Friday, January 15, 2010

khutbah 'gempa bumi'


Beberapa hari lalu, dunia digemparkan dengan satu lagi kejadian gempa bumi pada kekuatan 7.0 magnitude terjadi di Haiti, sebuah kepulauan berpenduduk seramai 9.45juta orang. Kejadian berpusat berhampiran ibu kotanya Port Au-Prince, menyebabkan impak kerosakan amat besar. Laporan terakhir menyatakan lebih ratusan ribu nyawa diregut gempa bumi dahsyat kali ini.

Tragedi Haiti Rabu lalu itu adalah antara musibah yang sedang terjadi dan akan terus terjadi sebagai satu proses bumi merespon kepada perkembangan yang terjadi ke atasnya. Umumnya tragedi gempa yang agak kerap terjadi akhir-akhir ini mengingatkan manusia bahawa kita sedang berada di bumi yang sudah semakin tua, di mana ia sedang melalui proses penurunan (degredasi). Kalau diumpamakan sebagai manusia, bumi sedang melalui peringkat penuaan di mana akan banyak gejala sakit dizahirkan.

Kita akhirnya akan pasrah dan berserah kerana hanya Tuhan sahaja yang lebih mengetahui hakikat bumi ini. Namun apa jua yang terjadi adalah tetap satu pelajaran berharga kepada manusia. Sekurang-jurangnya mengingatkan kita kepada hakikat bahawa manusia sangat lemah, kehidupan kita kini amat rapuh dan terdedah kepada takdir Tuhan tanpa siapapun dapat menolong selain Dia sendiri. Dalam waktu yang sama mengajar kita bahawa kekuasaan sebenarnya adalah di tangan Tuhan, yang mempunyai kekuatan dan kekuasaan yang terletak pada Kun Fayakun-Nya.


Dengan nada optimistik, kita tetap terus perlu memandang ke hadapan dengan harap dan cemas, mengangkat tangan berdoa ke hadhirat-Nya kerana itulah ikhtiar terakhir manusia untuk meneruskan hidup dengan selamat. Tiada siapa akan dapat menyelamatkan kita di bumi selain Dia. Maka inilah saatnya kita kembali kepada-Nya, berdoa kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya.

Ini bukanlah khutbah ‘gempa bumi’, tetapi itulah hakikat diri kita sebagai manusia. Dalam keangkuhan kita merancang merekabentuk peta dunia berasaskan nafsu kita, ingatlah di sana tiada siapa dapat menghalang rancangan Tuhan. Kita sering lupa kepada hukum alam, sunnah-Nya (SunnatulLah) yang menjadi landasan kepada sistem alam ini. Kita sering bertindak dengan angkuh dan sombong menentang hukum ini. Kita merosakkan ekosistem alam, kita merosakkan keseimbangan alam melalui kepintaran akal dan dorongan nafsu kita untuk mengeksploit apa sahaja sumber alam ini, sedangkan sumber alam sangat terhad dan tidak mudah diganti baru. Lebih dari itu kita masih mahu menjadi makhluk ‘perosak dan penumpah darah’ dibumi.


Ketika kita mendengar petaka yang menimpa, kita dibiasakan dengan melafaz kalimat mulia: seseungguhnya segalanya milik Allah, dan kepada-Nyalah kembali semuanya. Hanya itulah kalimat paling tepat untuk jadi penawar ketika kita menghadapi apa jua cubaan hidup ini. Pada tahun 2004 lalu penduduk Aceh, Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan India diduga dengan Tsunami. Kemudia diiukti rakyat Indonesia yang berkali-kali diduga gempa bumi, gunung berapi, dan kini penduduk Haiti. Kita dei sini juga tentu tidak senang hati kerana perisitiwa tidak diduga boleh sahaja terjadi di mana sahaja, dalam bentuk yang tidak terduga.

Pelajaran terpenting ialah marilah kita terus menyayangi bumi ini kerana di sinilah kita dilahirkan dan di sinilah kita akan dikembalikan. Marilah kita rahmati bumi dengan menghentikan tabiat buruk kita selama ini mencemarinya, mengotorinya, merosakkannya. Pelbagai usaha dapat kita lakukan ke arah itu. Marilah kita mendidik diri kita sendiri, anak-anak kita, masyarakat kita ke arah itu.

Sunday, January 10, 2010

Menggenggam tanah, merahmati alam.


Sewaktu kecil dulu bermain selut adalah salah satu aktiviti biasa baik di rumah mahupun di sekolah. Di sawah bermain selut ketika membantu orang tua mengerjakan sawah, atau ketika mengkap ikan keli, haruan, sepat dan puyu. Di sekolah pula salah satu aktiviti pendidikan seni ialah membuat produk seramik daripada tanah liat. Walaupun zaman enam puluhan dahulu, subjek pendidikan seni tidaklah selengkap dan sistematis sebagaimana sekarang, namun kami belajar membuat objek-objek tertentu daripada tanah liat. Ia bukanlah proses membuat seramik sebagaimana kraf yang ada sekarang. Tanah liat itu biasanya diambil dari sungai di mana terdapat jenis-jenis tanah liat yang sangat bagus kualitinya. Kami membentuk pelbagai objek secara manual, termasuk patung binatang. Ia dibiarkan kering dan akhirnya mengeras sendiri. Ada kala diwarnakan supaya lebih cantik. Produk siap akan diberi markah dan dipamerkan di ruang kelas. (Gambar: turut melontar bola selut EM ke laut Gurney Drive, Pulau Pinang. Berbaju biru, kiri: Ketua Menteri PP turut serta.)

Sewaktu di universiti, salah satu kertas kebudayaan yang diambil ialah kraf tradisional. Saya memilih kajian terhadap labu sayung, iaitu kraftangan yang menjadi warisan penduduk Sayung, Kuala Kangsar, Perak. Oleh kerana kajian ini hanya untuk kertas seminar sahaja, kajian sederhana sahaja dilakukan. Sungguhpun begitu saya terpaksa melihat sendiri bagaimana proses pembuatan seramik labu sayung dijalankan. Di samping itu perlu pula mengetahui bentuk, corak, ukiran dan fungsi-fungsinya. Pengalaman ini membawa saya agak serius kepada penggunaan tanah liat sebagai bahan kraf. Oleh kerana waktu sekolah rendah sudah biasa bermain tanah liat, maka aktiviti membuat seramik Labu Sayung tidaklah terlalu asing.

Akhir-akhir ini saya perlu lagi kembali kepada tanah apabila mendampingi projek pertanian alami. Oleh kerana tiada asas pertanian, maka terpaksalah belajar dengan membaca bahan-bahan pengetahuan tentang tanah, strukturnya dan kandungan hara tanah. Satu hal yang tidak pernah ditinggalkan ialah berkebun, biarpun secara kecil-kecilan. Di mana sahaja kami tinggal, akan ada tanaman diusahakan. Sekurang-kurangnya menanam pohon-pohon bunga dalam pasu.

Apabila agak serius menerokai konsep pertanian alami (pertanian organik), saya mula memahami sifat-sifat alami tanah. Belajar mengenali makhluk-makhluk yang hidup dalam tanah termasuk cacing dan mikrob. Pelajaran-pelajaran ini mendekatkan diri kepada beberapa fakta yang selama ini diremehkan, iaitu fakta biologi, keseimbangan alam, ekosistem, kepelbagaian bio dan lain-lain. Semuanya membawakan kita lebih dekat kepada Tuhan. Satu fakta yang tidak mungkin dilupakan, ialah hakikat diri kita dari tanah dan akan akhirnya luluh, terurai dan menjadi tanah juga. SubhanaLlah!

Kini saya menyibukkan diri menyediakan bola selut EM (EM mudball) untuk bereksperimen. Ia umpama bom tangan (lebih besar daripada saiz bom tangan), yang akan digunakan untuk memerangi pencemaran alam (pencemaran air). Membuat ‘bom tangan’ daripada selut ini saya pelajari daripada orang Jepun. Sungguhpun orang Jepun bencikan peperangan akibat kesan ledakan bom atom di Hiroshima dulu, namun mereka mengajar kami mencipta ‘bom’ baru, yang akan digunakan bukan untuk membunuh manusia atau sesiapapun; tetapi untuk menghadapi ancaman pencemaran alam.

Bola selut adalah antara teknik baru yang terhasil daripada usaha memanfaatkan teknologi EM bagi menghadapi pencemaran air. Ia diperbuat daripada campuran tanah, bokashi dan juga cecair EM. Ia adalah hasil proses fermentasi membiakkan koloni mikrob bermanfaat yang akan dikerahkan untuk membersihkan kesan pencemaran air. Apabila dibalingkan ke dalam kawasan berair baik kolam, tasik, sungai atau lautan; ia akan melepaskan tentera-tentera mikrob untuk memerangi mikrob-mikrob pencemar. Sebiji bola selut adalah untuk ruang satu meter persegi dan ia akan bekerja dalam tempoh sebulan.


(Bola selut yang berkesan untuk memerangi pencemaran air, satu teknologi hijau yang patut dimanfaatkan.)

Sejak diperkenalkan dan dimanfaatkan di pelbagai tempat di beberapa negara di dunia, bola selut ini didapati berkesan mengurangkan kesan pencemamran air. Ia memperbaiki mutu air, membersihkan kerak (sludge), menghilangkan bau busuk dan mengembalikan kehidupan habitat air.

Di Malaysia sudah ada beberapa pihak terutama aktivis EM yang mula menggerakkan usaha mengatasi pencemaran air dengan menggunakan bola selut ini. Di Johor, Pulau Pinag dan Selangor, ada pihak yang sudahpun bereksperimen. Projek terbesar di mana saya sendiri ikut serta ialah Projek Sejuta Kemaafan kepada bumi, yang berlangsung pada 8 Ogos 2009 lalu di Pulau Pinang. Sebanyak sejuta bola selut dibaling ke laut dan sungai yang tercemar di Pulau Pinang sebagai usaha merawat pencemaran di sana. Projek ini mendapat sokongan Kerajaan Negeri, dan dijangka akan menghasilkan impak positif sedikit masa lagi.

Kini saya serius menghasilkan bola-bola selut untuk memastikan teknik penghasilannya betul dan berkesan. Ia akan digunakan dalam kempen kami menyedarkan masyarakat tentang pentingnya melestarikan alam, nanti. Menghasilkan bola selut secara manual samalah seperti aktiviti membuat seramik waktu di sekolah dahulu. Menguli, menggaul bahan, membentuknya menjadi bola menggunakan acuan (agar seragam saiznya), mendekatkan kembali diri kepada tanah, kepada bumi dan kepada alam. Inilah kesan emosi yang menusuk nurani di celah-celah bau tanah dan harum EM. Selain itu kita melraikan rasa sombong diri apabila kita sentiasa mendampingi tanah, kerana keinsafan akan sentiasa terasa bahawa akhirnya kita juga akan menjadi sebahagian daripadanya. MasyaAllah.

Saturday, January 9, 2010

Kurangkan plastik dari kehidupan kita.


Semalam (9 Januari)Kerajaan Selangor memulakan kempen tidak menggunakan plastik, Kempen 'Hari tanpa beg plastik' disasarkan ke seluruh negeri di mana 15 buah syarikat terutama pasaraya mengambil bahagian dalam kempen setiap Sabtu ini. Kempen selama enam bulan ini adalah bertujuan mendidik pengguna supaya mengurangkan penggunaan beg plastik dalam urusan harian terutama ketika membelibelah.

Cerita plastik bukanlah perkara baru. Ia adalah bahan yang terlalu mendominasi kehidupan kita seharian kerana ia murah, mudah dan praktikal. Beg plastik digunakan secara menyeluruh di mana sahaja pusat belibelah. Produk cecair pula mengunakan plastik baik jenis PP mahupun PET. Pembungkusan cecair sangat praktikal menggunakan plastik menggantikan kaca kerana sifatnya yang ringan dan tahan lasak (tidak mudah pecah) di samping murah.

Menggantikan beg plastik adalah dengan meyediakan pilihan lain yang juga murah dan mudah dan praktikal. Inilah usaha yang perlu diambil oleh semua pihak yang mahukan pengurangan penggunaan plastik. Dulu kita menggunakan kertas untuk membungkus barangan. Pekedai menggunakan kertas akhbar lama atau kertas kuning untuk membungkus barang. Kertas ini dijadikan kelongsong atau beg dengan menggunakan gam. Biasanya pekedai waktu itu membuat sendiri beg-beg kertas ini. Inilah pilihan terbaik, iaitu kembali menggunakan kertas sebagaimana di negara maju, pengguna bersedia membawa barangan dalam beg kertas.

Penggunaan beg kertas perlulah dimulakan dengan peniaga menyediakannya, atau pengusaha dalam industri kertas pelu tampil menawarkan priduk kertas yang berdaya saing harganya. Membawa beg atau bakul sendiri dari rumah adlah cara terbaik, namun bukan senang melatih pengguna negara ini untuk melakukannya. Selagi kesedaran menjaga alam sekitar tidak benar-benar mendalam di hati pengguna, amalan tersebut agak sukar.


(sungai dan laut jadi tempat akhir bahan plastik)

Masalah plastik sudah lama disedari kerana ia sukar dilupuskan. Sebahagian jenis plastik kini telah dapat dikitar semula. Alhamdulillah, apabla botol-botl plastik dari jenis PP dan PET dan barangan plastik lain sudah mula dikitar semula. Kilang-kilang kitar semula membeli barangan terbuang ini untuk diolah semula menghasilkan produk pengguna yang baru.

Kerajaan sendiri telahpun menjalankan kempen kitar semula melalui iklan di media massa. Namun pengguna Malaysia bukanlah pengguna yang sedar dan tinggi kesedaran siviknya. Umumnya orang Malaysia bukan sahaja tidak membantu projek kitar semula ini, tetapi masih lagi mengekalkan tabiat buruk mengotorkan persekitara dengan membuang plastik di merata tempat. Di sepanjang jalan baik di lebuhraya, jalanraya hinggalah jalan-jalan di taman perumahan kita boleh dapati botol-botol plastik dibaling ke atas jalan, tepi jalan atau ke dalam longkang.

Pengguna Malaysia adalah sasaran kempen yang perlu diberi perhatian. Memperbaiki tabiat yang buruk bukanlah satu tugas mudah. Undang-undang keras tidak banyak membantu. Denda membuang sampah misalnya tidak berkesan kerana kelemahan penguatkuasaan dan juga kesedaran sivik yang rendah di kalangan rakyat. Sebahagian kecil masyarakat yang prihatin yang menjaga kebersihan alam sekitar, manakala sebahagian besar masyarakat adalah pengotor dan pencemar. Mereka menunjukkan teladan buruk kepada anak-anak sendiri dengan membaling botol minuman dan bekas makanan keluar dari dalam kereta, membuang puntung rokok merata-rata.

Walau bagaimanapun sikap sebahagian besar masyarakat, kita tetap wajib melakukan apa jua cara dan pendekatan untuk merobah situasi buruk ini. Kempen-kempen kesedaran perlu diteruskan di samping pelbagai usaha mendidik pengguna menghargai alam dengan menjaga kebersihan, mengitar semuala, mengguna semula, mengurangkan penggunaan bahan-bahan seperti plastik itu.

Kempen yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor perlu disokong. Pengguna mestilah bersedia mengurangkan penggunaan beg plastik, manakala peniaga pula perlulah menyediakan pilihan lain kepada penggunaan plastik. Pengusaha pula perlulah merekacipta produk plastik atau semi plastik yang mudah hancur dan terurai. Selain itu para penyelidik perlu mencari idea dan melakukan inovasi menggunapakai semula bahan plastik yang bersepah mencemar alam itu.

Ingatlah bahawa penggunaan bahan plastik berterusan akan menyulitkan kita melupuskannya. Akibatnya ia akan menjadi bahan pencemar alam. Ia tidak seperti sisa organik yang dapat dilupuskan melalui penguraian alami atau diproses menjadi bahan kompos. Sifatnya yang begitu degil untuk terurai menjadikan plastik ancaman kepada kelestarian alam.

Thursday, January 7, 2010

Apabila bumi dikhianati.


Di bumi kita dilahirkan. Daripada hasil bumi kita mendapat bekalan makanan dan sumber air, yang membesarkan kita. Di bumi kita menjalani kehidupan, membina rumah kediaman daripada yang bersifat sangat sederhana hinggalah banglo mewah. Sungguhpun ada orang yang selesa tinggal di atas air (di kampung air di Brunei, Sabah dan Filipina), namun tiang rumah mereka masih lagi terpacak di dasar bumi.

Akhirnya kita akan kembali ke bumi apabila disemadikan di liang lahad, sebuah lokasi baru di perut bumi. Tubuh fizikal kita akan hancur, lerai menjadi sebahagian daripada isi bumi. Maka lengkaplah satu pusingan hidup sementara di bumi, di mana kita diciptakan daripada tanah (nabi Adam AS dicipta dripada tanah - thin, kemudiannya zuriat manusia diciptakan daripada saripati air mani), akhirnya kita kembali juga ke tanah. Itulah sirkulasi hidup jasad manusia. Bukan sahaja manusia, haiwan dan tumbuhan serta makhluk lain di bumi juga akan menjalani satu pusingan yang serupa, kembali ke tanah, kembali ke bumi akhirnya.

Allah SWT mencipta bumi untuk tempat kediaman manusia. Bumi adalah lokasi sementara untuk manusia jalani satu fasa daripada kehidupannya, iaitu kehidupan sementara di bumi, sebelum kembali ke alam barzakh menuju akhirat. Bumi diciptakan sedemikian hebat dan agung untuk menjadi alam bagi kehidupan manusia dan makhluk-makhluk lain yang diciptakan Tuhan untuk dimanfaatkan oleh manusia.


Sebagai khalifah, manusia diciptakan Tuhan untuk berfungsi dan berperanan aktif memakmurkan kehidupan di bumi. Khalifah adalah satu martabat mulia di mana manusia dilantik dan diberi kuasa untuk mengurus dan mentadbir alam ini mengikut panduan dan pedoman yang sempurna, melalui agama samawi yang diakhiri dengan Islam. Petunjuk agama itu adalah dasar umum yang memandu manusia supaya dapat berperanan sebagai khalifah dengan berkesan.

Sebagai khalifah manusia bukanlah penguasa, tetapi adalah pemegang amanah. Oleh itu manusia bukanlah pemilik kepada alam ini, tetapi hanya pengguna, peminjam dan pihak yang dibenarkan untuk menggunapakai segala sumber alam bagi manfaat manusia dan makhluk Tuhan yang turut berkongsi alam ini.

Kita juga diajar oleh agama bahawa bumi ini adalah sebuah alam yang perlu dikongsi sesama manusia dan juga sesama makhluk lain, termasuk haiwan, tumbuhan, malah mikrob yang halus yang tidak terlihat oleh mata. Perkongsian secara bioloogi itu sudah disunnahkan menjadi satu ekosistem alam. Kita berkongsi udara dengan tumbuhan. Kita bertukar-tukar oksigen dan karbon dioksid dengan tumbuhan, dalam satu sinergi yang sangat seimbang. Maka kesetabilan gas di udara akan terkawal. Dengan sejumlah hutan hijau yang begitu luas di kebanyakan benua, maka bekalan oksigen insyaAllah tidak akan kehabisan. Haiwan dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya adalah bahagian daripada alam yang berkongsi kehidupan dengan manusia. Di dalam habitatnya di utan belantara, binatang-bnatang liar ini hidup bersimbiosis dengan persekitran. Mereka hidup dengan sumber makanan daripada tubuhan dan juga daging (daripada jenis-jenis binatang pain) atau serangga. Sebahagian binatang adalah berfungsi membiakkan tumbuhan, melalui pemindahan debunga sebagaimana dilakukan oleh serangga dan burung. Mereka juga memindahkan benih tanaman melalui pembuangan sisa najis. Malahan makhluk seni seperti mikrob juga berfungsi membantu menguraikan sisa-sisa organik di permukaan bumi. Cacing umpamanya bekerja dengan memakan sisa-sisa organik kemudiannya mengeluarkan najis berupa kompos siap yang berkualiti untuk menyuburkan tanah. Tanah yang subur itu kemudiannya menumbuhkan pelbagai jenis tumbuhan renik dan tumbuhan besar.


(bakteria, makhluk seni yang besar maknanya)

Bumi adalah syurga kepada manusia sekiranya mereka dapat menajalani kehidupan bahagia, dengan mengimbangi kehendak-kehendak Tuhan dan keseimbangan biologi alam. Tuhan mengingatkan kita bahawa bumi ini dibina dengan strukturnya yang alami, di mana tumbuhan-tumbuhan hijau adalah ibarat paru-paru dunia, dan gunung ganang pula adalah pasak yang memantapkan bumi.

Bukankah Kami telah menjadikan bumi ini sebagai hamparan? Dan gunung-gunung sebagai pasak? (maksud al-Quran 78:6-7).

Kini manusia tidak lagi menyedari hakikat-hakikat di atas. Mereka melakukan pelbagai kerosakan di bumi demi memenuhi nafsu mereka. Sifat tamak, haloba, hasad, dengki, dendam dan amarah menjadikan manusia bukan lagi khalifah tetapi pemusnah, perosak dan pengkhianat kepada bumi. Sebahagian meruntuhkan bukit dan gunung, mengeksploit kekayaan alamnya. Begitu juga terjadi di laut, khazanah laut digarap selahap-lahapnya. Hasil marin dikaut sehingga pupus zuriat kehidupan marin di samping merosakkan habibat marin. Kini tinggal beberapa lokasi sahaja di dunia yang boleh dijadikan taman laut yang masih menyimpan khazanah marin yang kaya itu. Selebihnya rosak teruk akibat pencemaran dari darat dan juga kesan letupan senjata yang diuji.


Manusia terus melakukan kerosakan di bumi. Mereka teerus alpa dan lupa pada petaka alam yang terus terjadi, seoalah-olah mengingatkan manusia supaya 'berhenti' melakukan khiamat kepada alam. Gempa bumi, letusan gunung berapi, tanah runtuh, banjir, ribut taufan, tsunami dan berbagai lagi terjadi kesan daripada ketidakseimbangan struktur fizik dan biologikal alam. Manausia panik sebentara sahaja, kemudian meneruskan lagi tabiat buruk mereka merosakkan alam.