Saturday, February 13, 2010

Sayang apabila jerami dibakar .....


Akhir-akhir ini banyak masa dihabiskan di negeri Kedah, negeri jelapang padi. Ketika berjalan-jalan atau ketika dalam perjalanan ke destinasi tertentu, kelihatan sawah padi waktu ini telah dituai hasilnya. Sawah padi dipenuhi tunggul-tunggul rumpun padi yang sedang mengering. Waktu ini adalah musim kemarau di Kedah. Di lokasi-lokasi lain sawah padi sedang menghijau, menandakan padi-padi sedang tumbuh membesar. Kehijauan ssujana mata memandang, umpama hamparan permadani hijau, memancarkan keindahan jelapang padi di Kedah.

Ketika melintasi daerah Yan, tunggul-tunggul perdu padi sedang terbakar, dibakar oleh para petani. Menurut maklumat orang di sana, aktiviti membakar tunggul-tunggul perdu padi adalah untuk memusnahkan sisa-sisa penyakit atau serangga yang menjadi musuh padi, di samping bertujuan menyuburkan tanah. Menurut sumber maklumat, para petani ini dikecualikan daripada peruntukan akta alam sekitar yang melarang pembakaran terbuka, atas alasan-alasan mereka di atas. Sejauh mana kebenaran sumber maklumat ini tidaklah dapat dipastikan.


Aktiviti membakar adalah aktiviti yang umumnya diamalkan oleh rata-rata petani di Kedah sejak zaman dulu lagi. Menurut laporan akhbar, pernah terjadi kemalangan di lebuhraya utara-selatan di kawasan sawah padi ketika petani melakukan pembakaran terbuka. Asap dari pembakaran menggelapkan pamandangan pengguna jalanraya sehingga menyebabkan kemalangan. Isu ini pernah dibangkitkan dengan syor supaya aktiviti pembakaran terbuka ini dihapuskan. Namun begitu ia masih terus dilakukan petani ketika musim lepas menuai ini.

Dari sudut pandangan ALam Lestari, aktiviti membakar sisa-sisa jerami dan tunggul-tunggul pokok padi ini adalah aktiviti yang tidak sihat dan tidak alami. Pembakaran besar-besaran mencemarkan udara di samping memusnahkan sumber sisa jerami yang berfaedah. Walaupun ia dianggap satu amalam pertanian yang diwarisi zaman berzaman, ia adalah satu amalan yang tidaklah lagi praktikal dan ia sudah ketinggalan zaman.

Jerami adalah sisa-sisa organik yang bermanfaat dan dapat digunakan untuk pelbagai tujuan. Ia adalah sumber makanan ternakan yang berkualiti, di samping itu ia juga boleh dijadikan baja organik yang bermutu. Oleh kerana rata-rata petani padi bukanlah petani yang mengamalkan pertanian bersepadu di mana aktiviti peternakan dilakukan bersama aktiviti pertanian, maka mereka tidak dapat melihat prospek penggunaan jerami padi atau sisa pertanian mereka yang lain.

Jerami padi adalah antara sisa pertanian yang bermutu. Ia sangat bagus untuk dijadikan makanan ternakan. Melalui sedikit usaha pemerosesan, jerami padi akan dapat ditingkatkan kualitinya menjadi sumber makanan yang murah dan berkualiti. Sekiranya ia difermentasi menggunakan teknologi bio, ia akan menjadi makanan yang kaya dengan probiotik kepada ternakan. Binatang sangat menyukai jerami yang sudah difermentasi ini, kerana ia sangat baik kepada sistem penghadamannya. Selain itu, jerami juga dapat diproses menjadi baja organik. Dengan dicampur sisa najis binatang ternak, ia diproses menjadi baja organik yang bermutu. Baja ini dapat digunakan semula untuk menyuburkan hasil pertanian, tanpa perlu membeli baja terutama baja kimia. Ini satu cara para petani dapat berjimat di samping mendapat sumber baja yang murah atau mungkin percuma.


Sudah tiba masanya petani padi mengubah persepsi terhadap aktiviti pembakaran sisa pertanian selepas tuai. Sisa pertanian jangan dibakar atau dimusnahkan. Sebaliknya ia hendaklah dikumpul dan dijadikan stok untk pelbagai tujuan yang disebutkan di atas. Jerami boleh disimpan dan ia dapat dimanfaatkan ketika musim lain (selepas musim menuai).

Petani harus dididik dengan konsep pertanian alami, iaitu memanfaatkan keseluruhan sumber alam yang ada termasuk sisa-sisa pertanian yang selama ini dianggap sisa buangan. Sisa buangan daripada padi termasuk jerami, sekam dan dedak adalah sisa-sisa organik yang sangat bermutu dan berkhasiat. Ia hanya memerlukan sedikit usaha pemerosesan menggunakan kaedah biotek untuk menukarkannya menjadi produk berkualiti seperti makanan ternakan dan lain-lain hasil. Hari ini teknologi EM sudah dapat menukarkan sisa-sisa buangan ini menjadi produk berkualiti untuk ternakan.

No comments:

Post a Comment