Saturday, April 3, 2010

Impian Kundasang.


Minggu lalu kami ke Kundasang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tentang teknologi EM dan aplikasinya dalam aktiviti pertanian dengan para pekebun sayur di sana. Walaupun hanya sehari semalam tetapi kunjungan ini sangat bermakna dalam usaha kami di IPAL (Institut Pembangunan Alam Lestarialami) mengembangkan konsep pertanian alami di Malaysia.

Walaupun sudah berkali-kali mengunjungi Kundasang, namun kunjungan ke Kundasang tidak pernah menjemukan. Selain dapat menyerapkan semangat Kinabalu yang tersergam megah dan gagah, Kundasang adalah tanah tinggi yang dingin dan nyaman serta menyegarkan tubuh dan minda. Kehijauan persekitaran gunung ganang memberikan kekuatan dalaman serta membangkitkan semangat. Lebih-lebih lagi Kundasang sebagai lokasi pertanian terkenal di Sabah, ia memberikan suntikan semangat yang kuat untuk bekerja dan berusaha mengembangkan konsep pertanian alami, yang kami perjuangkan.

Jalinan hubungan dengan para pekebun sayur di Kundasang membuka laluan baru yang lebih meyakinkan dalam usaha menerapkan pengetahuan dan pengalaman aplikasi tekonologi EM dalam aktiviti pertanian mereka. Kesediaan dan kemahuan mereka sendiri akan menjadikan laluan ini lebih mudah dan selesa. Beralih daripada amalan perkebunan secara konvensional kepada pertanian alami tidaklah semudah menyebutnya. Kesan psikologi akibat kebergantungan yang begitu lama kepada input kimia, tidak mudah diatasi. Para petani sendiri perlu keyakinan diri dan perlu diyakinkan dengan bukti kelebihan organik dan keburukan kimia. Rata-rata mereka menyedari keburukan kimia, namun mereka merasa sulit untuk berubah kerana dibayangi ketakutan dan kebimbangan terhadap penurunan hasil.


Sisa sayuran begitu banyak.

Penerapan organik memerlukan kekuatan minda, iaitu keyakinan tinggi untuk berubah. Selagi tiada keyakinan diri, sulit untuk para petani berubah. Menukarkan satu kebiasaan yang telah dijalani berpuluh tahun bukanlah mudah. Di tahap awal ini membina keyakinan diri di kalangan petani adalah usaha yang perlu ditekankan. Usaha ini tidak sahaja dengan cara bercakap, tetapi proses pembuktian dengan menjalankan amalan organik dan mereka sendiri mula melakukannya. Biar mereka sendiri melihat perkembangan dan menyaksi hasilnya. Mereka juga sentiasa diingatkan bahawa proses peralihan akan mencabar mereka, terutama kesan pada penghasilan. Sekiranya ada kesan penurunan hasil, ia hanya akan berlaku pada beberapa musim penanaman sahaja, kerana waktu itu adalah waktu pemulihan tanah. Memulihkan tanah yang bermasalah akibat penggunaan input kimia begitu lama, memakan sedikit waktu. Rawatan memulihkannya akan melalui beberapa musim penanaman. Sesudah tanah terawat dan pulih, ia akan kembali subur.

Proses organik dengan aplikasi teknologi EM adalah kaedah yang amat sederhana dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ia adalah teknologi bio atau biotek yang bersifat mudah dan murah. Kita perlu faham bahawa menggunakan teknologi EM adalah usaha kita membiakkan koloni mikrob dalam tanah. Mikrob ini akan membiak dan membiak. Semakin banyak mikrob bermanfaat (EM) dalam tanah dan di persekitaran, semakin baik mutu tanah (semakin subur). Semakin banyak mikrob bermanfaat ini semakin kurang ancaman mikrob jahat atau mikrob patogen yang merosakkan. Apabila kehadiran maikrob bermanfaat ini semakin dominan, ia akan membantu tanaman menjadi semakin kuat imunitinya. Dengan itu ia akan bersedia menghadapi penyakit atau serangan serangga perosak. Selain itu EM juga akan digunakan dalam proses pembuatan bahan pencegah serangga. Ancaman serangga akan dihadapi secara biologi.

Melihat kepada banyaknya sisa pertanian iaitu sisa-sisa sayuran yang rosak dibuang begitu sahaja, akhirnya membusuk dan mencemar persekitaran. Hasil sisa yang rosak mungkin sama banyak dengan hasil yang dapat dipasarkan. Sisa ini sangat bermanfaat sekiranya ia diolah kembali menggunakan teknologi EM. Ia akan dapat dimanfaatkan untuk menyuburkan tanah, di samping itu ia tidak lagi menjadi ancaman kepada pencemaran persekitaran. Cabaran kita adalah untuk mendidik petani memanfaatkan apa sahaja sisa aktiviti pertanian mereka, untuk diolah menjadi bahan baja kepada tanah, atau menjadi makanan kepada ternakan.


Sisa kobis yang menggunung perlu dimanfaatkan secara bijaksana.

Kesegaran persekitaran kaki gunung Kinabalu dapat dikekalkan sekiranya para petani di sini bersedia menerima pakai teknologi EM yang sedang diterapkan ini. Tanah pertanian di sini akan pulih dan subur kembali apabila jutaan makhluk seni bernama mikrob semakin membiak. Usaha kita adalah menyediakan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan mikrob bermanfaat atau EM ini di bumi Kundasang. Nanti dengan sendirinya mereka akan bekerja menyuburkan tanah dan dalam waktu yang sama kekuatan jumlah mikrob bermanfaat akan dapat mengalahkan mikrob patogen yang merosakkan. Akhirnya bumi Kundasang akan kembali subur tanpa perlukan input kimia lagi.

No comments:

Post a Comment