Thursday, February 25, 2010

Tragedi ketika membakar jerami


Suatu kebetulan atau suatu yang berbetulan telah terjadi. Beberapa hari setelah saya menulis tentang amalan membakar jerami di Kedah, tersiar pula berita di beberapa buah akhbar tentang tragedi sedih yang menimpa seorang petani, almarhum pak Salleh yang mati setelah terperangkap dalam api ketika beliau membakar jerami di sawahnya. Kebetulan pula beliau adalah penduduk sekampung dan jiran kepada kakak saya di Guar Cempedak, di mana saya akan melewati rumahnya (almarhum) setiap kali saya ke rumah kakak saya.

Ketika saya berada di kampung mangsa, saya dimaklumkan beliau baru semalamm meninggal, dan saya mendengar kisah-kisah sedih bagaimana beliau terbakar dan meninggal akibat kebakaran tersebut beberapa hari kemudian. Kebetulan beliau turut berada dalam majlis kenduri kahwin cucu saudara saya, di mana saya sendiri turut berada di sana. Sebelah petang, selesai kenduri tersebut, pak Salleh ke sawahnya di Jalan Yan untuk membakar jerami, di mana di sana beliau ditimpa musibah tersebut.

Kisah malang yang menimpa pak Salleh bukan kejadian pertama. Sebelum ini pernah terjadi beberapa kemalangan serupa yang berakhir dengan kematian. Tragedi sebegini tentulah satu suratan yang sangat memilukan.

Dari sisi lain, tragedi begini perlu menginsafkan kita semua. Kemalangan begini pastilah dapat dielakkan sekiranya kita tidak membakar jerami di sawah. Itulah solusi terbaik. Walaupu kemalangan sebegini adalah suatu kes terpencil, namun amalan membakar jerami adalah suatu yang tidak patut dilakukan. Membakar jerami adalah amalan pertanian kuno yang tidak lagi relevan di zaman ini. Walau atas alasan apapun, jerami tidak patut dibakar kerana ia adalah sumber bahan berguna untuk proses biologi pertanian. Ia berguna sebagai makanan ternakan di samping dapat dimanfaatkan untuk dijadikan bahan baja organik. Membakar jerami adalah memusnahkan sumber yang bernilai. Di samping itu amalan membakar membahayakan dan mencemarkan alam. Bayangkan berapa besar pelepasan gas karbon ketika sawah yang beribu ekar dibakar jeraminya?


Tragedi ini diharapkan benar-benar menginsafkan kita semua. Pihak Kerajaan patut mengenakan peraturan lebih ketat nmengawal amalan ini. Sekiranya masih ramai berpendapat bahawa amalan ini adalah amalan pertanian berkesan, kita mempunyai hujah konkrit untuk menentangnya. Di samping itu kita mempunyai pilihan lain yag lebih efektif untuk menanggani masalah penanaman padi, iaitu dengan solusi pertanian alami!

No comments:

Post a Comment