ini bermakna semakin banyak lagi kesan gas rumah hijau di udara. Dalam waktu yang sama semakin banyak pula hutan hijau musnah dan dimusnahkan untuk tujuan ekonomi. Semakin banyak kawasan baru perlu dibagunkan untuk keperluan perumahan manusia. Dengan itu semakin kurang hutan hijau yang dapat dikekalkan. Pertambahan penduduk bumi akan mengurangkan lagi bekalan oksigen dan menambah banyak pelepasan gas karbon ke udara.


Semailah benih, hijaukan bumi.

Manusia perlu kembali ke alami, dan menghayati prinsip-prinsip hidup secara alami. Manusia perlu menghijaukan bumi dengan memakmurkan aktriviti bercucuk tanam. Tumbuhan hijau adalah makhluk yang mampu membantu kita menyejukkan bumi. Hutan hijau dan segala aneka flora adalah pelindung kita selama ini. Mereka membekalkan gas segar oksigen dan menyerap karbon dioksid. Mereka menyimpan bekalan air kepada penghuni bumi termasuk manusia. Mereka membekalkan sumber makanan berterusan kepada penghuni bumi terutama manusia sendiri. Mereka membekalkan kita sumber ubatan. Mereka membekalkan kita sumber-sumber yang memenuhi keperluan psikologikal manusia. Kehijauan alam flora merehatkan minda, meredakan tekanan (stres), menyejukkan mata, mendamaikan hati.

Oleh itu marilah kita turun ke bumi, memakmurkannya dengan menyemai benih-benih flora untuk menghijaukan bumi. Projek bermanfaat seperti projek bumi hijau bercucuk tanam sayuran-sayuran misalnya sudah merupakan satu aktiviti berterusan yang dapat menyelamatkan bumi. Dalam waktu yang sama hindarilah memusnahkan pokok-pokok sedia ada melainkan atas alasan yang sangat-sangat mendesak. Tanamlah pokok-pokok teduhan dan pokok bunga-bungaan. Di mana ada ruang biarpun di sekeliling rumah, hijaukanlah bumi dengan aktiviti berkebun.

No comments:

Post a Comment