Thursday, June 24, 2010

Penyembuh luka


Mengapa orang suka berkebun? di mana sebahagian orang menjadikan aktiviti tersebut sebagai hobinya. Berkebun sememangnya satu aktiviti produktif kerana ia menghasilkan produk kepada kita, misalhnya sayur-sayuran, buah-buahan atau bunga- bungaan.

Di sebalik tujuan mendapatkan hasil daripada aktiviti berkebun, sebenarnya banyak lagi manfaat yang dapat diraih daripada aktiviti tersebut. Ada orang meletakkan sasaran untuk mendapatkan kesihatan kerana aktiviti berkebun akan membantu mengeluarkan peluh dan mengaktifkan anggota badan. Lebih dari semua itu, ramai orang meletakkan kepuasan sebagai matlamatnya.

Kepuasan adalah satu emosi positif yang terhasil apabila seseorang merasakan cetusan kebahagian, keseronokan, kegembiraan dan ketenangan. Tanpa sedar kewujudan alam ini adalah sumber kepada kepuasan jiwa manusia. Melakukan aktiviti dengan tanah dapat memesrakan kita dengan bumi, di mana bumi sendiri bukan sekadar wujud bersifat tanah (yang selama ini kita anggap ia mati), tetapi banyak lagi makhluk-makhluk hidup berada di dalamanya termasuklah yang dapat dilihat seperti cacing, semut dan serangga-serangga lain. Sementara itu di dalam tanah terdapat berjuta dan berbilion mikrob, makhlkuk halus yang berkhidmat setia memproses tanah. Mikrob-mikrob halus ini berfungsi mereputkan baan-bahan organik menjadi humus kemudian menyuburkan tanah dengan nutrien; manakala nutrien itu nantinya menjadi sumber makanan tumbuh-tumbuhan. Secara semulajadi, tumbuh-tumbuhan tidakpun pernah mengharap manusia memberinya baja bagi membolehkan mereka hidup dan membiak.


Selain bermesra dengan bumi, berkebun akan mendekatkan kita dengan alam tumbuh-tumbuhan. Di sekeliling kita tumbuh pelbagai jenis rumpai, yang pada kebanyakan kita melihatnya sebagai ganggunguan dan bahan yang tidak dikehendaki. Kita nenyebutnya sebaai semak, di mana apabila kata tersebut dijadikan 'menyemak' ia membawa makna tidak bermanfaat dan mengganggu kita. Inilah kebiasaan-kebiasaan minda kita apabila berdepan dengan rumput rumpai. Lalang pada persepsi kebanyakan orang adalah tumbuhan yang tidak disenangi kerana ia menyemak dan menyusahkan kita. Akarnya yang merayap dalam tanah menyukarkan usaha kita menghapuskannya kerana ia mudah tumbuh semula apabila batang dan daunnya dipotong. Kerana marahkan lalang, ramai orang membunuhnya menggunakan racun rumpai.

Kita sering terlupa bahawa semua tumbuhan yang tumbuh menegak, menjalar, memanjat atau menumpang adalah zat hidup yang bermanfaat kepada manusia. Tuhan tidak menjadikan semua rumput rumpai ini sia-sia. Hanya pengetahuan dan pengalaman manusia yang terhad dan terbatas, menyebabkan kita belum menemui manfaat-manfaatnya. Hari ini sebahagian manfaat rumpai ini mula ditemui satu persatu. Contohnya lalang tadi, akarnya mengandungi kadar gula yang banyak dan ia bermanfaat sebagai bahan ubatan. Semenetara itu daunya adalah antara daunan yang tahan, di mana ia sesuai dijadikan atap kerana sifatnya yang menyejukkan dan bertahan lama. Begitu juga dengan berjenis-jenis rumput yang kini ditemui manfaatnya sebagai herba yang boleh menyembuhkan pelbagai gejala penyakit.

Rupa-rupanya Tuhan menciptakan rumput rumpai yang sering kita anggap menyemak itu bvanyak manfaat dan kegunaannya kepada kesihatan kita. Oleh itu tibalah masanya kita mengubah persepsi kepada mereka. Marilah kita menerima kehadiran mereka dengan psositif dan berprasangka mulia. Pandanglah mereka sebagai antara makhluk Tuhan yang semuanya ada nilai, ada harga dan banyak manfaatnya kepada manusia.


Di saat kita mula mengubah persepsi kita kepada mereka, maka kita mula melihat alam sebagai satu kehidupan unik dan sangat akrab dengan manusia. Di sinilah bermulanya perjalanan diri kita secara emosi dan spiritualnya memahami, mendekati dan menikmati kehadiran alam baik tumbuhan mahupun mergastuanya atau flora dan faunanya. Di sinilah baru tumbuh rasa hormat, rasa syukur dan rasa sayang kepada mereka, kerana mereka juga adalah serupa kita, makhluk yang diciptakan dengan penuh keharmonian dalam bentuk keserasian ekosistem dan kepelbagaian bio. Akhirnya kita merasakan bahawa kita dan alam adalah satu, satu kesatuan atau satu sinergi yang tak mungkin terpisahkan oleh apa pun. Di sinilah tersimpan rahsia ciptaan Tuhan yang sangat agung, manusia dan alam adalah wujud yang satu dan kewujduan alam itu sendiri adalah untuk menuempurnakan kewujudan manusia di bumi.

Mengupas falsafah ini tentulah memerlukan sebuah buku khusus kerana luas skop bicaranya. Apa yang penting marilah kita menyorot ke belakang di saat kita semakin melupakan dan mengabaikan alam, kerana kita berasa sombong dengan pencapaian teknologi kita. Padahal setiap masa dan ketika manusia tanpa sedar akan kembali mencari alam apabila mereka mula mengalami kekecewaan dengan persekitaran manusianya. Orang mencari laut, mencari sungai, air terjun, tasik hening untuk melepaskan stres atau tekanan hidup. Dengan melihat ikan-kan bermain baik di habitat asalnya atau habitat tiruan di akuarium di rumah, hati kita terawat, luka-luka kehidupan manusia terawat dan sembuh. Bermain dengan haiwan kesayangan seperti kucing dan lain-lain akan menyembuhkan derita batin atau tekanan emosi kita.