Pertanian Organik: satu pengenalan, penerbitan baru IPAL.Ketika ini saya sedang menyiapkan sebuah buku tentang teknologi EM, sebagai satu sumbangan kepada masyarakat pembaca, untuk melihat, memahami dan kemudian menghayati teknologi EM ini dalam aktiviti kehidupan mereka secara menyeluruh.
Lebih enam tahun sejak mengenalinya, saya semakin hari terasa semakin akrab dan intim dengannya. Bermula daripada aplikasi sederhana memanfaatkan sisa-sisa dapur di rumah, sehingga kini semakin jauh mencuba pelbagai aplikasi teknologi EM. Malahan kini sudah memasuki peringkat mengembangkannya dengan berusaha berkongsi ilmu dan pengalaman dengan masyarakat. Oleh kerana teknologi EM adalah satu penemuan kepada aplikasi teknologi hijau atau sesuatu yang sangat akrab dengan konsep kelestarian alam dan kelestarian kehidupan, maka ia menjadi sesuatu yang penting kepada saya.
Bermula dengan menggali maklumat dan ilmu daripada sumber-sumber berautoriti, kemudian mencuba aplikasinya sebagai proses mengamalkan ilmu tersebut, keyakinan semakin hari semakin tinggi terhadap keupayaan teknologi ini untuk mengubah kehidupan secara holistik. Belajar di IPSA, Bali adalah berguru kepada anak murid Prof. Higa sendiri, kemudian di Sara Buri, Thailand, bersama dengan tenaga pembimbing berasal dari Jepun yang mempunyai autoriti tentang teknlogi EM ini. Proses belajar ini tiada kesudahan kerana ia membawa kita semakin jauh untuk memahami banyak lagi kisah-kisah menarik di sebalik aplikasi teknologi EM ini.
Membaca karya-karya Higa sendiri khususnya tiga buah bukunya yang sudahpun diterjemakan ke dalam bahasa Inggeris, membuka lorong-lorong baru untuk terus disusuri. Kisah-kisah kejayaan aplikasi teknologi ini di merata lokasi di seluruh dunia menyebabkan kita berasa sangat ketinggalan. Perasaaan ini mencabar diri supaya lebih serius dan lebih komited untuk bersama Higa merealisasikan impian Higa. Beberapa kali dapat bersua muka dengan Higa, terasa dapat suntikan semangat yang kuat untuk bersama beliau memperjuangkan cita-cita mengembalikan alam ini kepada tahap kelestarian yang diingini.
Buku-buku Higa.
Buku yang sedang disiapkan meliputi maklumat tentang pelbagai aspek aplikasi EM dalam pelbagai aktiviti seperti aktiviti pertanian, penternakan, alam sekitar dan juga kesihatan. Lebih penting lagi ialah mesej tentang alam di mana setiap kita perlu menerima satu realiti bahawa kita sudah jauh mengabaikan alam terutama bumi yang kita diami ini. Kita perlu membuka minda menyedari bahawa kita perlu segera kembali ke pangkal jalan setelah tersesat jauh. Bumi perlu diselamatkan kerana di sinilah kehidupan kita perlu dilestarikan.
Selain menghasilkan buku, IPAL sedang berusaha mengumpulkan maklumat dalam bentuk hasilan monograf, risalah, rencana dan lain-lain. Usaha ini adalah sebagai satu cara pengumpulan data untuk manfaat semua pihak di masa depan. Kami melakukannya dengan cara sederhana kerana kami berdiri sendiri setakat ini, dengan kemampuan dan kapsiti kewangan yang masih terhad. Apa yang penting, kami sedang melakukan sesuatu untuk menterjemahkan Impian Higa yang juga impian kita semua.
No comments:
Post a Comment