Sunday, June 5, 2011

Cintakah kita pada alam?


Seluruh pencinta alam sedang menyambut Hari Aam Sekitar yang jatuh pada 5 Mei setiap tahun. Apakah maknanya Hari tersebut kepada kita?

Setiap orang semestinya memiliki perasaan cinta kepada alam kerana diri kita sendiri adalah sebahagian daripada alam ini. Kita tidak hidup sendirian dan terasing di planet bumi ini, kerana bumi ini sendiri adalah sebahagian kecil daripada gugusan planet ciptaan Allah SWT. Sungguhpun kita sangat yakin pada fakta sains yang mengatakan bahawa matahari adalah pusat edaran di mana bumi dan planet-planet sekitar matahari berputar mengelilinginya. Namun begitu pada hakikatnya matahari itu sendiri berputar mengelilingi orbitnya, yang pastinya jauh lebih hebat daripada matahari. SubhanalLah, tidak terjangkau akal kita memikirinya. Demikianlah keagungan ciptaan Tuhan di mana alam ini diciptakan untuk menjadi tanda atau bukti kekuasaan-Nya.

Di bumi kita tidak diciptakan sendirian. Bersama kita terdapat haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, atmosfera; di samping banyak lagi makhluk ghaib yang kita tidak nampak tetapi kewujudannya kita rasai, iaitu malaikat, jin, bakteria, virus, oksigen, karbon dioksida, ozon, ion, tenaga solar, tenaga angin, tenaga hidro dan lain-lain.



Malangnya ramai manusia yang hanya melihat dirinya sendiri dan meremehkan kewujudan makhluk lain di bumi ini. Mereka leka melayani ego diri dan keinginan nafsu yang cenderung merosakkan diri mereka sendiri, hingga lupa kepada hakikat kewujudan alam dan penghuni alam lain. Sebahagian besar manusia terjebak dalam salahlaku yang buruk dan merosakkan (fasad dan fasik). Mereka mengeksploit sumber alam yang terhad untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan orang lain, terutama generasi penghuni muka bumi akan datang. Sumber-sumber alam digali, digunakan dengan rakus dan membazir mengikut selera nafsu, tanpa memperhitungkan ciri-ciri alam yang terhad dan perlukan keseimbangan. Keseimbangan alam dan eksositemnya sangat terancam, akibat manipulasi manusia-manusia tamak dan angkuh. Ledakan senjata nukliar merobek makhluk hidup termasuk manusia, haiwan dan tumbuhan. Dalam waktu yang sama mencemari atmosfera dengan zat-zat kimia beracun. Di darat baik di laut, kehidupan terancam kesan daripada radioaktif dan kesan kimia beracun ini.

Ramai lagi manusia jahil yang terus merosakkan alam melalui perbuatan khianat membakar hutan baik untuk tujuan pertanian atau dengan niat jahat, hingga kita kehilangan hutan hijau beribu-ribu hektar. Kebakaran hutan bukan sahaja memusnahkan flora dan fauna yang sangat berharga tetapi juga meningalkan kesan jerebu yang membahayakan kesihatan manusia. Kejadian kebakaran seperti yang sering terjadi di negara jiran, telah membawa kesan buruk jerebu ke negara-negara jiran yang tidak berdosa.



Sikap buruk kita terhadap air dan sumber air masih merupakan antara ancaman besar kepada alam sekitar. Kita mencemarkan sumber air seperti sungai dan laut. Kita dengan sengaja membiarkan segala enapcemar daripada rumahtangga dan industri mengalir ke longkang, ke sungai dan kemudian ke laut. Ini satu dosa besar ke atas alam sekitar dan pengkhianatan besar kepada sesama kita. Walaupun kita dianugerahkan sungai yang banyak namun airnya tidak dapat dimanfaatkan sebagai sumber minuman kerana tercemar oleh salahlaku manusia sendiri.

Kita, orang Malaysia khususnya adalah orang yang pengotor. Lihatlah tabiat buruk membuang sisa sampah di merata tempat. Sampah dibuang di sepanjang jalan. Lihatlah di kiri kanan jalan terutama di bandar, sampah dibuang tanpa ada rasa bersalah langsung. Inilah tabiat buruk dan sangat buruk bagi bangsa yang bertamaddun. Tabiat buruk ini membayangkan hati yang juga kotor. Perbuatan vandalisme sangat mencemarkan, termasuk jutaan keping iklan haram yang ditampal di mana sahaja. Ia bukan sahaja memburukkan pemandangan tetapi juga menutup kenyataan dan isyarat pada papan-papan tanda jalan. Oleh kerana tiada undang-undang ketat dan akta yang menakutkan, maka perbuatan jahat begini masih terus dilakukan orang Malaysia!


Sikap meremehkan alam adalah lahir daripada hati kita yang gersang dari rasa cintakan alam. Ingatlah bahawa cintakan alam adalah lahir daripada hati suci yang sentiasa mensyukuri nikmat anugerah Tuhan Rabbul Jalil.

Thursday, March 31, 2011

Bencana demi bencana


Terakhir tsunami menggempur lagi bumi kita, sehingga kita merasakan tiada lagi jaminan bumi kita akan selamat selamanya. Jepun sebuah negara maju yang dikagumi dunia kerana kemajuan teknologi dan kualiti sumber manusianya, kini diuji Tuhan dengan serangan tsunami yang dianggap antara yang terburuk sejak ratusan (140) tahun lalu. Tsunami terakhir adalah kesan gempa bumi kuat pada skala 9 magnitud berlaku pada 11 Mac lalu meranapkan kasawa perfecture Miyagi dan Fukushima, utara Jepun. Antara bandaraya terlibat adalah bandaraya Sendai yang padat dengan penduduk.


Sudah banyak laporan disiarkan media. Dijangkakan puluhan ribu nyawa manusia terkorban, manakala nilai harta benda yang musnah tidak terhitung. Segala-gala musnah sekelip mata apabila tsunami melanda. Sungguh pun Jepun adalah antara negara yang sentiasa bersedia dari segi teknologi untuk menghadapi bencana gempa bumi, namun kemusnahan tsunami dan gempa bumi tersebut tidak mampu dihadapi sesiapa pun.

MasyaALlah - inna lilLahi wainna ilaihi rajiun. Itulah ungkapan sederhana yang mampu kita lafazkan. Kita tidak berdaya melakukan apa-apa apabila petaka sebegini terjadi. Ia adalah bukti kekuasaan Tuhan, di mana di tangan-Nya kadar dan qadak. Apabila Dia hendak melakukan sesuatu, Dia hanya berkata: jadilah! maka jadilah ......


Kita telah menyaksikan ratusan ribu manusia maut akibat tsunami terburuk yang melanda lautan India yang memusnahkan Aceh pada tahun 2004. Negara kita turut dilanda tsunami yang mengorbankan beberapa nyawa. Sungguhpun tidak semua kita dapat menyaksi dengan mata kepala kejadian tersebut, namun berkat kemajuan teknologi, kita masih mampu menonton rakaman video daripada pelbagai sumber. Hari ini kita dapat menonton rakaman video tentang tsunami yang baru melanda Jepun, daripada pelbagai sumber media digital.

"Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan ini sia-sia. Maha Suci Engkau, maka jauhilah kami daripada siksaan azab neraka" (maksud al-Quran). Merujuk kepada pelbagai peristiwa bencana alam yang sedang melanda bumi hari ini, kita sedang diberi pelajaran menginsafkan tentang hidup, tentang kehidupan di bumi, tentang hakikat hidup dan mati, tentang kiamat, tentang kebenaran Tuhan.

Kemajuan manusia, kemajuan teknologi, kemajuan ICT, kemajuan pengetahuan dan apa saja kekuatan yang kita rasa milik kita, tidak mampu dan tidak berdaya menahan segala-gala yang terjadi daripada terjadi. Segalanya tetap akan terjadi mengikut rencana Tuhan kerana kita dan alam ini adalah milik-Nya, bukan milik kita.


La haula wala quwata illa bilLahil aliil Adzim.

Tuesday, January 4, 2011

Mendekati alam mergastua


Jumaat lalu kami sekeluarga telah membawa cucu kami Ameerul Afif mengunjungi Zoo Negara, untuk mendedahkan si kecil ini dengan dunia haiwan. Inilah kunjungan terakhir setelah puluhan tahun tidak mengunjunginya. Ketika usia dua tahun lebih, Ameerul sedang melewati tahap perkembangan emosi 'ingin tahu' yang sangat memerlukan pendedahan positif kepada persekitaran. Kanak-kanak sepertinya memerlukan pendedahan dan bimbingan bagi membolehkan perkembanngan jiwanya terarah kepada memahami hakikat persekitarannya.

Zoo adalah sebuah lingkungan yang dicipta khusus untuk membawa alam haiwan dekat dengan manusia. Melalui pelbagai disiplin ilmu berkaitan haiwan seperti georafi, biologi, zoologi, veterinar, pertanian dan seumpamanya boleh membawa kita memahami kehidupan haiwan. Namun begitu bukan semua orang akan mempelajari bidang-bidang tersebut. Oleh itu kewujudan zoo adalah satu keperluan untuk mendedahkan hakikat kehidupan haiwan kepada manusia secara nyata.

Kos pengurusan zoo bukanlah kecil. Sebab itu sumbangan daripada harga tiket tidak mencukupi untuk menampung kos opeprasi sesebuah zoo. Kita bersyukur kerana masih ada pihak-pihak yang sedar untuk membantu kewujudan zoo melalui sumbangan tetap menaja pelbagai jenis binatang. Institusi perniagaan seperti bank dan syarikat-syarikat besar yang mempunyai kesedaran alam sekitar telah menaja binatang-binatang ini.


Zirafah, binatang dari Afrika yang sangat unik.

Selain iu pihak penguruan zoo sendiri perlulah kreatif untuk menarik kunjungan lebih ramai orang. Kempen dan promosi juga diperlukan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya sering mengunjungi zoo bagi tujuan pendidikan, rekreasi, hiburan dan sebagainya.

Zoo sebenarnya berfungsi sebagai sebuah institusi pendidikan, di mana ia merupakan sebuah lokasi 'lapangan' untuk membolehkan para pelajar sekolah khususnya melihat dan menyaksikan kehdiupan haiwan yang mereka pelajari dalam pelbagai subjek yang berkaitan dengannya. Mereka mungkin mempelajari geografi atau alam sekitar, maka di zoolah tempat mereka mempelajarinya secara nyata, sedang di sekolah mereka hanya belajar daripada maklumat yang tertulis di buku sahaja.

Oleh itu lawatan ke zoo adalah satu aktiviti pembelajaran yang perlu diberi keutamaan dalam program-program di sekolah. Pihak sekolah hendaklah sering menganjurkan lawatan sebegini dengan tujuan pembelajaran selain tujuan rekreasi dan hiburan. Lawatan pembelajaran tentulah memerlukan persiapan oleh para guru supaya lawatan itu akan dimantfaatkan sebagai satu projek pembelajaran.


Harimau, binatang tempatan tetapi sukar dilihat.

Sementara itu pihak zoo sendiri boleh menyediakan pelbagai bahan pembelajaran bagi membantu pihak sekolah dan orang ramai yang serius mahu memanfaatkan lawatan ke zoo sebagai satu projek pembelajaran. Pada masa ini terdapat gerai jualan produk-produk berkaitan haiwan seperti jualan patung-patung haiwan, baju T bercetak dengan gambar haiwan, dan seumpamanya. Tetapi kita masih sukar mendapatkan bahan-bahan pendidikan seperti buku, gambar, poster, video dan seumpamanya. Bahan-bahan begini patutnya dijual di zoo kerana ia dapat membantu proses pembelajaran kanak-kanak khususnya. Sebuah buku lukisan tentang zoo, tentang haiwan dan persekitarannya adalah satu contoh bahan pembelajaran yang ringkas tetapi sangat bermanfaat kepada kanak-kanak. Ia boleh djadikan buku mewarna.

Kepada kanak-kanak, kunjungan ke zoo adalah satu aktiviti yang sungguh menyeronokkan. Mereka dapat memenuhi rasa ingin tahu yang sedang berkembang dalam diri mereka. Melihat binatang, khususnya binatang-binatang yang tiada dalam negara adalah satu pengalaman awal yang sungguh mengujakan mereka. Lebih dari itu mereka belajar mengenal, memahami dan mewujudkan kesedaran dalaman terhadap haiwan. Sekiranya lawatan itu dibimbing oleh ibu bapa atau guru-guru, ia adalah lebih berkesan kerana apa sahaja persoalan atau pertanyaan daripada kanak-kanak akan dapat dijawab dengan berkesan. Ini adalah proses pembelajaran yang berkesan.


Undan, burung yang sangat cantik dan feminin.

Friday, November 5, 2010

Lagi kisah Merapi.


Kisah meletusnya gunung Merapi di Jawa, Indonesia masih lagi menjadi kisah semasa yang panas. Panasnya berita tentangnya di seluruh dunia, khususnya di kalangan mereka yang begitu prihatin terhadap alam sekitar, hampir sama dengan panasnya bahang letusannya yang sedang dirasai oleh penduduk di sekitar Merapi, yang kini sedang menghadapi bencana ini.

Terbaru, satu letusan lebih kuat terjadi, memuntahkan lahar dan kepulan asap yang lebih besar daripada kejadian pada 26 Oktober lalu. Letusan semalam (Jumaat, 5 Nov) membunuh lebih 70 orang mangsa menjadikan jumlah kematian akibat letusan Merapi mencecah 122 orang. Kematian kali ini lebih tinggi daripada letusan kuat sebelumnya. Seramai 150 orang dilaporkan cedera dan dirawat.


Bencana terbaru telah menerjah ke desa Bronggang yang berkedudukan 15 kilometer daripada puncak Merapi yang meletus, mengakibatkan kemusnahan yang teruk. Sementara itu kawasan berbahaya semakin meluas, mencapai 20 kilometer, menghampiri kota Jokyakarta.

Letusan terakhir itu dikatakan nmemuntahkan sebanyak 1 765 kaki kubik bahan volkanik dan memuntahkan debu setinggi 10 000 meter ke angkasa.

Kita sedang menyaksikan bencana alam yang sedang terjadi. Mungkin bencana ini merbahaya kepada keselamatan manusia dan juga makhluk lain, namun kemajuan di bidang kajian sains khususnya tentang sains volkanik membantu kita menyelamatkan nyawa penduduk. Kajian tersebut dapat mengesan bahaya dari masa ke semasa. Malangnya masih ramai penduduk berhampiran yang menjadi mangsa akibat kejahilan, atau terputus hubungan, atau juga akibat sikap ambil mudah. Sekiranya mereka sedar untuk mengambil tindakan awal menyelamatkan diri, tentulah angka korban tidak besar. Rata-rata korban gunung Merapi adalah penduduk desa yang miskin dan hidup sangat sederhana di pendalaman, di kaki gungung Merapi. Mereka meneruskan kehidupan daripada aktivi pertanian. Mereka hidup atas nikmat kesuburan lahan (tanah pertanian) di kaki Merapi sejak sekian lama, di mana sebahagian mereka mewarisi kehidupan daripada generasi terdahulu.


Marilah kita melihat kejadian ini sebagai satu fitrah alam, kejadian yang diciptakan Tuhan dan ditakdirkan untuk berlaku, dan akan terus berlaku. Pelbagai bencana alam yang kini sedang terjadi, akan terus terjadi sebagaimana kini beberapa buah negara Asia sedang menghadapi banjir besar. Malaysia juga sedang dilanda banjir terutama negeri-negeri utara Semenanjung. Banjir ini telah menelan beberapa nyawa dan memusnahkan harta benda yang banyak di samping menghentikan pelbagai aktiviti harian.

Akhir-akhir ini bencana alam kelihatan semakin kerap berlaku, di mana-mana. Ia pastilah satu petanda bahawa alam sudah tua, dan segala bencana adalah ibarat gejala sakit tua yang dideritai oleh alam.

Marilah kita kembali kepada Tuhan kerana di sanalah ada jawaban kepada segala-galanya. Kita akan melihat segala yang terjadi adalah kekuasaan Tuhan yang akan menetapkan takdirnya menurut ilmu dan kehendak-Nya. Wallahua'lam.


Pemandangan suram, memutih dilitupi debu.

(Gambar-gambar daripada AP).

Monday, November 1, 2010

Banjir di sana sini.


Ramadhan lalu, Pakistan dilanda banjir besar yang mengorbankan ribuan rakyatnya, manakala jutaan orang rakyatnya menanggung kerugian akibat banjir tersebut. Terakhir banjir melanda China, dan kini negara-negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.


Banjir di Vienam.

Laporan terakhir menunjukkan sekitar 100 orang menjadi korban banjir di Thailand yang melibatkan 20 wilayah. Antara wilayah terburuk ialah Nakhon Ratchasima di timur laut Bangkok. Lebih sejuta rakyat Thailand terlibat dengan banjir besar ini. Di samping itu Vietnam juga sedang menghadapi banjir besar yang sedang melanda negara itu. Laporan AP seminggu lalu mengatakan 75 orang telah terbunuh dalam banjir kali ini. Semena itu sebuah bas terjunam ke dalam air dan membunuh 14 orang manakala enam orang lagi masih hilang.


Kini negara kita pula mula dilanda banjir. Laporan berita terbaru menyatakan banjir mula melanda negeri-negeri utara seperti Perlis dan Kedah, juga Kelantan. Kita akan menantikan perkembangan terbaru dari masa ke semasa untuk melihat kesan banjir kali ini.

Tuesday, October 26, 2010

Mentawai dan Merapi.


Berita terakhir melaporkan kejadian tsunami terjadi di Pulau Mentawai, di Sumatera akibat kejadian gempa bumi sekuat 7.7 pada skala Ritcher. Tsunami tersebut menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang menghenmpas perkampungan di Pulau tersebut. Gegaran gempa turut melanda Padang yang terletak berhadapan dengan lautan di mana pusat gempa terjadi. Akibat tsunami dan gempatersebut, dilaporkan 34 orang terbunuh (berita daripada telivisyen tempatan. Sementara laporran dari Associated Press menyebut, sekurang-kurangnya 113 rang tersebunuh, manakala ratusan orang lagi hilang. Bagaimanapun kita perlu mendapatkan berita terakhir kemudian.

Dalam waktu yang sama penduduk di sekitara Gunung Merapi di Jawa Tengah sedang bersiapa sedia menghadapi letusan Merapi. Di bawah ini petikan berita daripada internet.

YOGYAKARTA: Indonesia semalam meningkatkan amaran berjaga-jaga peringkat tertinggi bagi menghadapi kemungkinan gunung berapi Merapi meletus dan mengarahkan penduduk yang tinggal berhampiran untuk segera berpindah ke kawasan selamat. Aktiviti seismik dilaporkan meningkat secara dramatik di kawasan gunung berapi terbabit yang meningkatkan pengeluaran lahar serta kira-kira 500 gempa akibat aktiviti terbabit direkodkan sepanjang hujung minggu lalu.

Pegawai yang memantau gunung berapi itu meningkatkan tahap berjaga-jaga ke merah pada 6 pagi semalam, memberi amaran kemungkinan letusan berlaku.

“Lahar sudah mula naik ke atas berikutan kuasa seismik yang semakin meningkat dan kira-kira satu kilometer di bawah kawah,” kata pakar gunung berapi, Surono.


Penduduk diarahkan untuk berpindah dari kawasan zon bahaya kira-kira 10 kilometer dari kawasan kawah gunung berapi setinggi 2,914 meter berkenaan.

Gunung itu terletak 26 kilometer ke selatan Yogyakarta adalah paling aktif daripada 69 gunung berapi yang mempunyai sejarah letusan di Indonesia.
Kali terakhir ia meletus adalah pada Jun 2006 yang mengakibatkan dua orang maut, tetapi kejadian letupan paling banyak meragut nyawa adalah pada 1930 apabila lebih 1,300 penduduk dilaporkan terbunuh. Awan panas daripada letupan lain pada 1994 dilaporkan membunuh lebih 60 penduduk.

“Ia kini mempunyai lebih tenaga berbanding letusan sebelum 2006. Kami belum menemui petunjuk kuat bahawa ia akan meletup seperti yang berlaku pada 1930, tetapi ada kemungkinan ia akan berlaku,” kata Surono. – AFP

Thursday, October 21, 2010

Jerebu datang kembali.


Keindahan Kuala Lumpur hilang dalam jerebu.

Beberapa hari terakhir ini, atmosfera kita kembali diselubungi asap berupa jerebu. Sungguhpun ia tidaklah begitu teruk sehingga memendekkan jarak pemandangan tetapi kehadirannya mula dirasai. Semalam, akhbar melaporkan keadaan jerebu di Muar dan Melaka sudah semakin memburuk. Di Muar, murid-murid sekolah sudah tidak dibenarkan lagi ke sekolah. Maknanya sekolah ditutup bagi menghindarkan para pelajar terdedah kepada kesan buruk jerebu. Kadar indek jerebu di sini tentulah agak buruk sehingga menyebabkan pihak berkuasa bertindak sedemikian.

Suasana atmossfera di lembang Kelang masih belum seteruk yang dialami di selatan tanahair itu. Namun begitu sekiranya pergerakan angin mengarah ke sini, tidak mustahil, kita di lembah Kelang akan turut merasai bahan jerebu ini.

Seperti biasa jerebu dibawa angin dari seberang, dari kepulauan Sumera di Indonesia. Kesan titk panas akibat pembakaran terbuka di sana, akan menghasilakn kepulan asap tebal, yag apabila dibawa angin ke negara kita, ia akan menghasilkan jerebu. Indek bacaan jerebu akan semakin tinggi dan merbahaya apabila keadaan cuaca tidak begitu baik. Mendak daripada asap jerebu akan mendap ke bawah dan ini membahayakan kesihatan, terutama kaepada mereka yang sedia tidak sihat.


Jerebu yang dikesaan di Borneo suatu waktu lalu.

Jerebu sering dianggap antara bencana alam. Namun begitu jerebu berpunca daripada asap hasil pembakaran; manakala pembakaran terbuka seperti yangterjadi di negara jiran adalah dilakukan oleh tangan manusia, dengan sengaja untuk tujuan pertanian dan tujuan-tujuan lain yang kita tidak tahu. Kesan pembakaran ini akan memusnahkan hutan hijau dan melepaskan gas karbon ke udara. Asap pembakaran akan memasuki ruang udara dan disebabkan ruang udara tiada sempadan, ia akhirnya menyeberangi selat Melaka memasuki raung udara negara kia. Kesan buruknya akan ditanggung oleh kita jua biarpun ia dilakukan oleh orang-orang di seberang selat sana.

Inilah tragedi alam sekitar yang saban tahun berlaku, berulang-ulang. Biarpun pelbagai suaha dilakukan oleh kerajaan kita termasuk usahasama menangani kes jerubu ini dengan pihak kerajaan Indonesia, namun nampaknya jerebu tetap juga berlaku.
Apa lagi yang harus kita lakukan untuk menghindari jerebu? Tiada jalan lain melainkan menghentikan tabiat buruk membakar hutan baik untuk tujuan apa pun. Namun untuk menghentikan amalan buruk di negara orang bukan usaha mudah. Kita tiada kuasa menghentikannya sekiranya pemerintah mereka sendiri tidak melakukan sesuatu sehingga amalan buruk itu dhentikan dengan apa cara pun. Sekiranya tidak terjadi hal ini, kita terpaksa melakukan apa sahaja usaha merawat, kerana kita tiada berdaya mencegahnya.

Nilai IPU Kualiti udara
0 - 50 Baik
51 - 100 Sederhana
101 - 200 Tidak sihat
201 - 300 Sangat tidak sihat
301 - 400 Berbahaya
401 - 500 Sangat berbahaya
Lebih 501 Darurat