Saturday, June 16, 2012

Jerebu datang lagi.

Ketika post ini sedang ditulis, hujan sederhana sedang turun, namun ia turun sekejap sahaja. AlhamdulilLah, itulah kalimah yang mampu dilafazkan. Dalam keadaan cuaca kita yang sedang berjerebu agak teruk sejak beberapa hari lalu, hujan yang turun akan menjadi rahmat besar, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan buruk jerubu.

Seperti dijangka, apabila negara kita mengalami cuaca berjerebu yang teruk, maka antara penyumbang jerubu tersebut adalah kebakaran besar di negara jiran, Indonesia. Hal ini berlaku boleh dikatakan setiap tahun. Apabila terjadi kebakaran di Sumatera, maka kesan jerebu akan sampai ke tanahair kita.

Berdasarkan laporan akhbar semalam, Bernama melaporkan, berdasarkan laporan imej satelit NOAA-18 dikeluarkan Asean Specialised Metrological Centre, menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lalu.

Imej satelit itu juga menunjukkan asap jerebu  dibawa angin dari kawasan titik panas wilayah Riau menghala ke pantai barat Semenanjung. Menurut kenyataan itu, bacaan indek Pencemar udara (IPU) dari 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11 pagi Jumaat lalu, menunjukkan tiga stesen, Kuala Selangor (IPU 131), Pelabuhan Kelang (IPU 130) dan Shah Alam (IPU 106).

Beginilah nasib kita, terpaksa menghidu udara tercemar dengan asap pembakaran, yang berlaku di negara jiran. Sudah beberapa kali isu ini dibangkitkan, namun nampaknya setiap tahun hal yang sama berulang juga seolah-olah tiada langsung usaha pencegahan diambil oleh negara berkenaan.

Biarpun kita mempunyai sempadan darat dan perairan, namun kita berkongsi ruang udara. Tiada sempadan udara kerana ia sentiasa bergerak ke mana sahaja tanpa mengenal sempadan negara atau sempadan negeri. Oleh itu dengan mudahnya pencemaran berpindah dari sebuah negara ke negara jiran membawa impak yang tidak sihat. Inilah suatu hal yang sulit untuk kita kawal.

Monday, June 11, 2012

Jerebu kuning di China

Di Malaysia jerebu akan muncul ketika terjadinya kebakaran besar baik di dalam mahupun di luar negara. Kebakaran besar sebagaimana sering terjadi di negara jiran Indonesia (khususnya kepulauan Sumatera) akan menyebabkan kita di Malaysia mengalami jerebu tebal shingga mengurangkan jarak penglihatan. Dan jerebu ini tentunya memberikan kesan negatif kepada aktiviti kehidupan terutama masalah kesihatan.


.

Terbaru di China dilaporkan kejadian jerebu yang belum pernah terjadi, iaitu jerebu kuning. Biasanya jerebu berwarna kelabu iaitu warna asap. Mennurut agensi berita rasmi Xinhua, kejadian jerebu mistri itu menimbulkan tandatanya dan kehairanan di kalangan penduduk bandaraya Wuhan yang berjumlah sembilan juta orang.

Menurut agensi berita tersebut, jabatan perlindungan alam sekitar wilayah Hubei menasihati penduduk supaya mengambil langkah keselamatan dengan memakai topeng menutup muka. Jabatan itu menasihat anak-anak dan orang tua yang mengalami masalah jantung dan paru-paru supaya tidak keluar rumah. Menurut Xinhua, kejadian tersebut disebabkan pembakaran jerami di sekitar Wuhan. Ia juga menafikan khabar angin yang mengatakan pencemaran kerebut itu disebabkan oleh letupan komplek kimia di timur laut bandaraya tersebut.

Thursday, December 29, 2011

Bumi semakin tua.


Sehari lagi berakhirlah tahun 2011, dan menjelang pula tahun baru 2012. Dengan itu bertambahlah usia kita. Kita menjadi semakin tua, dan hidup kita semakin pendek. Demikian juga dengan hayat bumi ini. Semakin hari bumi juga semakin menua (menjadi tua).

Allah SWT menciptakan kita dan bumi serta seluruh alam makhluk ini melalui hukum atau sunnah-Nya. Semuanya dicipta dalam bentuk kesementaraan. Kita datang dan kita akan pergi, bumi ini diciptakan daripada tiada kepada ada, kemudiannya akan hancur dan sirna. Peristiwa kiamat adalah waktu bumi dan alamraya ini hancur dan musnah mengikut hukum atau sunnah Allah SWT.


Sebahagian orang begitu gentar menghadapi munculnya tahun 2012 kerana terpengaruh dengan kepercayaan yang diciptakan oleh filem-filem Barat tentang kejadian kiamat, yang mengikut kepercayaan suku kaum kuno, akan terjadi pada tahun 2012. Itu hanyalah ramalan yang dibuat berasaskan kalendar kaum Mayan.

Sebenarnya tiada siapa dapat meramalkan bila terjadinya kiamat. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui tentang waktu itu. Oleh itu segala kebimbangan dan ketakutan kepada 2012 adalah tidak berasas sama sekali. Sungguhpun begitu kebimbangan kepada peristiwa kiamat adalah suatu yang wajar kerana manusia yakin kepada peristiwa kiamat. Keyakinan itu adalah suatu yang alami, terutama kepada orang yang insaf dan sedar bahawa bumi dan kehidupannya adalah wjud yang sementara sahaja, bukanlah wujud yang kekal abadi.

Secara saintifik, semua orang terpaksa akur dan mengakui bahawa bumi dan kehidupan di atasnya telahpun melalui proses kehidupan yang panjang. Usianya semakin tua. Ciri-ciri ini dibuktikan dengan pelbagai kejadian bencana alam yang menunjukkan bahawa bumi sudah memasuki fasa tua. Sbagaimana orang tua, tingkahlakunya sudah tidak indah lagi, ia mulai nyanyuk atau mamai. Kejadian-kejadian mutakhir seperti kepanasan global, bencana alam yang tidak terduga dan tidak dapat diramal, perubahan cuaca yang semakin mengelirukan; semuanya menjadi bukti betapa bumi sangat tua.


Terakhir kita menghadapi ribut tropika Washi di mana lebih 1 200 orang maut di selatan Fipina. Sementara itu puluhan ribu orang menjadi mangsa ribut ganas itu. Itulah antara bencana alam terakhiry ang berlaku dekat dengan kita. Ribut Washi meninggalkan kerosakan yang sangat besar ke atas struktur bumi dan juga ke atas kehidupan manusia.

Sebagaimana sebelumnya terjadi tsunami besar di Jepun, semua bencana ini tidak dapat dihalang oleh manusia dan kemajuan teknologinya. Jepun adalah antara negara maju yang begitu fragile. Ia terdedah kepada pelbagai bencana bumi termasuklah gempa bumi dan tsunami. Kejadian terakhir yang berlaku awal tahun ini menjadikan lokasi kejadian padang jarak pada tekukur. Semuanya hancur dan musnah sekelip mata. Kerugian tidak dapat dinilaikan. Mereka pula sedang menghadapi bahaya kesan radioaktif daripada kilang nuklear yang rosak akibat tsunami tersebut. Kesan bencana muklear ini menjadikan ia bahaya berganda kepada orang Jepun.


mangsa Washi di Filipina.

Friday, November 4, 2011

Cinta alam dalam Haji


Setelah memakai pakaian ihram yang ringkas dan serba putih, para jemaah Haji sedang memasuki fasa penting ketika melakukan ibadah Haji di Mekah. Sepanjang berihram mereka antara lain dilarang daripada memburu dan membunuh binatang dan juga merosak atau memusnahkan tumbuh-tumbuhan di sana.

Apakah maknanya larangan ini yang merupakan bahagian daripada manasik Haji, yang disyariatkan sejak ribuan tahun dahulu? Kepada kita yang menyayangi alam, mudahlah kita memahami betapa Allah SWT memasukkan elemen alam sekitar dalam ibadah penting seperti haji ini.

Larangan ini membawa para jamaah haji mendekati fitrah, kerana alam adalah satu wujud yang serasi dengan fitrah manusia. Tumbuhan dan binatang adalah antara makhluk yang wujudnya begitu sinonim dengan kewujudan manusia. Alam fauna dan flora ini menyumbangkan sumber makanan kepada amanusia sejak dulu lagi, dan akan terus menjadi sumber makanan. Bukan sahaja sumber makananan, tetapi juga ia merupakan sumber pakaian dan tempat tinggal ini. Di setengah tempat, binatang masih lagi dimanfaatkan sebagai alat pengangkutan.

Oleh kerana pentingnya peranan mereka, flora dean fauna ini, maka Allah SWT mengingatkan kita supaya kita benar-benar menghargai kehadiran meeka. Janganlah membunuh binatang tanpa alasan munasabah, melainkan atas sebab-sebab keperluan makanan. Begitu juga dengan tumbuhan. Ia tidak boleh dimusnahkan tanpa sebab-sebab yang membolehkannya.

Wednesday, November 2, 2011

Banjir di Thailand


Sejak Julai lalu Thailand dilanda banjir besar. Banjir kali ini disebut-sebut sebagai banjir terburuk sejak 50 tahun lalu. Lebih kurang 400 orang telah terkorban akibat banjir kali ini. Bangkok kini turut digenangi air banjir menjadikan ibu kota itu begitu murung. Pelbagai aktiviti kehidupan termasuk perniagaan terjejas. Pergerakan penduduk terhalang dan pelancong pun turut menghindari kota hiburan itu.

Kerugian yang terpaksa ditanggung kerjaan Thailand dan rakyatnya amatlah besar. Kesan kerosakan harta benda, infrastruktur dan produktiviti amat ketara. Ia satu kerugian akibat petaka yang tidak mungkin terelakkan. Apabila air bah, kata orang, semuanya akan berubah.


Banjir yang melanda negara jiran kali ini mengambil masa yang agak lama. Waktu ini ia belum menunjukkan tanda-tanda ia akan surut. Keadaan hujan di negara kita juga sudah menunjukkan tanda-tanda banjir mungkin melanda setengah-setengah negeri. Kerajaan kita sudahpun bersedia sekiranya banjir menjengah kita.

Beginilah nasib alam. Akhir-akhir ini alam sudah tidak ceria lagi. Pelbagai petaka alam terjadi di berbagai negara. Baru-baru ini gempa bumi sudah beberapa kali berlaku di pelbagai lokasi. Pasrahlah kita, kerana kita tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya Allah jua yang berkuasa.

Saturday, September 10, 2011

Aceh dilanda gempa.


Enam September lalu terjadi gempa bumi berskala 6.7SR di Aceh. Gegaran kuat gempa tersebut menyebabkan daerah Singkil dan Kota Subulussam mengalami kerosakan yang teruk. Dua nyawa dilaporkan menjadi mangsa gempa ini. Sebanyak 160 buah kedai dan bangunan terbakar kesan daripada gempa tersebut. Kejadian itu berlaku hampir jam 1 pagi yang menyebabkan kesan gegarannya dirasakan sampai ke Medan, ibu kota Sumatera Utara.

Kita mendoakan saudara-saudara Muslimin di lokasi gempa kuatkan iman, bersabar dan ikhlas menerima dugaan bulan Syawal ini. Semoga Allah SWT menggantikan petaka ini dengan sesuatu yang lebih baik sesudahnya. Inna LilLahi wa inna Ialaihi rajiuun.

Sunday, August 14, 2011

Sampah, terus bermasalah?


Kosmo Sabtu melaporkan di muka depannya, “berkuatkuasa 1 September depan, orang ramai perlu mengasingkan sampah sebelum membuangnya ke dalam tong sampah di hadapan rumah masing-masing untuk mengelakkan didenda RM 1000,”

Lapornya lagi, “Langkah itu perlu dibuat berikutan Akta Pengurusan Sisa pepejal dan Pembersihan Awam Negara 2007(Akta 672) akan dikuatkuasakan pada tarikh tersebut yang mewajibkan orang ramai mengasingkan sampah seperti gotol, plastik, kertas dan sisa makanan.”

Secara optimis kita menerima peraturan ini sebagai satu langkah maju menangani masalah sampah yang selama ini menjadi masalah kepada semua pihak. Kita sudah terlalu lama dibebani masalah sampah yang tidak pernah nampak penyelesaiannya.
Masalah sampah bukan masalah Kerajaan sahaja, tetapi ia adalah masalah kita semua. Biar berapa bagus pun pengurusan sampah, kita akan menghadapi masalah demi masalah selagi setiap warga Malaysia tidak mahu berfikir serius menghadapinya. Masalah sampah bermula dari rumah, bermula dari diri setiap orang kita, rakyat Malaysia. Maka dari sinilah permasalahan sampah harus diberi fokus.

Sikap kita terhadap sampah masih sangat negatif. Sebahagian rakyat kita masih mempunyai tabiat buruk tentang sampah. Mereka tidak suka sampah (pastilah semua orang tidak suka sampah). Ini satu tabiat biasa tetapi ia tidaklah begitu baik sebetulnya. Apakah kita patut suka pada sampah? Mungkin orang akan menganggap kita ‘gila’ kalau kita suka pada sampah. Namun begitu persepsi tentang sampah pada kebanyakan kita perlu dianalisa semula.


Mari kita lihat bagaimana sampah lahir. Di dalam kenderaan di jalanraya, botol plastik atau kotak minuman dibaling keluar oleh anak-anak atau orang dewasa sendiri. Jadilah ia sampah yang mengotori jalanraya, lebuhraya kita, menyakitkan mata dan menyakitkan hati kita. Barangan tersebut sekiranya disimpan sementara dalam kereta sehingga sampai di rumah, lantas dikumpulkan dalam bekas khas, kemudian dibawa ke kedai barangan lusuh, ia tentulah mempunyai imej yang lebih baik, iaitu barangan kitar semula yang memberikan kita sedikit wang. Begitu juga dengan kertas surat khabar. Sekiranya diserakkan dan dibuang merata tempat, ia menjadi sampah. Namun barang yang sama sekiranya dikumpul, diikat dan dijual kepada kedai barangan lusuh, ia menjadi produk kitar semula yang memberikan wang.

Hari ini sampah menjadi sumber rezeki apabila ia dapat dikitar semula menjadi barangan bermanfaat. Kertas, plastik, besi buruk boleh dijual pada harga tertentu. Orang yang berusaha mengumpul dan menjual memperolehi sedikit wang, peniaga juga memperolehi pendapatan, manakala pengusaha memperolehi bekalan bahan mentah untuk menghasilkan produk baru hasil kitar semula. Semua pihak dalam rantaian ini memperolehi keuntungan kewangan. Dalam waktu yang sama produk-produk ini tidak lagi menjadi sampah yang memerlukan kawasan buanngan atau landfill yang luas untuk dilupuskan.

Untuk meningkatkan aktiviti kitar semula memerlukan sedikit kesungguhan, komitmen dan juga usaha. Inilah permulaan untuk menentukan usaha kitar semula yang berjaya. Setiap orang rakyat mesti ada kesedaran, kesungguhan dan usaha untuk menggerakkan aktiviti kitar semula. Kesedaran sepatutnya dipandu oleh rasa insaf tentang malah sampah, tentang tanggungjawab menjaga kebersihan dan keinginan untuk hidup bersih dan sihat. Kesedaran ini perlu lahir dari dalam lubuk hati, sebagaimana orang Islam berpegang kepada prinsip ‘kebersihan adalah sebahagian daripada cabang iman’.


Landfill di Bukit Tagar

Rumah adalah pengeluar sampah atau sisa pepejal yang utama. Banyak produk pengguna diisi dalam bekas plastik, kotak, kertas dan juga kaca. Ia berpotensi menjadi sampah apabila kita membuangnya sebagai sampah. Sebaliknya jika ia diasingkan dan dikumpul untuk kitar semula, ia akan bertukar menjadi barangan yang ada harganya. Oleh itu dari rumah, barangan yang boleh menjadi sampah dapat diselamatkan daripada menjadi sampah. Inilah pentingnya sikap dan persepsi kita. Tidaklah sulit untuk menjual barangan ini kerana boleh dikatakan setiap hari ada pembeli barangan lusuh yang mengunjungi kediaman dan taman perumahan kita, terutama di bandar-bandar. Surat khabar lama, plastik, buku lama, bateri lama, tin dan sebagainya berpotensi menjadi wang, sekiranya dijual kepada peraih barangan lusuh ini. Dengan itu bermula satu episod, tiada lagi sampah pepejal dari rumah kita. Seandainya semua rumah di negara kita melakukan hal sederhana ini, selesailah sebahagian beban memungut dan melupus sampah jenis ini.

Industri banyak menghasilkan sisa pepajal sebagai bahan buangannya. Namun mereka memanfaatkan kitar semula kerana mereka nampak betapa sisa dari industri mereka boleh menjana pendapatan. Sebab itu sisa pepejal dari industry biasanya tidak menjadi sampah.