Sunday, August 14, 2011

Sampah, terus bermasalah?


Kosmo Sabtu melaporkan di muka depannya, “berkuatkuasa 1 September depan, orang ramai perlu mengasingkan sampah sebelum membuangnya ke dalam tong sampah di hadapan rumah masing-masing untuk mengelakkan didenda RM 1000,”

Lapornya lagi, “Langkah itu perlu dibuat berikutan Akta Pengurusan Sisa pepejal dan Pembersihan Awam Negara 2007(Akta 672) akan dikuatkuasakan pada tarikh tersebut yang mewajibkan orang ramai mengasingkan sampah seperti gotol, plastik, kertas dan sisa makanan.”

Secara optimis kita menerima peraturan ini sebagai satu langkah maju menangani masalah sampah yang selama ini menjadi masalah kepada semua pihak. Kita sudah terlalu lama dibebani masalah sampah yang tidak pernah nampak penyelesaiannya.
Masalah sampah bukan masalah Kerajaan sahaja, tetapi ia adalah masalah kita semua. Biar berapa bagus pun pengurusan sampah, kita akan menghadapi masalah demi masalah selagi setiap warga Malaysia tidak mahu berfikir serius menghadapinya. Masalah sampah bermula dari rumah, bermula dari diri setiap orang kita, rakyat Malaysia. Maka dari sinilah permasalahan sampah harus diberi fokus.

Sikap kita terhadap sampah masih sangat negatif. Sebahagian rakyat kita masih mempunyai tabiat buruk tentang sampah. Mereka tidak suka sampah (pastilah semua orang tidak suka sampah). Ini satu tabiat biasa tetapi ia tidaklah begitu baik sebetulnya. Apakah kita patut suka pada sampah? Mungkin orang akan menganggap kita ‘gila’ kalau kita suka pada sampah. Namun begitu persepsi tentang sampah pada kebanyakan kita perlu dianalisa semula.


Mari kita lihat bagaimana sampah lahir. Di dalam kenderaan di jalanraya, botol plastik atau kotak minuman dibaling keluar oleh anak-anak atau orang dewasa sendiri. Jadilah ia sampah yang mengotori jalanraya, lebuhraya kita, menyakitkan mata dan menyakitkan hati kita. Barangan tersebut sekiranya disimpan sementara dalam kereta sehingga sampai di rumah, lantas dikumpulkan dalam bekas khas, kemudian dibawa ke kedai barangan lusuh, ia tentulah mempunyai imej yang lebih baik, iaitu barangan kitar semula yang memberikan kita sedikit wang. Begitu juga dengan kertas surat khabar. Sekiranya diserakkan dan dibuang merata tempat, ia menjadi sampah. Namun barang yang sama sekiranya dikumpul, diikat dan dijual kepada kedai barangan lusuh, ia menjadi produk kitar semula yang memberikan wang.

Hari ini sampah menjadi sumber rezeki apabila ia dapat dikitar semula menjadi barangan bermanfaat. Kertas, plastik, besi buruk boleh dijual pada harga tertentu. Orang yang berusaha mengumpul dan menjual memperolehi sedikit wang, peniaga juga memperolehi pendapatan, manakala pengusaha memperolehi bekalan bahan mentah untuk menghasilkan produk baru hasil kitar semula. Semua pihak dalam rantaian ini memperolehi keuntungan kewangan. Dalam waktu yang sama produk-produk ini tidak lagi menjadi sampah yang memerlukan kawasan buanngan atau landfill yang luas untuk dilupuskan.

Untuk meningkatkan aktiviti kitar semula memerlukan sedikit kesungguhan, komitmen dan juga usaha. Inilah permulaan untuk menentukan usaha kitar semula yang berjaya. Setiap orang rakyat mesti ada kesedaran, kesungguhan dan usaha untuk menggerakkan aktiviti kitar semula. Kesedaran sepatutnya dipandu oleh rasa insaf tentang malah sampah, tentang tanggungjawab menjaga kebersihan dan keinginan untuk hidup bersih dan sihat. Kesedaran ini perlu lahir dari dalam lubuk hati, sebagaimana orang Islam berpegang kepada prinsip ‘kebersihan adalah sebahagian daripada cabang iman’.


Landfill di Bukit Tagar

Rumah adalah pengeluar sampah atau sisa pepejal yang utama. Banyak produk pengguna diisi dalam bekas plastik, kotak, kertas dan juga kaca. Ia berpotensi menjadi sampah apabila kita membuangnya sebagai sampah. Sebaliknya jika ia diasingkan dan dikumpul untuk kitar semula, ia akan bertukar menjadi barangan yang ada harganya. Oleh itu dari rumah, barangan yang boleh menjadi sampah dapat diselamatkan daripada menjadi sampah. Inilah pentingnya sikap dan persepsi kita. Tidaklah sulit untuk menjual barangan ini kerana boleh dikatakan setiap hari ada pembeli barangan lusuh yang mengunjungi kediaman dan taman perumahan kita, terutama di bandar-bandar. Surat khabar lama, plastik, buku lama, bateri lama, tin dan sebagainya berpotensi menjadi wang, sekiranya dijual kepada peraih barangan lusuh ini. Dengan itu bermula satu episod, tiada lagi sampah pepejal dari rumah kita. Seandainya semua rumah di negara kita melakukan hal sederhana ini, selesailah sebahagian beban memungut dan melupus sampah jenis ini.

Industri banyak menghasilkan sisa pepajal sebagai bahan buangannya. Namun mereka memanfaatkan kitar semula kerana mereka nampak betapa sisa dari industri mereka boleh menjana pendapatan. Sebab itu sisa pepejal dari industry biasanya tidak menjadi sampah.

No comments:

Post a Comment