Thursday, December 29, 2011

Bumi semakin tua.


Sehari lagi berakhirlah tahun 2011, dan menjelang pula tahun baru 2012. Dengan itu bertambahlah usia kita. Kita menjadi semakin tua, dan hidup kita semakin pendek. Demikian juga dengan hayat bumi ini. Semakin hari bumi juga semakin menua (menjadi tua).

Allah SWT menciptakan kita dan bumi serta seluruh alam makhluk ini melalui hukum atau sunnah-Nya. Semuanya dicipta dalam bentuk kesementaraan. Kita datang dan kita akan pergi, bumi ini diciptakan daripada tiada kepada ada, kemudiannya akan hancur dan sirna. Peristiwa kiamat adalah waktu bumi dan alamraya ini hancur dan musnah mengikut hukum atau sunnah Allah SWT.


Sebahagian orang begitu gentar menghadapi munculnya tahun 2012 kerana terpengaruh dengan kepercayaan yang diciptakan oleh filem-filem Barat tentang kejadian kiamat, yang mengikut kepercayaan suku kaum kuno, akan terjadi pada tahun 2012. Itu hanyalah ramalan yang dibuat berasaskan kalendar kaum Mayan.

Sebenarnya tiada siapa dapat meramalkan bila terjadinya kiamat. Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui tentang waktu itu. Oleh itu segala kebimbangan dan ketakutan kepada 2012 adalah tidak berasas sama sekali. Sungguhpun begitu kebimbangan kepada peristiwa kiamat adalah suatu yang wajar kerana manusia yakin kepada peristiwa kiamat. Keyakinan itu adalah suatu yang alami, terutama kepada orang yang insaf dan sedar bahawa bumi dan kehidupannya adalah wjud yang sementara sahaja, bukanlah wujud yang kekal abadi.

Secara saintifik, semua orang terpaksa akur dan mengakui bahawa bumi dan kehidupan di atasnya telahpun melalui proses kehidupan yang panjang. Usianya semakin tua. Ciri-ciri ini dibuktikan dengan pelbagai kejadian bencana alam yang menunjukkan bahawa bumi sudah memasuki fasa tua. Sbagaimana orang tua, tingkahlakunya sudah tidak indah lagi, ia mulai nyanyuk atau mamai. Kejadian-kejadian mutakhir seperti kepanasan global, bencana alam yang tidak terduga dan tidak dapat diramal, perubahan cuaca yang semakin mengelirukan; semuanya menjadi bukti betapa bumi sangat tua.


Terakhir kita menghadapi ribut tropika Washi di mana lebih 1 200 orang maut di selatan Fipina. Sementara itu puluhan ribu orang menjadi mangsa ribut ganas itu. Itulah antara bencana alam terakhiry ang berlaku dekat dengan kita. Ribut Washi meninggalkan kerosakan yang sangat besar ke atas struktur bumi dan juga ke atas kehidupan manusia.

Sebagaimana sebelumnya terjadi tsunami besar di Jepun, semua bencana ini tidak dapat dihalang oleh manusia dan kemajuan teknologinya. Jepun adalah antara negara maju yang begitu fragile. Ia terdedah kepada pelbagai bencana bumi termasuklah gempa bumi dan tsunami. Kejadian terakhir yang berlaku awal tahun ini menjadikan lokasi kejadian padang jarak pada tekukur. Semuanya hancur dan musnah sekelip mata. Kerugian tidak dapat dinilaikan. Mereka pula sedang menghadapi bahaya kesan radioaktif daripada kilang nuklear yang rosak akibat tsunami tersebut. Kesan bencana muklear ini menjadikan ia bahaya berganda kepada orang Jepun.


mangsa Washi di Filipina.