Terakhir tsunami menggempur lagi bumi kita, sehingga kita merasakan tiada lagi jaminan bumi kita akan selamat selamanya. Jepun sebuah negara maju yang dikagumi dunia kerana kemajuan teknologi dan kualiti sumber manusianya, kini diuji Tuhan dengan serangan tsunami yang dianggap antara yang terburuk sejak ratusan (140) tahun lalu. Tsunami terakhir adalah kesan gempa bumi kuat pada skala 9 magnitud berlaku pada 11 Mac lalu meranapkan kasawa perfecture Miyagi dan Fukushima, utara Jepun. Antara bandaraya terlibat adalah bandaraya Sendai yang padat dengan penduduk.
Sudah banyak laporan disiarkan media. Dijangkakan puluhan ribu nyawa manusia terkorban, manakala nilai harta benda yang musnah tidak terhitung. Segala-gala musnah sekelip mata apabila tsunami melanda. Sungguh pun Jepun adalah antara negara yang sentiasa bersedia dari segi teknologi untuk menghadapi bencana gempa bumi, namun kemusnahan tsunami dan gempa bumi tersebut tidak mampu dihadapi sesiapa pun.
MasyaALlah - inna lilLahi wainna ilaihi rajiun. Itulah ungkapan sederhana yang mampu kita lafazkan. Kita tidak berdaya melakukan apa-apa apabila petaka sebegini terjadi. Ia adalah bukti kekuasaan Tuhan, di mana di tangan-Nya kadar dan qadak. Apabila Dia hendak melakukan sesuatu, Dia hanya berkata:
jadilah! maka jadilah ......
Kita telah menyaksikan ratusan ribu manusia maut akibat tsunami terburuk yang melanda lautan India yang memusnahkan Aceh pada tahun 2004. Negara kita turut dilanda tsunami yang mengorbankan beberapa nyawa. Sungguhpun tidak semua kita dapat menyaksi dengan mata kepala kejadian tersebut, namun berkat kemajuan teknologi, kita masih mampu menonton rakaman video daripada pelbagai sumber. Hari ini kita dapat menonton rakaman video tentang tsunami yang baru melanda Jepun, daripada pelbagai sumber media digital.
"Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan ini sia-sia. Maha Suci Engkau, maka jauhilah kami daripada siksaan azab neraka" (maksud al-Quran). Merujuk kepada pelbagai peristiwa bencana alam yang sedang melanda bumi hari ini, kita sedang diberi pelajaran menginsafkan tentang hidup, tentang kehidupan di bumi, tentang hakikat hidup dan mati, tentang kiamat, tentang kebenaran Tuhan.
Kemajuan manusia, kemajuan teknologi, kemajuan ICT, kemajuan pengetahuan dan apa saja kekuatan yang kita rasa milik kita, tidak mampu dan tidak berdaya menahan segala-gala yang terjadi daripada terjadi. Segalanya tetap akan terjadi mengikut rencana Tuhan kerana kita dan alam ini adalah milik-Nya, bukan milik kita.
La haula wala quwata illa bilLahil aliil Adzim.
No comments:
Post a Comment