Sunday, December 20, 2009

Bumi semakin panas?


Baru-baru ini satu persidangan antarabangsa mengenai perubahan cuaca dunia telah diadakan di Copenhagen, Denmark untuk membincangkan langkah-langkah perlaksanaan persetujuan antarabangsa bagi mengurangkan kesan pemasanan global. Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Cuaca (UNCCC) COP 15 diadakan pada 7 hingga 18 Disember lalu, di mana pemimpin-pemimpin dunia telah menyertainya sebagai satu usaha serius menangani masalah cuaca semasa.

COP 15 adalah lanjutan kepada persetujuan bersama di peringkat antarabngsa untuk menangani masalah cuaca dunia sebagaimana terkandung dalam Piagam Kyoto. Piagam Kyoto atau Kyoto Protocol adalah sebuah perjanjian antarabangsa yang dihubungkan kepada United Nation Framework Convention on Climate Change atau UNFCC. Piagam ini digubal bagi memetrikan sasaran kepada 37 buah negara industri dan Komuniti Eropah bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG). Jumlah yang disasarkan ialah 5 peratus daripada kadar pada tahun 1990 dalam tempoh lima tahun (2008-2012).

Pencapaian besar antara Piagam Kyoto dan UNFCCC ialah Convention menggalakkan negara-negara industri menstabilkan pelepasan gas rumah hijau, manakala Piagam pula mengikat mereka untuk melakukannya.


Piagam Kyoto dizahirkan di Kyoto, Jepun pada 11 Disember 1997 dan memasuki era perlaksanaannya pada 16 Februari 2005. Peraturan khusus perlaksanaan Piagam telah dihasilkan pada persidangan COP 7 di Marrakesh dalam tahun 2002, yang dikenali sebagai Marrakesh Accord.

Usaha negara-negara dunia terutama negara maju dan negara-negara industri untuk mengambli langkah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dipercayai antara faktor yang mempengaruhi pemanasan global, adalah salah satu langkah perlu dan wajib. Pelepesan gas rumah hijau di negara-negara industri menyumbangkan kepada penipisan ozon dan meningkatkan suhu dunia.

Kini kita sedang berdepan dengan perubahan suhu dunia yang tidak menentu. Negara-negara bersalji mengalami perubahan pada corak cuaca, di mana ada kalanya salji begitu tebal dan ekstrim. Banjir juga kini terjadi di mana-mana, termasuk di negara-negara yang dulunya tidak pernah mengalaminya. Kejadian gempa bumi dan ledakan gunung berapi kerap terjadi akhir-akhir ini. Gempa sering terjadi pada skala yang tinggi menyebabkan korban nyawa ribuan malahan ratusan ribu orang sebagaimana peristiwa Tsunami 2004 yang lalu. Kejadian aneh seperti letusan lumpur di Sidoarjo, Indonesia juga satu petaka yang menggerunkan. Gunung-gunung berapi aktif dan meletus. Ketika post ini ditulis, Gunung Mayon di Filipina sedang memuntahkan laharnya. Sementara itu di negara kita sendiri, banjir sudah memasuki gelombang keempat.

Petaka alam terjadi di luar upaya dan kawalan manusia. Ia akan terus terjadi sebagai satu hakikat alam yang bersandarkan hukumnya sendiri. Hanya ALlah Tuhan Maha pencipta yang mengetahui hakikat sebenar di sebalik semua kejadian-kejadian ini. Agama mengingatkan bahawa usia bumi sudah sangat tua. Kita sedang berada di penghujung hayat bumi. Bayangkan usia bumi sudah melebihi 4.5 bilion tahun, satu kiraan yang sulit untuk dicongak-congak oleh kepala. Sebagai orang tua, bumi juga pastilah akan mengalami gejala nyanyok, di mana ia tidak lagi sihat sebagaimana zaman mudanya. Inilah satu fakta yang perlu kita percayai kerana sains sendiri mengesahkan situasi bumi ini. Selain ini fakta semasa membuktikannya.

Fakta ini sepatutnya menyedarkan golongan atheis, golongan materialisme yang tidak percaya kepada Tuhan dan tidak percayakan agama, bahawa kiamat atau detik kehancuran semua kehidupan di bumi dan di jagat raya adalah menghampiri kita. Teori dan fakta sains mengesahkan tentang detik-detik kehancuran itu. Bagaimana kita hendak menolaknya.

Sungguhpun kita yakini kiamat akan terjadi dan kita semakin hari semakin menghampirinya, namun tugas kekhalifahan kita di bumi perlu diteruskan. Ini tidak bermakna kita terus pasrah dan berdiam diri, tidak mahu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan bumi ini. Bumi ini perlu terus diselamatkan, dan kitalah penyelamatnya. Kita sedang menanggung dosa manusia silam dan manusia lain yang telah merosakkan bumi dengan pelbagai cara dan pelbagai alasan. Petaka alam yang kita alami adalah sebahagian daripada hukuman (yang sepatutnya menjadi pelajaran) yang terpaksa kita tanggung akibat perbuatan tangan manusia sendiri, sebagaimana peringatan Allah SWT:

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (maksud al-Quran 30:41).


Lautan dan daratan dirosakkan manusia ...

Hukuman ini adalah satu pelejaran atau pengajaran, yang sepatutnya menyedarkan manusia tentang ketelanjuran yang telah dilakukannya ke atas kehidupan bumi. Manusia sejak dulu hingga sekarang masih terus menerus merosakkan bumi secara sedar mahupun secara tidak sedar.

Tanpa sedar kita merosakkan ekosistem bumi melalui aktiviti-aktiviti kehidupan seharian kita. Kesan kemajuan hidup menghasilkan pelbagai ciptaan tekonologi khususnya peralatan berenjin. Penggunaan kuasa enjin dan tenaga elektrik serta elektronik adalah suatu anugerah kemudahan dalam aktiviti kehidupan; tetapi ia meninggalkan kesan buruk kepada ekosistem alam. Kita menggunakan peralatan elektrik di rumah seperti peti sejuk, pembakar gelombang mikro, pendingin udara, manakala peralatan elektronik pula seperti komputer dan gajet-gajet lain. Perkakasan elektrik menghasilkan CFC, manakala peralatan elektronik pula menghasilkan kabus elektromagnetik, yang memberi kesan tidak sihat kepada kita. Di luar rumah kita menggunakan kenderaan peribadi seperti motosikal dan kereta. Di kilang pula terdapat lebih banyak jentera yang menggunakan sumber bahan bakar. Semuanya menyumbangkan gas karbon ke udara mencemari atmosfera.

Dalam waktu yang sama kita menebang hutan hijau untuk sumber balak dan pembukaan tanah baru, di samping itu kebakaran yang sengaja dan tidak sengaja turut memusnahkan hutan hijau. Hutan Amazon yang menjadi paru-paru dunia semakin kurang. Hutan tropika di negara kita juga dieksploitasi untuk sumber balak dan pembukaan tanah pertanian dan penempatan. Bukit bukau di sekitar bandar digondol dan dipotong untuk pembangunan bandar baru. Semakin luas kawasan penempatan maka semakin luas pula kawasan hijau yang dikorbankan. Semakin berkurangnya hutan hijau semakin kurang daya serap gas karbon di atmosfera, sedangkan semakin hari semakin banyak gas tesebut dilepaskan ke udara. Bayangkan apabila kadar keupayaan hutan hijau menyerap gas karbon semakin menurun, sedangkan pelepasannya ke atmosfera semakin meningkat, apa akan terjadi kepada dunia. Dunia akan dipenuhi gas beracun!

No comments:

Post a Comment