Thursday, February 4, 2010

Syabas, Go Green


Sejak kembali dari lawatan ke Vietnam, 20 Januari lalu, saya agak sibuk keluar daerah, ke utara tanahair untuk memulakan aktivi latihan di ATC di Kedah. Kesibukan ini menyebabkan blog ini agak ketinggalan.

Ketika membuka laman web EMRO atau EM Research Organization, saya terlihat berita aktiviti EM di Malaysia yang dilaporkan di laman tersebut. Laporan itu tentang aktiviti sekumpulan pencinta alam yang menamakan kumpulan mereka Go Green telah mengunjungi Zoo Negara untuk menjalankan aktiviti membersihkan tasik di sana. Kumpulan ini ditaja oleh Scope International Malaysia, sebuah anak syarikat kumpulan Standard Charted Bank.

Mereka memulakan projek jangka panjang dengan membuat bola selut mengandungi EM atau mudball. Sasaran mereka ialah membuat 10 000 biji bola selut yang akan digunakan untuk membersihkan tasik di Zoo Negara.


Aktiviti menyelamatkan alam begini kurang mendapat tempat di media massa kita. Ia mungkin bukan berita penting sebagaimana berita politik, jenayah dan gosip tentang kehidupan artis. Sebab itu kita kurang mengetahui perkembangan aktiviti sebegini. Selain itu mungkin juga aktivis-aktivis seperti Go Green ini tidaklah begitu mengharapkan publisiti besaran untuk aktiviti mereka.

Bagi Alam Lestari, aktiviti begini walau sekecil manapun adalah satu aktiviti khidmat sosial yang sangat besar maknanya dalam usaha kita menyelamatkan alam yang semakin hari semakin parah ini. Usaha ini pula mengaplikasikan sepenuhnya teknologi EM yang didapati sangat berkesan untuk mengatasi masalah pencemaran alam. Penggunaan mudball adalah usaha baru yang masih belum popular di negara kita, namun ia sudah mula mendapat sambutan daripada para pencinta alam.

Wujudnya kumpulan aktivis yng sedar tentang pentingnya alam yang lestari adalah satu petanda bahawa masih ramai rakyat kita yang sedar tentang tanggungjawab masing-masing untuk terus memelihara alam kurniaan Tuhan ini. Selain itu aktiviti yang dijalankan di Zoo Negara adalah satu projek yang sangat signifikan dengan kelestarian alam kerana di sanalah habitat mergastua yang diselamatkan, dipelihara, dilindungi dan dikembangbiakkan demi mendekatkan manusia, hati nurani manusia kepada haiwan, iaitu makhluk Tuhan yang selama ini turut berkongsi bumi dengan manusia. Selain itu haiwan-haiwan ini sangat besar sumbangannya dalam jaringan kepelbagaian bio yang memberikan erti besar kepada kehidupan manusia.



Terima kasih kepada Go Green kerana gambar-gambar yang dikongsikan di sini.

No comments:

Post a Comment