Wednesday, April 21, 2010

Hari Bumi: pelupa benarkah manusia ....


Hari ini adalah Hari Bumi di mana ia disambut di seluruh dunia bagi mengingatkan manusia tentang kewujudan bumi. Apakah kita masih perlu diingatkan untuk tidak lupa kepada bumi? Agak aneh apabila kita perlu diingatkan. Ini menunjukkan wujudnya sifat lupa, maka kita perlu diingatkan.

Sepanjang hayat kita, bumilah tempat kita melangsungkan hidup. Setiap hari kita berpijak di bumi, bergerak di bumi dan memanfaatkan seluruh kehidupan yang wujud di bumi. Manusia yang pelupa sering tidak menyedari bahawa dia adalah makhluk kerdil di bumi ini. Banyak lagi makhluk yang lebih besar dan lebih hebat darinya. Gunug ganang jauh lebih hebat daripada manusia. Malangnya manusia merasakan dirinya besar, hebat dan lebih dalam segala hal daripada makhluk penghuni bumi yang lain. Manusia lupa, secara fizikalnya mereka sangat kerdil dan sangat lemah. Mengambil masa bertahun-tahun unuk berkembang dan matang, sedangkan haiwan mengambil masa yang singkat sahaja untuk menjadi dewasa.

Manusia juga lupa bahawa mereka tinggal di sebuah planet yang sangat kecil yang bernama bumi ini. Di sana terdapat berapa banyak lagi planet yang jauh lebih besar daripada bumi, termasuk bintang-bintang yang kita lihat begitu kecil bergemerlapan di malam hari. Di bumi yang kecil inilah tempat manusia lahir, hidup dan mengembangkan zuriatnya. Kini sudah mencecah enam bilion manusia sedang menghuni bumi ini.

Pada hari Bumi ini orang akan kembali mengenang bumi. Maka adalah kumpulan-kumpulan orang yang insaf dan sedar akan melakukan pelbagai aktiviti sebagai simbolik kepada rasa cinta dan kasih kepada bumi. Orang akan menanam pokok untuk menghijaukan bumi. Mereka ini menyedari tentang keperluan pokok kepada manusia. Selama ini pokok tidak perlu ditanam terutama di kawasan hutan hijau tropika ini, kerana ia tumbuh sendiri dan menghijau bumi. Hutan tropika menyumbangkan kesegaran kepadaao persekitaran dengan menghasilkan gas oksigen untuk dikongsi dengan manusia. Dalam waktu yang sama hutan juga menyedut gas buangan manusia iaitu karbon dioksid. Aktiviti hidup manusia yang semakin moden telah menghasilkan gas karbon dioksid yang terlalu banyak melalui pembakaran jentera baik di kilang, mahupun di jalanraya.

Manusia mula menyedari bahawa mereka sedang berada dalam atmosfera yang tidak sihat terutama di kawasan bandar dan kota-kota besar yang terlalu padat dengan manusia. Di lokasi begini mereka kekurangan gas oksijan, sebaliknya terlalu banyak gas karbon hasil pelepasan pernafasan dan juga pengeluaran dari pembakaran enjin jentera. Di bandar dan kota-kota besar juga mengalami kekurangan pokok-pokok yang boleh membekalkan oksigen. Hal ini terjadi kerana ruang lebih diutamakan untuk gedung batu daripada untuk pokok tumbuh. Hanya akhir-akhir ini apabila ramai orang mulai sedar akan kesan gas karbon, barulah ada usaha menghiasi bandar-bandar dengan tumbuhan hijau. Malangnya penanaman pokok-pokok sukar mengimbangi kepesatan pembangunan dan jumlah manusia yang semakin meningkat. Ibu kota banyak negara besar mempunyai penduduk mencecah puluhan juta orang. Bayangkan kepesatan kota-kota besar seperti Jakarta, Ho Chi Min, Kaherah dan lain-lain.

Aktiviti penebangan hutan akhir-akhir ini memberi kesan kepada masalah yang sedang kita hadapi iaitu pemanasan global. Kesan gas rumah hijau disebut-sebut sebagai puncanya. Apa pun struktur bumi kini kelihatan agak rapuh. Bencana alam seperti gempa bumi sangat kerap terjadi akhir-akhir ini. Dalah tempoh yang dekat beberapa gegaran gempa bumi dilaporkan terjadi di merata dunia mengorbankan jiwa dan kemusnahan harta benda serta kerosakan struktur bumi. Di samping itu ledakan gunung berapi di mana terakhir adalah letusan gunung berapi di Iceland yag menerbangkan debu-debu dan lahar ke udara sehingga menjejaskan aktiviti penerbangan di beberapa buah negara Eropah utara.


Selain hukum takdir, semuanya berlaku disebabkan kerakusan manusia memanipulasi alam dan sumber-sumber alam. Manusia terlalu rakus, tamak, pementing diri sehingga aktiviti mengeksploitasi sumber bumi menyebabkan bala bencana terpaksa ditanggung oleh semua orang.

Di Hari Bumi ini marilah kita menginsafi bahawa kita masih mempunyai tanggungjawab besar untuk melindungi bumi sebagai tempat kita tinggal. Kesedaran kita terhadap kewujudan sinergi antara-makhluk atau apa yang disebut sebagai kepelbagaian bio itu hendaklah diterapkan ke dalam minda generasi muda agar mereka tidak menjadi pemusnah kepada kehidupan makhluk di bumi ini. Mengekalkan kelestarian bumi adalah satu tanggungjawab berat yang perlu dipikul oleh semua orang. Kurangkan bebanan bumi dengan usaha kecil seumpama menjaga kebersihan persekitaran. Uruslah sisa-sisa buangan terutama sisa organik dengan betul dan teratur. Ia akan membantu mengurangkan kesan pencemaran kepada bumi. Kawallah tabiat ambil mudah membuang segala sisa ke sumber air. Rajin-rajinlah berbudi kepada bumi dengan bercucuk tanam, menanam tanaman makanan (edible garden) di pinggir rumah atau dalam pot atau secara hidroponik.

No comments:

Post a Comment