Saturday, March 13, 2010

Air: makhluk mulia yang dihinakan manusia.


22hb Mac telah diisytiharkan sebagai Hari Air Sedunia oleh Pertubuhan Bngsa-bangsa Bersatu. Hari tersebut akan menjelang beberapa hari lagi. Apakah signifikannya kepada kita semua?

Persoalan air adalah persoalan sejagat, satu persolan yang sangat besar kerana air adalah makhluk yang mendominasi kehidupan seluruh makhluk di bumi. Manusia sendiri adalah air kerana secara biologinya 70 peratus kandungan tubuh fizikal manusia adalah air! Fakta ini jangan diremeh dan diperkecilkan. Asal manusia juga daripada air – air mani yang kemudian bercampur dengan telur si ibu lantas menjadi air mani yang bercampur (amsyaj). Al-Quran menyebut segala sesuatu yang hidup di bumi ini diciptakan daripada air! Akhirnya sains mengesahkan fakta tersebut.

Air ternyata makhluk Tuhan yang sungguh dominan dan berpengaruh. Tiada siapa dapat menyisihkan kehadiran air sebagai unsur penting yang memberi nyawa kepada makhluk-makhluk di bumi. Tuhan menyebut dalam al-Quran tentang air dalam banyak ayat-ayatnya. Air disebut sebagai unsur yang menghidupkan bumi yang mati (kering kontang). Apabila turunnya hujan, ia merahmati tanah-tanah yang kering, menukarnya menjadi tanah subur yang mampu menumbuhkan pelbagai jenis tanaman.


Kini waktu yang sangat baik untuk kita merenung hakikat air. Kini kebanyakan negeri di Malaysia sedang mengalami musim kemarau. Di sesetengah tempat (negeri) kemarau kali ini menyebabkan tanah-tanah pertanian mengering dan merekah sebagai tanda ketiadaan air. Para petani sedang dilanda gelisah takut-takut hasil pertanian mereka akan mati kekeringan. Ditambah dengan keadaan pemanasan global sekarang, musim kering atau musim kemarau yang sedang kita lalui ini dirasai lebih menyengat.
Kita di negara-negara tropika tidak sangat merasai keperitan hidup tanpa air. Lihatlah rakan-rakan kita di negara-negara gurun dan bermusim yang menghadapi masalah air. Sulitnya menjalani kehidupan tanpa air sukar diceritakan. Kata orang: berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Kita dikurnai Tuhan dengan sumber air yang banyak. Gunung ganang dan hutan hijau merupakan tempat tadahan air yang menyimpan bekalan air yang lumayan. Kita mempunyai pelbagai lokasi tadahan air semulajadi seperti sungai-sungai, tasik, lombong tinggal dan lan-lain. Malangnya ramai orang yang tidak tahu menghargai anugerah ini. Sumber-sumber air kita tidak lagi bersih dan selamat. Sumber air di tempat-tempat simpanan itu kotor sebagaimana kita dapat melihat sendiri dengan mata kepala kita bagaimana rupa sungai-sungai kita. Sebahagiannya berwarna kuning, coklat dan keruh. Keladak dari hulu akibat mendapan tanah kesan aktiviti penebangan hutan. Mengalir ke hilir, sungai-sungai kita dicemarkan pula oleh tangan-tangan kita sendiri. Kilang-kilang dan industri pertanian turut melepaskan sisa-sisa cecair dan sisa pepejal ke dalamnya. Sisa toksid ini menambah derita sungai-sungai kita sehingga tidak banyak lagi kehidupan marin yang mampu meneruskan zuriat mereka. Dari sungai ke parit-aprit taliair dan ke sawah padi, air yang tercemar ini terus mengalir. Akhirnya sulit bagi kita untuk mendapatkan bekalan protein percuma daripada sumber-sumber air kita, kerana habitat ikan-ikan ini telah musnah oleh buangan toksid daripada industri dan aktiviti pertanian.


Sedarkah kita dosa kita selama ini kepada air? Kita bukan sahaja tidak menghargai, malah mengkhianatinya dengan tabiat buruk kita menjadikan sumber-sumber air sebagai ‘tong sampah’ di mana kita membuang segala sisa-sisa baik sisa organik mahupun sisa bukan organik ke dalam sumber-sumber ini. Tanpa rasa bersalah kita membuang sisa-sisa beracun, sisa toksid dari rumah, dari kilang, dari industri ke dalam longkang, ke dalam parit, ke dalam sungai, dan akhirnya ke laut. Sedarkah kita perbuatan bodoh ini akhirnya akan membawa bala dan bencana kepada diri kita sendiri. Kesan mengkhianati air, manusia dan makhluk lain akan menanggung akibat buruk daripadanya.

Pada Hari Air Sedunia ini marilah kita meluang beberapa saat untuk bertafakkur, merenung, dan menginsafi tentang nasib makhluk mulia AIR ini. Tuhan memuliakan air sebagaimana disebut dalam al-Quran. Malangnya kita manusia menghina AIR dengan pelbagai cara yang tidak munasabah.

No comments:

Post a Comment