Friday, May 21, 2010

Betapa akrabnya manusia dan bumi.


Untuk mengerti dengan benar tentang hubungan manusia atau hubungan kita dengan bumi, kita perlu kembali kepada agama kerana hanya agama (Islam) yang benar-benar menjelaskan dengan tepat dan benar tentangnya. Al-Quran mengungkap dengan jelas membentangkan fakta yang emperis tentang alam (termasuk bumi) dan hubungannya dengan kehidupan manusia. Banyak daripada fakta-fakta ini tidak terfikir oleh manusia kerana ia berada jauh di luar jangkauan akal dan kajian saintifik manusia.

Kini manuisa memerlukan pelbagai bidang ilmu yang merangkumi pelbagai disiplin sains, untuk mengkaji status alam dan hubungannya dengan manusia. Astronomi dan bidang-bidang sains angkasa mengkaji fakta tentang ruang angkasa dan planet-planet yang ada di sana. Geografi dan geologi mengkaji isi bumi dan bidang-bidang sains yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Arkeologi mengkaji kesan-kesan peninggalan sejarah silam, untuk mengungkap kehidupan manusia zaman lampau. Biologi dan bidang-bidang berkaitannya mengkaji bagaimana proses kehidupan terjadi. Sains tanah khusus mengkaji tentang proses kejadian tanah dan hubungkaitnya dengan aktiviti pertanian. Agronomi dan hortikultur mengkaji aspek-aspek pertumbuhan tumbuhan-tumbuhan dan aktiviti pertanian. Fizik mengkaji aspek tenaga dan juga segala pergerakan alam. Kimia mengkaji tindakbalas unsur-unsur alam secara makro dan mikronya.

Oleh kerana manusia adalah makhluk paling dominan di alam ini, khususnya di bumi ini; maka fakta tentang manusia paling banyak dikembangkan. Al-Quran sendiri merakamkan terlalu banyak fakta tentang manusia secara holistik dan lengkap, meliputi aspek jasmaniahnya dan ruhaniahnya. Ia mengupas tentang fakta-fakta fizikal, psikologikal dan spiritualnya. Al-Quran memperincikan proses penciptaan manusia pertama, nabi Adam as. dan proses kembangbiak manusia sesudahnya. Setelah lebih 14 abad ilmu ini didedahkan, kini kajian perubatan dan sains biologi baru mula melihat fakta-fakta itu dengan lebih jelas. Apabila al-Quran menyebut tentang zarah atau atom, dulunya penafsir menyebutnya sebagai debu (kerana waktu itu debu dianggap jisim terkecil). Tetapi hari ini zarah bukan lagi debu tetapi ia merujuk kepada atom atau unsur lebih kecil dan lebih halus lagi. Hari ini orang mengkaji tentang nano (satu kiraan unit terkecil) bagi menyukat kehalusan sesuatu unsur. Penciptaan mikroskop berkuasa tinggi membolehkan manusia melihat dengan mata kasar makhluk-makhluk halus yang dulunya hanya disebut sebagai kuman, bakteria dan sebagainya. Bermakna cabaran al-Quran kepada manusia untuk memahami zarah masih terus menerus relevan hingga ke hari ini. Manusia mungkin menemui zarah yang lebih halus lagi, lebih kecil lagi, sehingga apabila sampai ke sempadan keupayaannya, manusia akan menyebutnya sebagai nano (satu ukuran yang tidak dapat diukur lagi).

Mengkaji al-Quran, khususnya tentang fakta-fakta sains tiada kesudahannya. Al-Quran terus hidup dengan fakta-fakta. Semakin jauh manusia mengkaji bidang sains, fakta-faklta baru yang ditemuinya akan lebih membenarkan apa yag disebut dalam al-Quran itu. Contohnya tentang zarah tadi. Kitab-kitab tafsir lama menyebut makna zarah adalah debu, tetapi kini zarah tidak lagi bermaksud debu, tetapi unsur yang lebih kecil lagi sehingga ia boleh dimaksudkan sesuatu yang tidak dapat dikesan melalui mikroskop berkuasa tinggi. Sebagai unit terkecil, zarah adalah unit terawal atau nukleas kepada apa jua ciptaan makhluk di alam ini.

Dalam hubungannya dengan bumi, hubungan itu terlalu akrab dan tidak terpisah langsung. Apabila Tuhan menyebut bahawa manusia diciptakan daripada tanah, tentulah Dia merujuk hubungan akrab manusia dan bumi. Pertama manusia diciptakan untuk menjadi penghuni bumi (sebuah planet yang kecil tetapi lengkap dengan segala keperluan hidup penghuninya - manusia). Di bumi manusia diberi status yang sangat mulia iaitu sebagai khlaifah (wakil) Tuhan, di mana manusia diberi kuasa untuk mengurustadbir bumi dan alam ini berasaskan hukum dan perintah-Nya. Lambang kekuasaan khalifah ialah ilmu. Sebab itu ketika nabi Aam as dicipta, baginda dibekalkan dengan ilmu untuk mengenali segala ssuatu. Ilmu ini adalah satu bahagian daripada keagungan Tuhan sendiri kerana salah satu sifat-Nya ialah ILMUN (maha mengetahui).

Sifat-sifat tanah itu terdapat pada diri mahusia, terutama fizikalnya. Pertumbuhan fizikal manusia sangat akrab dengan tanah. Secara fizikalnya, manusia memperolehi tenaga yang sumbernya adalah dari tanah. Manusia bergantung kepada makanan dan semua bekalan makanan adalah berasal dari tanah. Tumbuh-tumbuhan membesar berkat nutrien dari bumi dan tumbuhan itu membekalkan manusia dengan nutrien dan khasiat baik kabohidrat, protein, galian (mineral) dan vitamin. Tumbuhan pula mempunyai keistimewaannya untuk mengolah makanan untuk manusia. Contohnya tumbuhan mempunyai keupayaan untuk menukarkan mineral bukan-organik daripada bumi dan air, kemudian menukarnya menjadi mineral organik. Kemudian mineral organik itu diambil pula oleh manusia sebagai salah satu sumber nutriennya. Sedangkan manusia sendiri tidak berupaya menukarkan mineral bukan-organik kepada mineral organik. Sebab itu tubuh manusia tidak berupaya menyerapkan mineral bukan-organik dalam air, sehingga keladak-keladak mineral yang tak larut itu boleh mengganggu sistem penapisan tubuh manusia. Contohnya, kejadian batu karang adalah akibat pengumpulan keladak mineral tak larut ini.


Manusia juga mendapatkan bekalan protein daripada haiwan. Namun begitu haiwan sendiri mendapatkan bekalan nutriennya daripada tumbuh-tumbuhan juga. Maknanya asal usul sumber nutrien yang membekalkan tenaga kepada manusia, juga berasal dari tanah, dari bumi. Kajian sains pemakanan telah mendedahkan bahawa makanan terbaik untuk manusia adalah makanan yang alami atau natural, iaitu makanan segar daripada hasil bijirin, buah-buahan, sayuran, ulaman dan herba. Semua sumber alami itu adalah tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dari dalam tanah, dari dalam bumi.

Selain makanan, manusia perlukan bekalan udara segar, oksigen yang dibekalkan oleh tumbuh-tumbuhan. Ketika melakukan proses fotosintisis, tumbuhan mengeluarkan gas oksigen dan mengambil gas karbon dioksid. Di sinilah terjadi secara sunnah perkongsian pintar antara manusia dan tumbuhan. Sementara itu ozon pula merupakan gas O3 yang bertenaga untuk memberikan banyak manfaat kepada kehidupan manusia dan alam seluruhnya. Ia terjadi secara semuljadi melalui proses alam sendiri. Contohnya ketika kejadian kilat petir, air terjun, hempasan ombak ke pantai. Malangnya kesan rumah hijau telah mempercepatkan penipisan lapisan ozon di atmosfera, menyebabkan pemanasan yang kini dikenali dengan pemanasan global.