Friday, March 12, 2010

Memesrakan diri dengan bumi.


Walaupun setiap hari kita bergerak di muka bumi namun berapa detik kita sedar bahawa kita sedang berpijak di bumi? Atau berapa detik kita memberikan masa untuk berfikir dan insaf terhadap bumi ini, terhadap nasib bumi dan masa depannya? Pastilah ramai orang yang mungkin rasa pelik mengapa soalan-soalan ini dilontarkan!

Kita selama ini mengambil mudah kepada semua yang dipersoalkan itu kerana kita merasakan kewujudan bumi ini adalah satu hak kepada kita. Kita merasakan bumi ini adalah hak kita, maka kita boleh sahaja melakukan apa sahaja kepadanya. Secara negatifnya kita berasa tiada siapa boleh menghalang apa yang kita mahu lakukan di bumi ini kerana ia adalah 'hak' setiap orang.

Maka sejak dahulu lagi orang melakukan apa sahaja untuk untuk mengambil segala manfaat yang dikandung bumi. Kita sanggup menjajah, berperang dan berbunuhan sesama manusia hanya untuk berebut kekayaan bumi daripada logam-logam berharga seperti bijih timah, besi, arang batu, emas dan kini emas hitam atau minyak, uranium dan segala kekayaan khazanah bumi. Kita menjadi sangat tamak dalam mengeksploitasi sumber-sumber bumi. Permukaan bumi dimusnahkan hanya kerana tamakkan hasil balak, hasil hutan sehingga akhirnya sebahagian hutan hijau berusia jutaan tahun lenyap daripada peta bumi.


Sikap ego dan mementingkan diri menjadikan sebahagian besar daripada kita lupa kepada hakikat-hakikat penting tentang kewujudan diri kita dan juga kewujudan bumi. Bumi disebut sebagai ibu (mother earth) kerana dari sinilah kita lahir, membesar dan akhirnya kembali kepadanya. Satu hakikat yang tidak dapat diremehkan oleh sesiapa pun. Malangnya orang tidak melayani dan menyantuni bumi sebagai 'ibu' yang sewajarnya dmuliakan.

Bumi bukan hak kita, tetapi satu amanah, satu anugerah yang dipinjamkan kepada kita untuk kita makmurkannya. Kita dibenarkan memanfaati segala kekayaan sumbernya untuk manfaat kehidupan, kerana itulah sebenarnya matlamat penciptaan bumi ini. Manusia sebagai pemegang amanah dan penjaga kepada bumi ini adalah bertanggungjawab sebagai khalifah kepada Tuhan, kepada sesama manusia dan semua makhluk di bumi ini. Bumi adalah anugerah yang perlu dikongsi bukan untuk dimonopoli. Segala sumber bumi yang ada adalah hak semua orang dari semua zaman. Oleh itu dalam mengambil manfaat daripada sumber-sumber bumi kita tidak boleh lupa kepada hak generasi akan datang sesudah kita.

Akhir-akhir ini apabila bumi sudah tidak lagi stabil dengan kewujudan pelbagai kejadian petaka alam seumpama gempa bumi, tanah runtuh, banjir, ribut taufan, tsunami, pemanasan global; maka marilah kita menyedari bahawa itu semua adalah satu proses alami. Bumi juga sama seperti kita, adalah makhluk yang diciptakan. Ia tertakluk kepada hukum alam atau sunnah di mana ia melalui proses perkembangannya, dari awal menuju akhirnya, melalui saat-saat penuaan dan akhirnya akan mati juga.
Kita kini sedang berada di saat-saat bumi sedang menua. Dari sudut manapun bumi ini dilihat, ia sedang melalui saat-saat penuaan dan mula melemah. Kita pula sebagai penghuni utama bumi ini sudah terlalu jauh merosakkannya, menambahkan beban derita bumi sedia ada.

Dari sudut takdirnya, proses ini adalah satu aturan sunnah Allah. Kita berada di hujung zaman, di hujung usia bumi sebelum datangnya waktu segalanya musnah kerana Allah mahukan kita menempuh satu kehidupan baru yang yang abadi sesudahnya. Kiamat yang kini kerap diperkatakan adalah satu proses untuk membawa kita kepada kehidupan akhirat yang lebih sempurna.


Walau apapun, selagi kita masih diberi nafas untuk meneruskan kehidupan di bumi, maka kita masih bertanggungjawab memakmurkan bumi ini. Satu sumbangan yang sangat berharga dari kita kepada bumi ialah menghargainya, memuliakannya (bukan memujanya seperti amalan Animisme), dan memakmurkannya. Dalam waktu yang sama hindari apa jua perbuatan, aktiviti atau tingkahlaku yang boleh menghinanya, merosakkannya atau mencemarinya.

Biasakan diri untuk sekali sekala bersama bumi. Bertani secara amat sederhana dengan bercucuk tanam adalah satu aktiviti mendekati bumi, yang sangat baik untuk minda kita. Aktiviti tersebut akan membawa kita turun ke bumi, menyentuh bumi dan merasakan keakraban hubungan jiwa dengan bumi. Kata orang, berbudi kepada bumi tidak rugi kerana bumi akan memberikan hasil dalam bentuk makanan.

Ketika kita menyentuh bumi, saat itulah kita merasai betapa secara alaminya kita adalah sebahagian daripadanya. Rasailah emosi positif yang menjadikan minda kita segar, emosi kita segar dan akhirnya tubuh fizikal kita juga segar bugar. Kehijauan flora akan memberikan kesan terapi kepada diri kita. Bermain dengan tanah menjadikan kita dekat dengan hakikat diri kita sendiri. Secara psikologinya, kita sedang merawat emosi kita sendiri. Di saat itu kita sedar bahawa setinggi mana darjat kita, kita akhirnya akan kembali ke bumi dan menjadi tanah yang sedang kita gengggam ini. Ketika itu leburlah emosi negatif seperti kesombongan diri, keegoan diri, bongkak dan lain-lain emosi mazmumah.

No comments:

Post a Comment