Thursday, April 1, 2010

Membawa misi organik ke Kundasang.


30 Mac lalu kami dari IPAL ke Kundasang, Sabah atas undangan untuk mengendalikan Kursus Pertanian Organik-Alami kepada ahli-ahli Persatuan Penanam-penanam Sayur Tanah Tinggi Dusun Kundasang.

Kursus tersebut diadakan atas keinginan para peserta sendiri yang mahu beralih daripada pertanian konvensional kepada pertanian organik. Kesungguhan itu membuatkan IPAL juga bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu dan pengalaman, untuk membantu mereka ke arah organik-alami, yang menjadi teras perjuangan IPAL sendiri.

Selama ini para petani di Kundasang dan petani di lokasi-lokasi lain sudah mulai sedar bahawa pertanian konvensional yang mereka jalani setiap hari menghasilkan pendapatan, menghasilkan hasil sayuran yang dapat memenuhi permintaan orang ramai. Namun jauh di sudut hati mereka, ada hasrat mulia untuk beralih ke organik. Mereka sedar mereka selama ini bergelumang dengan kimia: baja kimia (sintetik) dan racun (racun serangga dan rumpai).


Peserta tekun berbincang dengan penulis (kanan).

Daripada maklumat yang mereka sendiri sampaikan, mereka sudah beberapa kali disajikan dengan 'idea-idea organik' ini, tetapi sehingga kini mereka belum betul-betul dibawa ke alam organik. Mereka sekadar didendangkan dengan slogan-slogan organik dan cerita tentang kompos dan kejelikan kimia. Malangnya mereka tidak dibimbing secara serius keluar daripada alam kimia kepada alam organik secara nyata. Mungkin kerana itu sebahagian daripata petani di sini sudah tidak tertarik dengan kempen-kempen organik, kerana mereka merasa mereka tidak juga ke mana-mana.

Oleh itu ketika berkesempatan bersama dengan para petani sayur di Kundasang, kami mengambil peluang ini untuk bercerita dan berbincang dari hati ke hati tentang apa sebenarnya organik-alami itu. Dengan menyelami situasi dan masalah semasa mereka, kami cuba menguasai psikologi petani-petani ini. Mereka yang hadir mendengar sesi ceramah kami, agak serius mahu mengetahui dan mahu ke organik. Oleh itu mereka perlu diyakinkan dengan sungguh-sungguh bagaimana hendak melakukan perubahan itu.

Mereka sedar untuk beralih daripada pertanian kimia kepada pertanian organik. Mereka faham akan kebaikan-kebaikan organik. Tetapi mereka belum yakin sepenuhnya kerana mereka belum pernah mencuba dan melihat hasilnya. Perasaan bimbang dan curiga masih ada dalam benak mereka. Mereka bimbangkan hasil menurun, dan macam-macam lagi.


Kebun kobis luas bak hamparan permaidani hijau.

Oleh itu kaedah penerapan idea dan pengembangan yang kami lakukan adalah kaedah yang praktikal. Kami bukan sekadar menunjukkan cara tetapi juga mendidik dan membimbing mereka menggunakan teknologi EM secara hands-on. Mereka dapat melihat apa itu EM dan dapat memiliki sendiri EM yang akan dipraktiskan dalam amalan pertanian organik. Selama ini mereka pernah mendengar ceramah tentang EM tetapi tidak pernah melihat EM apalagi untuk membelinya. Mereka kelihatan begitu gembira dan yakin setelah melihat sendiri bahan penting Bio-mic (kultur EM cecair) dan Bio.mic padat serta Baja organik Hi-Grow, yang akan digunakan dalam aktiviti pertanian organik. Mereka juga dibimbing secara organik, bagaimana menggunakan kaedah pertanian aorganik menggunakan teknologi EM.

Kesempatan seharian di tanah tinggi Kundasang, membawa kami meninjau sendiri situasi kebun-kebun sebahagian daripada peserta. Encik Leef Anwar Bin Malandi, Presiden Persatuan Penanam-penanam Sayur Tanah Tinggi Dusun Kundasang, membawa kami melawat kebun sayurannya yang terletak kira-kira 15 km daripada pekan kecil Kundasang. Kami meninjau kebun kobis dan kapsikum serta ternakan lembu susunya. Enik Anwar adalah seorang bekas guru lulusan universiti yang sanggup mengorbankan kerjayanya untuk menjadi petani sepenuh masa.

IPAL mengharapkan kursus sehari yang pertama ini akan diteruskan kepada aktiviti selanjutnya. Daripada maklumat yang kami terima, mereka nampaknya begitu gembira dan terkesan dengan kursus awal ini. Mereka meminta kami datang lagi untuk mengajar dan membimbing mereka menggunakan teknologi EM dalam amalan pertanian mereka.

Kami melihat prospek untuk mereka beralih ke organik sangat cerah. Andainya tidak disebabkan oleh jarak lokasi yang jauh, kami yakin proses peralihan ini akan dapat disingkatkan lagi sekiranya kami dapat sering melawat dan membimbing mereka dari dekat. Bagaimanapun, semangat mereka turut meningkatkan semangat kami untuk terus membimbing mereka sehingga mereka benar-benar yakin untuk berorganik.

5 comments:

  1. Saya berharap 'Membawa Misi Organik Ke Kundasang' ini akan mendapat sambutan kepada semua pihak, terutamanya kepada para petang yang sudah sekian lama mengusahakan tanaman sayur-sayuran. Untuk makluman sahaja, setakat ini sayur-sayuran yang dikeluarkan oleh petani daripada kundasang adalah sangat baik walaupun pernah mengexport ke Brunai dan mendapat bantahan daripada Brunei kerana mengatahui sayur-sayuran daripada Kundasang mengandungi tahap racun serangga yang tinggi. Dengan misi membawa organik ke kundsang negeri kita akan dapat perkenalkan sayur keluaran daripda kundasang adalah selamat untuk di makan dan bebas daripada penggunaan racun serangga.

    ReplyDelete
  2. uii na bagus ba ni.. mana pas ni bertambah-tambah famous kita punya sayur-sayuran. hehehe

    Good info kitakita :)

    ReplyDelete
  3. harap2 misi ni dapat sambutan yg menggalakan - mcm bagus misi ni. hehhee
    keep it up k :)

    ReplyDelete
  4. Bukan sahaja selamat dimakan malah petani akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana tidak perlu lagi membeli bahan input berbentuk kimia yang semakin mahal dari masa ke semasa.Cuma amat sukar untuk berubah dari kebiasaan yang selama ini hanya bergantung kepada bahan kimia. Harapan kami sebagai petani pihak bertanggungjawab mengambil inisiatif supaya petani berubah kepada alami,tanpa bimbingan dan bekalan benda tersebut tak mungkin misi ini berjaya.Kami juga berharap agar harga Mikro tersebut di kaji semula sehingga ke suatu harga yang memuaskan, tanpa menambah bebanan para petani

    ReplyDelete