Apakah ia musuh atau sahabat kita?Ketika menceritakan tentang pertanian alami, saya sering memberikan satu contoh mudah bagaimana alam ini sendiri tahu mengurus dirinya, iaitu dengan melihat hutan hijau di sekeliling kita. Hutan hijau, rimba tropika yang berusia jutaan tahun, terus hijau subur sehingga kini, siapa yang membajanya? Jawaban pasti adalah: tiada siapapun yang memberinya baja! Kenapa ia terus subur tanpa diberi baja? Jawabnya ialah kerana tanah yang menumbuhkan hutan hijau itu sentiasa membekalkan nutrien untuk pembesaran tumbuhan di atasnya. Dari mana pula tanah mendapat bekalan nutrien? Secara alami, tanah sedia kaya dengan nutrien kerana di dalam tanah terdapat kehidupan jutaan makhluk yang bersimbiosis, bersinergi menghasilkan nutrien hasil tindakbalas biologinya. Makhluk seni seumpama mikrob itu secara alami berfungsi antara lain membantu pereputan sisa-sisa organik seperti daun-daun kering, ranting, dahan kayu atau serangga dan haiwan yang mati di permukaan tanah. Pereputan itu bertukar menjadi bahan yang membekalkan nutrien (baja semulajadi) kepada tanah di mana akar tumbuhan dapat menyerapnya sebagai makanan untuk tumbesarannya. Di samping itu mineral bukan organik daripada air dan daripada sumber bumi diserap oleh tumbuhan. Kebolehan tumbuhan menukarkan mineral bukan organik kepada mineral organik membantu manusia dengan membekalkan mereka mineral organik. Inilah mineral terbaik untuk tubuh manusia, kerana tubuh manusia sendiri tidak mampu menukarkan mineral bukan organik kepada mineral organik. Oleh itu manusia perlu mendapatkan bekalan mineral organik daripada tumbuhan bukan daripada sumber lain, termasuk air.
Inilah asas mudah memahami pertanian alami. Alam memang sedia subur. Tanah secara alami telahpun mempunyai keupayaan menyediakan makanan untuk tumbuhan di atasnya. Sungguhpun dalam kajian sains tanah terdapat jenis-jenis tanah yang kurang subur, namun sains telah menemukan pelbagai cara untuk merawat tanah-tanah tidak subur tersebut dengan melengkapkan kekurangan unsur-unsurnya. Tanah subur adalah secara biologinya lengkap dengan unsur-unsur penting. Hari ini orang mengenali antaranya unsur NPK. Secara konvensional, mereka menggunakan bahan-bahan sintetik untuk menghasil bahan-bahan NPK ini menyebabkan ia kurang serasi dengan biologi tanah.
Kesuburan adalah kesan hubungan baik dengan alam.Satu kepercayaan palsu di kalangan kita ialah anggapan bahawa tanah akan gersang dan kehabisan nutrien kerana kerap digunakan (misalnya setelah berkali-kali ditanam dengan tanaman). Anggapan ini diasaskan kepada logik akal bahawa kandungan nutrien dalam tanah habis digunakan oleh tanaman, akhirnya tanah kehilangan nutrien. Secara alami tanah tidak akan kehabisan nutrien selama di dalamnya masih wujud makhluk seni mikrob dan lain-lain yang sentiasa bekerja menyuburkan tanah. Mereka hanya perlu dibiakkan dengan membekalkan mereka sisa-sisa organik yang sesuai untuk mereka olah menjadi kompos. Rumput rumpai yang sentiasa tumbuh boleh dimanfaatkan sebagai sisa organik dengan memotong dan mencabutnya. Ia akan mengering dan menjadi kompos, walaupun waktu diambil agak perlahan.
Memudahkan kita menerapkan idea-idea alami dalam pertanian ialah dengan mewujudkan persepsi yang serasi dengannya. Marilah kita melihat kewujudan rumpai dan serangga sebagai sebahagian daripada alam. Jernihkan fikiran dan minda kita daripada tanggapan buruk selama ini bahawa 'seolah-olah semua rumpai dan serangga adalah ancaman'; sedangkan Tuhan menciptakan semua makhluk ini tiada sia-sia, semua ada manfaatnya. Hanya kerana maklumat dan pengetahuan kita terhad, maka banyak manfaatnya yang kita belum ketemui. Berfikirlah secara positif barulah kejernihan minda dapat dikecapi. Prinsip alami mengatakan bahawa segala sesuatu yang Allah ciptakan ini ada manfaatnya. Marilah kita melihat kepada manfaatnya, dan kurangkan prasangka kepada keburukannya. Serangga misalnya banyak memabantu kita bertani kerana ia mengahwinkan pokok melalui pendebungaan. Biarkan makhluk seumpama burung yang berfungsi membantu pendebungaan, ia juga menghapuskan sebahagian serangga dengan memakannya.
Marilah kita berpegang kepada prinsip pertanian alami sebagaimana ditegaskan dalam falsafah Mokichi Okada (1882-1955). Beliau adalah seorang ahli falsafah, pemimpin spiritual, penyair, artis dan usahawan yang mengembangkan prinsip kepercayaan kepada keharmonian alam. Beliau menganjurkan pertanian alami kerasaskan kepada pemeliharaan alam yang dikenali sebagai
Kyusei Nature Farming. 'Kyusei' dalam bahasa Jepun merujuk kepada makna mengekalkan kelestarian alam. Banyak lagi ahli-ahli falsafah yang menganjurkan kita kembali kepada pertanian alami sebagaimana yang dianjurkan Okada.
Ribuan tahun sebelum Okada, Islam sendiri mengajar kita bagaimana menjaga keharmonian ekosistem, apabila kita diingatkan supaya sentiasa menjaga agar ekosistem alam ini tidak dirosakkan:
(Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (mak-sud al-Quran 30:41).. Allah telah mengingatkan tentang bencana yang akan ditanggung oleh manusia sendiri akibat perbuatan mereka merosakkan keharmonian alam. Islam juga mengajar supaya manusia tidak memusnahkan alam, contohnya dalam Haji tidak boleh merosakkan bahagian tanaman dengan sengaja, dalam peperangan pokok-pokok tidak boleh ditebang dan dimusnahkan. Malahan al-Quran banyak sekali memaparkan tentang alam, keharmoniannya dan hubungannya dengan kehidupan manusia.
Dalam usaha kita untuk kembali ke alami, kita sedang berdepan dengan ancaman kimia. Kimia adalah proses sintetik ciptaan manusia untuk meningkatkan penghasilan sumber pertanian. Bahan-bahan beracun digunakan secara meluas untuk memusnahkan serangga dan rumpai yang dianggap 'perosak'. Budaya kimia menganjurkan kita 'membunuh' semua perosak ini. Akibat amalan membunuh ini, kita telah cuba 'melawan arus' menentang keseimbangan alam. Kesannya kita menjadi semakin rumit melawan alam. Hari ini kita cipta racun A untuk melawan musuh A, besoknya kita perlu mencipta racun B pula dan seterusnya meningkatkan keupayaan racun-racun sedia ada kerana esoknya serangga dan rumpai kelihatan mulai kebal. Akhirnya yang menerima bencana adalah manusia sendiri. Para petani terdedah kepada bahaya racun yang mereka gunakan. Sumber-sumber makanan sendiri beracun dan kita terdedah kepada bahaya racun yang kita cipta sendiri, yang selama ini kita percaya ia boleh membantu kita.
Racun bukan sekadar membunuh musuh tanaman tetapi turut membunuh
sahabat tanaman (juga sahabat kita), iaitu jutaan makhluk seni yang dicipptakan Tuhan untuk bekerja membantu manusia menghasilkan sumber makanan. Mikrob-mikrob seni ini mati dan pupus akibat penggunaan racun serangga mahupun racun rumpai. Kematian mereka menyebabkan tanah pertanian menjadi gersang dan tidak subur. Akhirnya kita mengeluh kerana tanah tidak subur lagi. Tanah sebenarnya telah mati dan kita yang mematikannya kerana membunuh kehidupan jutaan mikrob di dalamnya. Oleh kerana kita tahu tanah tidak lagi subur, kita pun mencari solusi kimia (lagi) untuk membaja tanaman. Akhirnya kita terus menerus perlu membaja tanaman kerana tanah sendiri sudah tidak mampu melakukannya (walaupun secara alami tanah yang membaja tanaman, bukan kita). Maka dari masa ke semasa kita mengeluh kerana kita perlu mengeluarkan belanja besar untuk baja dan racun, yang semakin hari semakin meningkat harganya. Oleh itu biarpun harga hasil tanaman kita meningkat tetapi peningkatan itu tidak bermakna kerana kos input turut meningkat. Pengguna terpaksa berbelanja besar, manakala petani tidak juga bertambah kaya. Yang pasti pengusaha industri kimia bertambah kaya!
No comments:
Post a Comment