Sebelum ini saya menulis tentang air sempena dengan Hari Air Sedunia pada 22 Mac. (hari ini). Cerita tentang air tidak akan ada kesudahannya kerana ia adalah makhluk Tuhan yang sentiasa mendampingi kita, manusia dan juga makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Bercerita tentang air tidak akan ada noktahnya kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan kita dan kehidupan penghuni lain dibumi ini.
Bertahun-tahun lalu saya telah menyiapkan sebuah buku tentang air. Tajuk yang dicadangkan adalah
Anda adalah Air: mengungkap mistri AIR dalam kehidupan. Buku istimewa (bagi saya) ini telah diajukan kepada dua penerbit sebelum ini. Malangnya isi buku ini tidak berjaya membuka minda mereka untuk menerbitkannya. Mereka mungkin melihat air bukanlah satu subjek menarik dan ada nilai komersil kepada pembaca. Ia kini sedang dinilai oleh sebuah penerbit lain. Doakanlah agar buku ini diberi penilaian yang wajar, dan ia akan diterbitkan.
Sebenarnya saya sedang menulis sebuah buku lain tentang air. Buku kedua ini akan lebih tertumpu kepada aspek sikap manusia terhadap air. Bagi saya menulis tentang air bukanlah sekadar kerja mengumpul data persuratan semata-mata, tetapi ia adalah mengungkap emosi dari lubuk nurani tentang nasib air di tangan manusia yang terlalu negatif terhadap air. Manusia meremehkan kewujudan air. Lebih teruk lagi, mereka menghinanya dengan membiarkan ia tercemar oleh tabiat buruk manusia yang menjadikannya tempat membuang segala sisa-sisa kotoran dan toksid. Melalui perbuatan buruk tesebut, air berubah daripada sumber kehidupan kepada sumber yang rosak dan merosakkan.
Asid laktik mengandungi mikrob untuk melawan pencemaran.
Umumnya kita melihat tidak ramai orang yang serius membela nasib air. Semua pihak termasuk pihak yang mempunyai kuasa nampaknya tidak begitu menghiraukan nasib air, kerana buat masa ini kita masih berasa selamat kerana masih mempunyai bekalan air yang mencukupi, mempunyai sumber-sumber air yang masih menyediakan air kepada kita. Umumnya sebagai pengguna, sebahagian besar kita tidak menyedari bahawa kita mendapat bekalan air yang tidak bersih dan tidak selamat dari perspektif kesihatan. Sungguhpun di setiap rumah bekalan air sampai melalui paip, namun kita dibekalkan dengan air yang berkualiti rendah, tercemar dan tidak jernih. Ada ketikanya air yang sampai di rumah kelihatan keruh akibat klorin. Penggunaan klorin bertujuan membunuh kuman dan bakteria, tetapi ia sendiri adalah kimia yang memudaratkan. Akhirnya kebanyakan rumah terpaksa merawat lagi air paip (yang didakwa sudah dirawat) itu. Orang menggunakan pelbagai jenis mesin dan alatan merawat air daripada penapis, penyaring dari pelbagai jenis.
Oleh kerana bekalan air ke rumah kita tidak berkualiti, maka banyak pihak mengaut keuntungan melalui perniagaan menjual penapis air. Pelbagai jenis penapis didakwa sebagai terbaik untuk merawat air. Akhirnya pengguna terpaksa berbelanja hingga ribuan ringgit untuk membeli penapis ini. Status air kita yang tidak begitu sihat memberikan peluang kepada para peniaga ini mengeksploitasi pasaran.
Kualiti air paip di seluruh negara berbeza-beza. Kadar mendapan pepejal di dalamnya (TDS) adalah berbeza antara atu tempat dengan tempat lain. Kadar TDS di lembah Kelang misalnya agak tinggi berbanding air di Tapah atau di Kampar Perak. Oleh kerana sumber air asal adalah daripada sumber yang berbeza, maka ukuran TDS akan berbeza. Di negara maju, mereka menggunakan ozon untuk merawat air, namun kita masih bergantung kepada klorin lagi.
Saya turut sama melontar bola selut di perairan Gurney Drive, Ogos lalu.
Kita telah ditemukan dengan satu kaedah merawat air menggunakan biotek di mana kelompok-kelompok mikrob bermanfaat atau EM digunakan untuk merawat pencemaran air. Teknologi EM yang dimajukan oleh Profesor Dr Higa dari Jepun ini kini telah digunakan dengan berkesan untuk menghadapi pncemaran air. Ia dimanfaatkan oleh aktivis EM di seluruh dunia di mana kini dianggar lebih 140 buah negara menggunakannya. Malaysia juga adalah antara negara yang kini menerima pakai teknologi EM ini.
Air tercemar boleh dirawat dengan menuangkan cairan EM ke dalamnya. Contoh mudah EM boleh digunakan di rumah. Sekiranya ia digunakan di tandas atau bilik air, EM akan mengalir ke dalam longkang atau saluran najis. Ia akan membersihkan air kumbahan di samping membersihkan salurannya. Air yang mengandungi EM akan mengalir ke longkang , ke sungai dan akhirnya ke laut. DI sepanjang perjalanan, mikrob dalam EM terus hidup dan bereaksi dengan mikrob pencemar (patogen). Ia akan membersihkan persekitaran di mana sahaja laluannya.
Kini
bola selut yang mengandungi EM pula digunakan untuk merawat kawasan air tercemar seperti di kolam, tasik, sungai dan laut. Di Jepun bola-bola selut EM ini didapati berkesan memulihkan beberapa lokasi perairan. Di Thailad dan beberapa buah negara yang mengamalkan teknologi EM dengan serius telah membuktikan perairan mereka yang tercemar telah dapat dirawat.
Malaysia juga kini sedang mengarah ke situ. Beberapa pertubuhan dan aktivis EM di Malaysia sudah memulakan usaha merawat sumber air tercemar dengan bola-bola selut ini. Tahun lalu satu projek besar membersihkan perairan telah dijalankan di Pulau Pinang. Projek yang dinamakan 'sejuta kemaafan kepada bumi' ini telah disertai oleh pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan. Sebanyak sejuta bola selut dibaling ke perairan (sungai dan laut) di Pulau Pinang untuk mengurangkan kesan pencemarannya. Projek bulan Ogos 2009 itu turut disertai oleh Ketua Menteri Pulau Pinang semasa melancarkannya di Padang Kota (Gurney Drive).
Ikan hidup sihat dalam kolam yang dirawat dengan EMSatu lagi projek sedang dijalankan oleh kumpulan NGO yang ditaja oleh Standard Charted di mana mereka sedang berusaha merawat air di tasik Zoo Negara. Mereka juga menggunakan bola-bola selut untuk melawan pencemaran air di sana.
Kami sendiri di IPAL sedang mengembangkan penggunaan cecair EM dan bola selut untuk menghadapi masalah pencemaran air. Individu atau organisasi atau pihak-pihak yang berminat untuk menggunapakai teknologi EM ini bolehlah berhubung dengan pihak kami. Kami menyediakan stok cecair EM dan juga bola-bola selut untuk terus dipakai.
SALAM.. BAGAIMANA SAYA BOLEH MENGHUBUNGI IPAL?
ReplyDelete