Wednesday, April 21, 2010

Hari Bumi: pelupa benarkah manusia ....


Hari ini adalah Hari Bumi di mana ia disambut di seluruh dunia bagi mengingatkan manusia tentang kewujudan bumi. Apakah kita masih perlu diingatkan untuk tidak lupa kepada bumi? Agak aneh apabila kita perlu diingatkan. Ini menunjukkan wujudnya sifat lupa, maka kita perlu diingatkan.

Sepanjang hayat kita, bumilah tempat kita melangsungkan hidup. Setiap hari kita berpijak di bumi, bergerak di bumi dan memanfaatkan seluruh kehidupan yang wujud di bumi. Manusia yang pelupa sering tidak menyedari bahawa dia adalah makhluk kerdil di bumi ini. Banyak lagi makhluk yang lebih besar dan lebih hebat darinya. Gunug ganang jauh lebih hebat daripada manusia. Malangnya manusia merasakan dirinya besar, hebat dan lebih dalam segala hal daripada makhluk penghuni bumi yang lain. Manusia lupa, secara fizikalnya mereka sangat kerdil dan sangat lemah. Mengambil masa bertahun-tahun unuk berkembang dan matang, sedangkan haiwan mengambil masa yang singkat sahaja untuk menjadi dewasa.

Manusia juga lupa bahawa mereka tinggal di sebuah planet yang sangat kecil yang bernama bumi ini. Di sana terdapat berapa banyak lagi planet yang jauh lebih besar daripada bumi, termasuk bintang-bintang yang kita lihat begitu kecil bergemerlapan di malam hari. Di bumi yang kecil inilah tempat manusia lahir, hidup dan mengembangkan zuriatnya. Kini sudah mencecah enam bilion manusia sedang menghuni bumi ini.

Pada hari Bumi ini orang akan kembali mengenang bumi. Maka adalah kumpulan-kumpulan orang yang insaf dan sedar akan melakukan pelbagai aktiviti sebagai simbolik kepada rasa cinta dan kasih kepada bumi. Orang akan menanam pokok untuk menghijaukan bumi. Mereka ini menyedari tentang keperluan pokok kepada manusia. Selama ini pokok tidak perlu ditanam terutama di kawasan hutan hijau tropika ini, kerana ia tumbuh sendiri dan menghijau bumi. Hutan tropika menyumbangkan kesegaran kepadaao persekitaran dengan menghasilkan gas oksigen untuk dikongsi dengan manusia. Dalam waktu yang sama hutan juga menyedut gas buangan manusia iaitu karbon dioksid. Aktiviti hidup manusia yang semakin moden telah menghasilkan gas karbon dioksid yang terlalu banyak melalui pembakaran jentera baik di kilang, mahupun di jalanraya.

Manusia mula menyedari bahawa mereka sedang berada dalam atmosfera yang tidak sihat terutama di kawasan bandar dan kota-kota besar yang terlalu padat dengan manusia. Di lokasi begini mereka kekurangan gas oksijan, sebaliknya terlalu banyak gas karbon hasil pelepasan pernafasan dan juga pengeluaran dari pembakaran enjin jentera. Di bandar dan kota-kota besar juga mengalami kekurangan pokok-pokok yang boleh membekalkan oksigen. Hal ini terjadi kerana ruang lebih diutamakan untuk gedung batu daripada untuk pokok tumbuh. Hanya akhir-akhir ini apabila ramai orang mulai sedar akan kesan gas karbon, barulah ada usaha menghiasi bandar-bandar dengan tumbuhan hijau. Malangnya penanaman pokok-pokok sukar mengimbangi kepesatan pembangunan dan jumlah manusia yang semakin meningkat. Ibu kota banyak negara besar mempunyai penduduk mencecah puluhan juta orang. Bayangkan kepesatan kota-kota besar seperti Jakarta, Ho Chi Min, Kaherah dan lain-lain.

Aktiviti penebangan hutan akhir-akhir ini memberi kesan kepada masalah yang sedang kita hadapi iaitu pemanasan global. Kesan gas rumah hijau disebut-sebut sebagai puncanya. Apa pun struktur bumi kini kelihatan agak rapuh. Bencana alam seperti gempa bumi sangat kerap terjadi akhir-akhir ini. Dalah tempoh yang dekat beberapa gegaran gempa bumi dilaporkan terjadi di merata dunia mengorbankan jiwa dan kemusnahan harta benda serta kerosakan struktur bumi. Di samping itu ledakan gunung berapi di mana terakhir adalah letusan gunung berapi di Iceland yag menerbangkan debu-debu dan lahar ke udara sehingga menjejaskan aktiviti penerbangan di beberapa buah negara Eropah utara.


Selain hukum takdir, semuanya berlaku disebabkan kerakusan manusia memanipulasi alam dan sumber-sumber alam. Manusia terlalu rakus, tamak, pementing diri sehingga aktiviti mengeksploitasi sumber bumi menyebabkan bala bencana terpaksa ditanggung oleh semua orang.

Di Hari Bumi ini marilah kita menginsafi bahawa kita masih mempunyai tanggungjawab besar untuk melindungi bumi sebagai tempat kita tinggal. Kesedaran kita terhadap kewujudan sinergi antara-makhluk atau apa yang disebut sebagai kepelbagaian bio itu hendaklah diterapkan ke dalam minda generasi muda agar mereka tidak menjadi pemusnah kepada kehidupan makhluk di bumi ini. Mengekalkan kelestarian bumi adalah satu tanggungjawab berat yang perlu dipikul oleh semua orang. Kurangkan bebanan bumi dengan usaha kecil seumpama menjaga kebersihan persekitaran. Uruslah sisa-sisa buangan terutama sisa organik dengan betul dan teratur. Ia akan membantu mengurangkan kesan pencemaran kepada bumi. Kawallah tabiat ambil mudah membuang segala sisa ke sumber air. Rajin-rajinlah berbudi kepada bumi dengan bercucuk tanam, menanam tanaman makanan (edible garden) di pinggir rumah atau dalam pot atau secara hidroponik.

Thursday, April 8, 2010

Menterjemah Impian Higa.


Pertanian Organik: satu pengenalan, penerbitan baru IPAL.

Ketika ini saya sedang menyiapkan sebuah buku tentang teknologi EM, sebagai satu sumbangan kepada masyarakat pembaca, untuk melihat, memahami dan kemudian menghayati teknologi EM ini dalam aktiviti kehidupan mereka secara menyeluruh.

Lebih enam tahun sejak mengenalinya, saya semakin hari terasa semakin akrab dan intim dengannya. Bermula daripada aplikasi sederhana memanfaatkan sisa-sisa dapur di rumah, sehingga kini semakin jauh mencuba pelbagai aplikasi teknologi EM. Malahan kini sudah memasuki peringkat mengembangkannya dengan berusaha berkongsi ilmu dan pengalaman dengan masyarakat. Oleh kerana teknologi EM adalah satu penemuan kepada aplikasi teknologi hijau atau sesuatu yang sangat akrab dengan konsep kelestarian alam dan kelestarian kehidupan, maka ia menjadi sesuatu yang penting kepada saya.

Bermula dengan menggali maklumat dan ilmu daripada sumber-sumber berautoriti, kemudian mencuba aplikasinya sebagai proses mengamalkan ilmu tersebut, keyakinan semakin hari semakin tinggi terhadap keupayaan teknologi ini untuk mengubah kehidupan secara holistik. Belajar di IPSA, Bali adalah berguru kepada anak murid Prof. Higa sendiri, kemudian di Sara Buri, Thailand, bersama dengan tenaga pembimbing berasal dari Jepun yang mempunyai autoriti tentang teknlogi EM ini. Proses belajar ini tiada kesudahan kerana ia membawa kita semakin jauh untuk memahami banyak lagi kisah-kisah menarik di sebalik aplikasi teknologi EM ini.

Membaca karya-karya Higa sendiri khususnya tiga buah bukunya yang sudahpun diterjemakan ke dalam bahasa Inggeris, membuka lorong-lorong baru untuk terus disusuri. Kisah-kisah kejayaan aplikasi teknologi ini di merata lokasi di seluruh dunia menyebabkan kita berasa sangat ketinggalan. Perasaaan ini mencabar diri supaya lebih serius dan lebih komited untuk bersama Higa merealisasikan impian Higa. Beberapa kali dapat bersua muka dengan Higa, terasa dapat suntikan semangat yang kuat untuk bersama beliau memperjuangkan cita-cita mengembalikan alam ini kepada tahap kelestarian yang diingini.


Buku-buku Higa.

Buku yang sedang disiapkan meliputi maklumat tentang pelbagai aspek aplikasi EM dalam pelbagai aktiviti seperti aktiviti pertanian, penternakan, alam sekitar dan juga kesihatan. Lebih penting lagi ialah mesej tentang alam di mana setiap kita perlu menerima satu realiti bahawa kita sudah jauh mengabaikan alam terutama bumi yang kita diami ini. Kita perlu membuka minda menyedari bahawa kita perlu segera kembali ke pangkal jalan setelah tersesat jauh. Bumi perlu diselamatkan kerana di sinilah kehidupan kita perlu dilestarikan.

Selain menghasilkan buku, IPAL sedang berusaha mengumpulkan maklumat dalam bentuk hasilan monograf, risalah, rencana dan lain-lain. Usaha ini adalah sebagai satu cara pengumpulan data untuk manfaat semua pihak di masa depan. Kami melakukannya dengan cara sederhana kerana kami berdiri sendiri setakat ini, dengan kemampuan dan kapsiti kewangan yang masih terhad. Apa yang penting, kami sedang melakukan sesuatu untuk menterjemahkan Impian Higa yang juga impian kita semua.

Tuesday, April 6, 2010

Membetulkan tanggapan terhadap tani alami


Apakah ia musuh atau sahabat kita?

Ketika menceritakan tentang pertanian alami, saya sering memberikan satu contoh mudah bagaimana alam ini sendiri tahu mengurus dirinya, iaitu dengan melihat hutan hijau di sekeliling kita. Hutan hijau, rimba tropika yang berusia jutaan tahun, terus hijau subur sehingga kini, siapa yang membajanya? Jawaban pasti adalah: tiada siapapun yang memberinya baja! Kenapa ia terus subur tanpa diberi baja? Jawabnya ialah kerana tanah yang menumbuhkan hutan hijau itu sentiasa membekalkan nutrien untuk pembesaran tumbuhan di atasnya. Dari mana pula tanah mendapat bekalan nutrien? Secara alami, tanah sedia kaya dengan nutrien kerana di dalam tanah terdapat kehidupan jutaan makhluk yang bersimbiosis, bersinergi menghasilkan nutrien hasil tindakbalas biologinya. Makhluk seni seumpama mikrob itu secara alami berfungsi antara lain membantu pereputan sisa-sisa organik seperti daun-daun kering, ranting, dahan kayu atau serangga dan haiwan yang mati di permukaan tanah. Pereputan itu bertukar menjadi bahan yang membekalkan nutrien (baja semulajadi) kepada tanah di mana akar tumbuhan dapat menyerapnya sebagai makanan untuk tumbesarannya. Di samping itu mineral bukan organik daripada air dan daripada sumber bumi diserap oleh tumbuhan. Kebolehan tumbuhan menukarkan mineral bukan organik kepada mineral organik membantu manusia dengan membekalkan mereka mineral organik. Inilah mineral terbaik untuk tubuh manusia, kerana tubuh manusia sendiri tidak mampu menukarkan mineral bukan organik kepada mineral organik. Oleh itu manusia perlu mendapatkan bekalan mineral organik daripada tumbuhan bukan daripada sumber lain, termasuk air.

Inilah asas mudah memahami pertanian alami. Alam memang sedia subur. Tanah secara alami telahpun mempunyai keupayaan menyediakan makanan untuk tumbuhan di atasnya. Sungguhpun dalam kajian sains tanah terdapat jenis-jenis tanah yang kurang subur, namun sains telah menemukan pelbagai cara untuk merawat tanah-tanah tidak subur tersebut dengan melengkapkan kekurangan unsur-unsurnya. Tanah subur adalah secara biologinya lengkap dengan unsur-unsur penting. Hari ini orang mengenali antaranya unsur NPK. Secara konvensional, mereka menggunakan bahan-bahan sintetik untuk menghasil bahan-bahan NPK ini menyebabkan ia kurang serasi dengan biologi tanah.


Kesuburan adalah kesan hubungan baik dengan alam.

Satu kepercayaan palsu di kalangan kita ialah anggapan bahawa tanah akan gersang dan kehabisan nutrien kerana kerap digunakan (misalnya setelah berkali-kali ditanam dengan tanaman). Anggapan ini diasaskan kepada logik akal bahawa kandungan nutrien dalam tanah habis digunakan oleh tanaman, akhirnya tanah kehilangan nutrien. Secara alami tanah tidak akan kehabisan nutrien selama di dalamnya masih wujud makhluk seni mikrob dan lain-lain yang sentiasa bekerja menyuburkan tanah. Mereka hanya perlu dibiakkan dengan membekalkan mereka sisa-sisa organik yang sesuai untuk mereka olah menjadi kompos. Rumput rumpai yang sentiasa tumbuh boleh dimanfaatkan sebagai sisa organik dengan memotong dan mencabutnya. Ia akan mengering dan menjadi kompos, walaupun waktu diambil agak perlahan.

Memudahkan kita menerapkan idea-idea alami dalam pertanian ialah dengan mewujudkan persepsi yang serasi dengannya. Marilah kita melihat kewujudan rumpai dan serangga sebagai sebahagian daripada alam. Jernihkan fikiran dan minda kita daripada tanggapan buruk selama ini bahawa 'seolah-olah semua rumpai dan serangga adalah ancaman'; sedangkan Tuhan menciptakan semua makhluk ini tiada sia-sia, semua ada manfaatnya. Hanya kerana maklumat dan pengetahuan kita terhad, maka banyak manfaatnya yang kita belum ketemui. Berfikirlah secara positif barulah kejernihan minda dapat dikecapi. Prinsip alami mengatakan bahawa segala sesuatu yang Allah ciptakan ini ada manfaatnya. Marilah kita melihat kepada manfaatnya, dan kurangkan prasangka kepada keburukannya. Serangga misalnya banyak memabantu kita bertani kerana ia mengahwinkan pokok melalui pendebungaan. Biarkan makhluk seumpama burung yang berfungsi membantu pendebungaan, ia juga menghapuskan sebahagian serangga dengan memakannya.


Marilah kita berpegang kepada prinsip pertanian alami sebagaimana ditegaskan dalam falsafah Mokichi Okada (1882-1955). Beliau adalah seorang ahli falsafah, pemimpin spiritual, penyair, artis dan usahawan yang mengembangkan prinsip kepercayaan kepada keharmonian alam. Beliau menganjurkan pertanian alami kerasaskan kepada pemeliharaan alam yang dikenali sebagai Kyusei Nature Farming. 'Kyusei' dalam bahasa Jepun merujuk kepada makna mengekalkan kelestarian alam. Banyak lagi ahli-ahli falsafah yang menganjurkan kita kembali kepada pertanian alami sebagaimana yang dianjurkan Okada.

Ribuan tahun sebelum Okada, Islam sendiri mengajar kita bagaimana menjaga keharmonian ekosistem, apabila kita diingatkan supaya sentiasa menjaga agar ekosistem alam ini tidak dirosakkan: (Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (mak-sud al-Quran 30:41).. Allah telah mengingatkan tentang bencana yang akan ditanggung oleh manusia sendiri akibat perbuatan mereka merosakkan keharmonian alam. Islam juga mengajar supaya manusia tidak memusnahkan alam, contohnya dalam Haji tidak boleh merosakkan bahagian tanaman dengan sengaja, dalam peperangan pokok-pokok tidak boleh ditebang dan dimusnahkan. Malahan al-Quran banyak sekali memaparkan tentang alam, keharmoniannya dan hubungannya dengan kehidupan manusia.

Dalam usaha kita untuk kembali ke alami, kita sedang berdepan dengan ancaman kimia. Kimia adalah proses sintetik ciptaan manusia untuk meningkatkan penghasilan sumber pertanian. Bahan-bahan beracun digunakan secara meluas untuk memusnahkan serangga dan rumpai yang dianggap 'perosak'. Budaya kimia menganjurkan kita 'membunuh' semua perosak ini. Akibat amalan membunuh ini, kita telah cuba 'melawan arus' menentang keseimbangan alam. Kesannya kita menjadi semakin rumit melawan alam. Hari ini kita cipta racun A untuk melawan musuh A, besoknya kita perlu mencipta racun B pula dan seterusnya meningkatkan keupayaan racun-racun sedia ada kerana esoknya serangga dan rumpai kelihatan mulai kebal. Akhirnya yang menerima bencana adalah manusia sendiri. Para petani terdedah kepada bahaya racun yang mereka gunakan. Sumber-sumber makanan sendiri beracun dan kita terdedah kepada bahaya racun yang kita cipta sendiri, yang selama ini kita percaya ia boleh membantu kita.

Racun bukan sekadar membunuh musuh tanaman tetapi turut membunuh sahabat tanaman (juga sahabat kita), iaitu jutaan makhluk seni yang dicipptakan Tuhan untuk bekerja membantu manusia menghasilkan sumber makanan. Mikrob-mikrob seni ini mati dan pupus akibat penggunaan racun serangga mahupun racun rumpai. Kematian mereka menyebabkan tanah pertanian menjadi gersang dan tidak subur. Akhirnya kita mengeluh kerana tanah tidak subur lagi. Tanah sebenarnya telah mati dan kita yang mematikannya kerana membunuh kehidupan jutaan mikrob di dalamnya. Oleh kerana kita tahu tanah tidak lagi subur, kita pun mencari solusi kimia (lagi) untuk membaja tanaman. Akhirnya kita terus menerus perlu membaja tanaman kerana tanah sendiri sudah tidak mampu melakukannya (walaupun secara alami tanah yang membaja tanaman, bukan kita). Maka dari masa ke semasa kita mengeluh kerana kita perlu mengeluarkan belanja besar untuk baja dan racun, yang semakin hari semakin meningkat harganya. Oleh itu biarpun harga hasil tanaman kita meningkat tetapi peningkatan itu tidak bermakna kerana kos input turut meningkat. Pengguna terpaksa berbelanja besar, manakala petani tidak juga bertambah kaya. Yang pasti pengusaha industri kimia bertambah kaya!

Saturday, April 3, 2010

Impian Kundasang.


Minggu lalu kami ke Kundasang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tentang teknologi EM dan aplikasinya dalam aktiviti pertanian dengan para pekebun sayur di sana. Walaupun hanya sehari semalam tetapi kunjungan ini sangat bermakna dalam usaha kami di IPAL (Institut Pembangunan Alam Lestarialami) mengembangkan konsep pertanian alami di Malaysia.

Walaupun sudah berkali-kali mengunjungi Kundasang, namun kunjungan ke Kundasang tidak pernah menjemukan. Selain dapat menyerapkan semangat Kinabalu yang tersergam megah dan gagah, Kundasang adalah tanah tinggi yang dingin dan nyaman serta menyegarkan tubuh dan minda. Kehijauan persekitaran gunung ganang memberikan kekuatan dalaman serta membangkitkan semangat. Lebih-lebih lagi Kundasang sebagai lokasi pertanian terkenal di Sabah, ia memberikan suntikan semangat yang kuat untuk bekerja dan berusaha mengembangkan konsep pertanian alami, yang kami perjuangkan.

Jalinan hubungan dengan para pekebun sayur di Kundasang membuka laluan baru yang lebih meyakinkan dalam usaha menerapkan pengetahuan dan pengalaman aplikasi tekonologi EM dalam aktiviti pertanian mereka. Kesediaan dan kemahuan mereka sendiri akan menjadikan laluan ini lebih mudah dan selesa. Beralih daripada amalan perkebunan secara konvensional kepada pertanian alami tidaklah semudah menyebutnya. Kesan psikologi akibat kebergantungan yang begitu lama kepada input kimia, tidak mudah diatasi. Para petani sendiri perlu keyakinan diri dan perlu diyakinkan dengan bukti kelebihan organik dan keburukan kimia. Rata-rata mereka menyedari keburukan kimia, namun mereka merasa sulit untuk berubah kerana dibayangi ketakutan dan kebimbangan terhadap penurunan hasil.


Sisa sayuran begitu banyak.

Penerapan organik memerlukan kekuatan minda, iaitu keyakinan tinggi untuk berubah. Selagi tiada keyakinan diri, sulit untuk para petani berubah. Menukarkan satu kebiasaan yang telah dijalani berpuluh tahun bukanlah mudah. Di tahap awal ini membina keyakinan diri di kalangan petani adalah usaha yang perlu ditekankan. Usaha ini tidak sahaja dengan cara bercakap, tetapi proses pembuktian dengan menjalankan amalan organik dan mereka sendiri mula melakukannya. Biar mereka sendiri melihat perkembangan dan menyaksi hasilnya. Mereka juga sentiasa diingatkan bahawa proses peralihan akan mencabar mereka, terutama kesan pada penghasilan. Sekiranya ada kesan penurunan hasil, ia hanya akan berlaku pada beberapa musim penanaman sahaja, kerana waktu itu adalah waktu pemulihan tanah. Memulihkan tanah yang bermasalah akibat penggunaan input kimia begitu lama, memakan sedikit waktu. Rawatan memulihkannya akan melalui beberapa musim penanaman. Sesudah tanah terawat dan pulih, ia akan kembali subur.

Proses organik dengan aplikasi teknologi EM adalah kaedah yang amat sederhana dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ia adalah teknologi bio atau biotek yang bersifat mudah dan murah. Kita perlu faham bahawa menggunakan teknologi EM adalah usaha kita membiakkan koloni mikrob dalam tanah. Mikrob ini akan membiak dan membiak. Semakin banyak mikrob bermanfaat (EM) dalam tanah dan di persekitaran, semakin baik mutu tanah (semakin subur). Semakin banyak mikrob bermanfaat ini semakin kurang ancaman mikrob jahat atau mikrob patogen yang merosakkan. Apabila kehadiran maikrob bermanfaat ini semakin dominan, ia akan membantu tanaman menjadi semakin kuat imunitinya. Dengan itu ia akan bersedia menghadapi penyakit atau serangan serangga perosak. Selain itu EM juga akan digunakan dalam proses pembuatan bahan pencegah serangga. Ancaman serangga akan dihadapi secara biologi.

Melihat kepada banyaknya sisa pertanian iaitu sisa-sisa sayuran yang rosak dibuang begitu sahaja, akhirnya membusuk dan mencemar persekitaran. Hasil sisa yang rosak mungkin sama banyak dengan hasil yang dapat dipasarkan. Sisa ini sangat bermanfaat sekiranya ia diolah kembali menggunakan teknologi EM. Ia akan dapat dimanfaatkan untuk menyuburkan tanah, di samping itu ia tidak lagi menjadi ancaman kepada pencemaran persekitaran. Cabaran kita adalah untuk mendidik petani memanfaatkan apa sahaja sisa aktiviti pertanian mereka, untuk diolah menjadi bahan baja kepada tanah, atau menjadi makanan kepada ternakan.


Sisa kobis yang menggunung perlu dimanfaatkan secara bijaksana.

Kesegaran persekitaran kaki gunung Kinabalu dapat dikekalkan sekiranya para petani di sini bersedia menerima pakai teknologi EM yang sedang diterapkan ini. Tanah pertanian di sini akan pulih dan subur kembali apabila jutaan makhluk seni bernama mikrob semakin membiak. Usaha kita adalah menyediakan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan mikrob bermanfaat atau EM ini di bumi Kundasang. Nanti dengan sendirinya mereka akan bekerja menyuburkan tanah dan dalam waktu yang sama kekuatan jumlah mikrob bermanfaat akan dapat mengalahkan mikrob patogen yang merosakkan. Akhirnya bumi Kundasang akan kembali subur tanpa perlukan input kimia lagi.

Thursday, April 1, 2010

Membawa misi organik ke Kundasang.


30 Mac lalu kami dari IPAL ke Kundasang, Sabah atas undangan untuk mengendalikan Kursus Pertanian Organik-Alami kepada ahli-ahli Persatuan Penanam-penanam Sayur Tanah Tinggi Dusun Kundasang.

Kursus tersebut diadakan atas keinginan para peserta sendiri yang mahu beralih daripada pertanian konvensional kepada pertanian organik. Kesungguhan itu membuatkan IPAL juga bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu dan pengalaman, untuk membantu mereka ke arah organik-alami, yang menjadi teras perjuangan IPAL sendiri.

Selama ini para petani di Kundasang dan petani di lokasi-lokasi lain sudah mulai sedar bahawa pertanian konvensional yang mereka jalani setiap hari menghasilkan pendapatan, menghasilkan hasil sayuran yang dapat memenuhi permintaan orang ramai. Namun jauh di sudut hati mereka, ada hasrat mulia untuk beralih ke organik. Mereka sedar mereka selama ini bergelumang dengan kimia: baja kimia (sintetik) dan racun (racun serangga dan rumpai).


Peserta tekun berbincang dengan penulis (kanan).

Daripada maklumat yang mereka sendiri sampaikan, mereka sudah beberapa kali disajikan dengan 'idea-idea organik' ini, tetapi sehingga kini mereka belum betul-betul dibawa ke alam organik. Mereka sekadar didendangkan dengan slogan-slogan organik dan cerita tentang kompos dan kejelikan kimia. Malangnya mereka tidak dibimbing secara serius keluar daripada alam kimia kepada alam organik secara nyata. Mungkin kerana itu sebahagian daripata petani di sini sudah tidak tertarik dengan kempen-kempen organik, kerana mereka merasa mereka tidak juga ke mana-mana.

Oleh itu ketika berkesempatan bersama dengan para petani sayur di Kundasang, kami mengambil peluang ini untuk bercerita dan berbincang dari hati ke hati tentang apa sebenarnya organik-alami itu. Dengan menyelami situasi dan masalah semasa mereka, kami cuba menguasai psikologi petani-petani ini. Mereka yang hadir mendengar sesi ceramah kami, agak serius mahu mengetahui dan mahu ke organik. Oleh itu mereka perlu diyakinkan dengan sungguh-sungguh bagaimana hendak melakukan perubahan itu.

Mereka sedar untuk beralih daripada pertanian kimia kepada pertanian organik. Mereka faham akan kebaikan-kebaikan organik. Tetapi mereka belum yakin sepenuhnya kerana mereka belum pernah mencuba dan melihat hasilnya. Perasaan bimbang dan curiga masih ada dalam benak mereka. Mereka bimbangkan hasil menurun, dan macam-macam lagi.


Kebun kobis luas bak hamparan permaidani hijau.

Oleh itu kaedah penerapan idea dan pengembangan yang kami lakukan adalah kaedah yang praktikal. Kami bukan sekadar menunjukkan cara tetapi juga mendidik dan membimbing mereka menggunakan teknologi EM secara hands-on. Mereka dapat melihat apa itu EM dan dapat memiliki sendiri EM yang akan dipraktiskan dalam amalan pertanian organik. Selama ini mereka pernah mendengar ceramah tentang EM tetapi tidak pernah melihat EM apalagi untuk membelinya. Mereka kelihatan begitu gembira dan yakin setelah melihat sendiri bahan penting Bio-mic (kultur EM cecair) dan Bio.mic padat serta Baja organik Hi-Grow, yang akan digunakan dalam aktiviti pertanian organik. Mereka juga dibimbing secara organik, bagaimana menggunakan kaedah pertanian aorganik menggunakan teknologi EM.

Kesempatan seharian di tanah tinggi Kundasang, membawa kami meninjau sendiri situasi kebun-kebun sebahagian daripada peserta. Encik Leef Anwar Bin Malandi, Presiden Persatuan Penanam-penanam Sayur Tanah Tinggi Dusun Kundasang, membawa kami melawat kebun sayurannya yang terletak kira-kira 15 km daripada pekan kecil Kundasang. Kami meninjau kebun kobis dan kapsikum serta ternakan lembu susunya. Enik Anwar adalah seorang bekas guru lulusan universiti yang sanggup mengorbankan kerjayanya untuk menjadi petani sepenuh masa.

IPAL mengharapkan kursus sehari yang pertama ini akan diteruskan kepada aktiviti selanjutnya. Daripada maklumat yang kami terima, mereka nampaknya begitu gembira dan terkesan dengan kursus awal ini. Mereka meminta kami datang lagi untuk mengajar dan membimbing mereka menggunakan teknologi EM dalam amalan pertanian mereka.

Kami melihat prospek untuk mereka beralih ke organik sangat cerah. Andainya tidak disebabkan oleh jarak lokasi yang jauh, kami yakin proses peralihan ini akan dapat disingkatkan lagi sekiranya kami dapat sering melawat dan membimbing mereka dari dekat. Bagaimanapun, semangat mereka turut meningkatkan semangat kami untuk terus membimbing mereka sehingga mereka benar-benar yakin untuk berorganik.