Seluruh pencinta alam sedang menyambut Hari Aam Sekitar yang jatuh pada 5 Mei setiap tahun. Apakah maknanya Hari tersebut kepada kita?
Setiap orang semestinya memiliki perasaan cinta kepada alam kerana diri kita sendiri adalah sebahagian daripada alam ini. Kita tidak hidup sendirian dan terasing di planet bumi ini, kerana bumi ini sendiri adalah sebahagian kecil daripada gugusan planet ciptaan Allah SWT. Sungguhpun kita sangat yakin pada fakta sains yang mengatakan bahawa matahari adalah pusat edaran di mana bumi dan planet-planet sekitar matahari berputar mengelilinginya. Namun begitu pada hakikatnya matahari itu sendiri berputar mengelilingi orbitnya, yang pastinya jauh lebih hebat daripada matahari. SubhanalLah, tidak terjangkau akal kita memikirinya. Demikianlah keagungan ciptaan Tuhan di mana alam ini diciptakan untuk menjadi tanda atau bukti kekuasaan-Nya.
Di bumi kita tidak diciptakan sendirian. Bersama kita terdapat haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, atmosfera; di samping banyak lagi makhluk
ghaib yang kita tidak nampak tetapi kewujudannya kita rasai, iaitu malaikat, jin, bakteria, virus, oksigen, karbon dioksida, ozon, ion, tenaga solar, tenaga angin, tenaga hidro dan lain-lain.
Malangnya ramai manusia yang hanya melihat dirinya sendiri dan meremehkan kewujudan makhluk lain di bumi ini. Mereka leka melayani ego diri dan keinginan nafsu yang cenderung merosakkan diri mereka sendiri, hingga lupa kepada hakikat kewujudan alam dan penghuni alam lain. Sebahagian besar manusia terjebak dalam salahlaku yang buruk dan merosakkan (
fasad dan fasik). Mereka mengeksploit sumber alam yang terhad untuk kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan orang lain, terutama generasi penghuni muka bumi akan datang. Sumber-sumber alam digali, digunakan dengan rakus dan membazir mengikut selera nafsu, tanpa memperhitungkan ciri-ciri alam yang terhad dan perlukan keseimbangan. Keseimbangan alam dan eksositemnya sangat terancam, akibat manipulasi manusia-manusia tamak dan angkuh. Ledakan senjata nukliar merobek makhluk hidup termasuk manusia, haiwan dan tumbuhan. Dalam waktu yang sama mencemari atmosfera dengan zat-zat kimia beracun. Di darat baik di laut, kehidupan terancam kesan daripada radioaktif dan kesan kimia beracun ini.
Ramai lagi manusia jahil yang terus merosakkan alam melalui perbuatan khianat membakar hutan baik untuk tujuan pertanian atau dengan niat jahat, hingga kita kehilangan hutan hijau beribu-ribu hektar. Kebakaran hutan bukan sahaja memusnahkan flora dan fauna yang sangat berharga tetapi juga meningalkan kesan jerebu yang membahayakan kesihatan manusia. Kejadian kebakaran seperti yang sering terjadi di negara jiran, telah membawa kesan buruk jerebu ke negara-negara jiran yang tidak berdosa.
Sikap buruk kita terhadap air dan sumber air masih merupakan antara ancaman besar kepada alam sekitar. Kita mencemarkan sumber air seperti sungai dan laut. Kita dengan sengaja membiarkan segala enapcemar daripada rumahtangga dan industri mengalir ke longkang, ke sungai dan kemudian ke laut. Ini satu dosa besar ke atas alam sekitar dan pengkhianatan besar kepada sesama kita. Walaupun kita dianugerahkan sungai yang banyak namun airnya tidak dapat dimanfaatkan sebagai sumber minuman kerana tercemar oleh salahlaku manusia sendiri.
Kita, orang Malaysia khususnya adalah orang yang pengotor. Lihatlah tabiat buruk membuang sisa sampah di merata tempat. Sampah dibuang di sepanjang jalan. Lihatlah di kiri kanan jalan terutama di bandar, sampah dibuang tanpa ada rasa bersalah langsung. Inilah tabiat buruk dan sangat buruk bagi bangsa yang bertamaddun. Tabiat buruk ini membayangkan hati yang juga kotor. Perbuatan vandalisme sangat mencemarkan, termasuk jutaan keping iklan haram yang ditampal di mana sahaja. Ia bukan sahaja memburukkan pemandangan tetapi juga menutup kenyataan dan isyarat pada papan-papan tanda jalan. Oleh kerana tiada undang-undang ketat dan akta yang menakutkan, maka perbuatan jahat begini masih terus dilakukan orang Malaysia!
Sikap meremehkan alam adalah lahir daripada hati kita yang gersang dari rasa cintakan alam. Ingatlah bahawa cintakan alam adalah lahir daripada hati suci yang sentiasa mensyukuri nikmat anugerah Tuhan Rabbul Jalil.
No comments:
Post a Comment