Tuesday, January 4, 2011

Mendekati alam mergastua


Jumaat lalu kami sekeluarga telah membawa cucu kami Ameerul Afif mengunjungi Zoo Negara, untuk mendedahkan si kecil ini dengan dunia haiwan. Inilah kunjungan terakhir setelah puluhan tahun tidak mengunjunginya. Ketika usia dua tahun lebih, Ameerul sedang melewati tahap perkembangan emosi 'ingin tahu' yang sangat memerlukan pendedahan positif kepada persekitaran. Kanak-kanak sepertinya memerlukan pendedahan dan bimbingan bagi membolehkan perkembanngan jiwanya terarah kepada memahami hakikat persekitarannya.

Zoo adalah sebuah lingkungan yang dicipta khusus untuk membawa alam haiwan dekat dengan manusia. Melalui pelbagai disiplin ilmu berkaitan haiwan seperti georafi, biologi, zoologi, veterinar, pertanian dan seumpamanya boleh membawa kita memahami kehidupan haiwan. Namun begitu bukan semua orang akan mempelajari bidang-bidang tersebut. Oleh itu kewujudan zoo adalah satu keperluan untuk mendedahkan hakikat kehidupan haiwan kepada manusia secara nyata.

Kos pengurusan zoo bukanlah kecil. Sebab itu sumbangan daripada harga tiket tidak mencukupi untuk menampung kos opeprasi sesebuah zoo. Kita bersyukur kerana masih ada pihak-pihak yang sedar untuk membantu kewujudan zoo melalui sumbangan tetap menaja pelbagai jenis binatang. Institusi perniagaan seperti bank dan syarikat-syarikat besar yang mempunyai kesedaran alam sekitar telah menaja binatang-binatang ini.


Zirafah, binatang dari Afrika yang sangat unik.

Selain iu pihak penguruan zoo sendiri perlulah kreatif untuk menarik kunjungan lebih ramai orang. Kempen dan promosi juga diperlukan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya sering mengunjungi zoo bagi tujuan pendidikan, rekreasi, hiburan dan sebagainya.

Zoo sebenarnya berfungsi sebagai sebuah institusi pendidikan, di mana ia merupakan sebuah lokasi 'lapangan' untuk membolehkan para pelajar sekolah khususnya melihat dan menyaksikan kehdiupan haiwan yang mereka pelajari dalam pelbagai subjek yang berkaitan dengannya. Mereka mungkin mempelajari geografi atau alam sekitar, maka di zoolah tempat mereka mempelajarinya secara nyata, sedang di sekolah mereka hanya belajar daripada maklumat yang tertulis di buku sahaja.

Oleh itu lawatan ke zoo adalah satu aktiviti pembelajaran yang perlu diberi keutamaan dalam program-program di sekolah. Pihak sekolah hendaklah sering menganjurkan lawatan sebegini dengan tujuan pembelajaran selain tujuan rekreasi dan hiburan. Lawatan pembelajaran tentulah memerlukan persiapan oleh para guru supaya lawatan itu akan dimantfaatkan sebagai satu projek pembelajaran.


Harimau, binatang tempatan tetapi sukar dilihat.

Sementara itu pihak zoo sendiri boleh menyediakan pelbagai bahan pembelajaran bagi membantu pihak sekolah dan orang ramai yang serius mahu memanfaatkan lawatan ke zoo sebagai satu projek pembelajaran. Pada masa ini terdapat gerai jualan produk-produk berkaitan haiwan seperti jualan patung-patung haiwan, baju T bercetak dengan gambar haiwan, dan seumpamanya. Tetapi kita masih sukar mendapatkan bahan-bahan pendidikan seperti buku, gambar, poster, video dan seumpamanya. Bahan-bahan begini patutnya dijual di zoo kerana ia dapat membantu proses pembelajaran kanak-kanak khususnya. Sebuah buku lukisan tentang zoo, tentang haiwan dan persekitarannya adalah satu contoh bahan pembelajaran yang ringkas tetapi sangat bermanfaat kepada kanak-kanak. Ia boleh djadikan buku mewarna.

Kepada kanak-kanak, kunjungan ke zoo adalah satu aktiviti yang sungguh menyeronokkan. Mereka dapat memenuhi rasa ingin tahu yang sedang berkembang dalam diri mereka. Melihat binatang, khususnya binatang-binatang yang tiada dalam negara adalah satu pengalaman awal yang sungguh mengujakan mereka. Lebih dari itu mereka belajar mengenal, memahami dan mewujudkan kesedaran dalaman terhadap haiwan. Sekiranya lawatan itu dibimbing oleh ibu bapa atau guru-guru, ia adalah lebih berkesan kerana apa sahaja persoalan atau pertanyaan daripada kanak-kanak akan dapat dijawab dengan berkesan. Ini adalah proses pembelajaran yang berkesan.


Undan, burung yang sangat cantik dan feminin.

No comments:

Post a Comment